Tuesday, September 24, 2019

TIPS MENDAKI GUNUNG KINABALU KEPADA PEMULA (FIRST TIMER)


INFO AM BERKENAAN GUNUNG KINABALU

-Gunung Kinabalu merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan di kepulauan Borneo.
-Gunung Kinabalu termasuk dalam senarai top 20 dikalangan puncak-puncak yang paling dikenali di seluruh dunia. No. 1 sudah pastilah Gunung Everest!
-Ketinggian rasmi puncak tertinggi Gunung Kinabalu adalah 4,095.2 meter dari aras laut.
-Puncak tertinggi Gunung Kinabalu dipanggil "lows peak".

PENDAKIAN GUNUNG KINABALU

-Trek pendakian yang biasa digunakan adalah melalui Pondok Timpohon (Timpohon Gate).
-Base camp bagi pendakian Gunung Kinabalu adalah di Panalaban yang juga dikenali sebagai Laban Rata yang terletak pada ketinggian 3,273 meter dari aras laut.

Pendakian Gunung Kinabalu boleh diringkaskan kepada 4 fasa berikut:

FASA 1:


Pendakian dari titik mula (starting point) di Pondok Timpohon menuju ke Panalaban (Laban Rata).

-Jarak pendakian yang ditempuh adalah sejauh 6km.
-Perubahan altitud yang ditempuh adalah daripada 1,866 meter dari aras laut sehingga 3,273 meter dari aras laut.

-Sebaik memulakan pendakian, kita harus melaporkan diri kepada petugas di Pondok Timpohon dan dikehendaki menandatangani borang yang diberi.

-Boleh dikatakan hampir 90% laluan ini adalah laluan bertangga. Jadi layan je lah naik tangga sampai muntah sambil layan view dan udara yang sejuk lagi nyaman. Sesekali saja kita akan tempuh laluan mendatar tu pun sekejap saja.

-Terdapat 7 pondok perhentian di sepanjang laluan ini yang kita boleh berhenti rehat iaitu:
1. Pondok Kandis - KM0.8
2. Pondok Ubah - KM1.4
3. Pondok Lowii - KM2.3
4. Pondok Mempening - KM3.3
5. Pondok Layang-Layang - KM3.8
6. Pondok Villosa - KM4.7
7. Pondok Paka - KM5.3




-Di setiap pondok ada disediakan kemudahan tandas, air paip dan tong sampah. Sumber air di sini adalah sumber air gunung yang tidak terawat, tapi aku ada je minum. Selamat saja.

-Sesekali kita akan bertembung dengan porter-porter yang mengangkut barang-barang yang nak dibawa naik ke Laban Rata. Jika bertembung dengan mereka, berilah keutamaan laluan kepada mereka.

-Ujian pendakian paling getir di laluan ini adalah pada jarak 600 meter yang terakhir sebelum tiba di Laban Rata. Trek tangga berbatu di sepanjang jarak ini sangat mencabar fizikal dan mental! Tetapkan mental kalian pada ketika ini ya.

-Kebiasaannya pendakian di sepanjang laluan ini mengambil masa antara 5-7 jam untuk tiba di Laban Rata.


-Jika kalian tiba awal di Panalaban, kalian boleh terus check in ke bilik penginapan yang telah ditetapkan. Lepas check in terus mandi dan berehatlah secukupnya sementara menunggu jam 4.30 petang untuk makan malam.




Penginapan dan Makan Minum di Laban Rata

-Laban Rata merupakan tempat persinggahan rehat sebelum pendakian ke puncak pada awal pagi keesokan harinya.

-Terdapat beberapa tempat penginapan seperti Lemaing Hut, Pendant Hut, Waras Hut dan beberapa lagi. Macam aku hari tu menginap di Lemaing Hut. Bilik adalah bilik dormitory dengan 14 katil bunk bed.

-Tiada bekalan air panas di sini. Jadi kalau nak mandi, korang mandi siap-siap sebaik sahaja tiba di Laban Rata selepas pendakian. Kalau nak mandi pagi memang tak disarankan sebab terlalu sejuk.

-Di dalam bilik ada disediakan beberapa power socket. Jadi korang boleh lah mengecas telefon atau kamera korang.

-Tempahan pakej pendakian yang kita buat ini sudah termasuk penginapan dan 3 kali makan (makan malam, makan lewat malam sebelum naik ke puncak dan sarapan pagi setelah turun dari puncak). Semua makanan adalah buffet style. Makanan kat sini sedap-sedap tau. Signature dish dia kambing blackpaper. Memang padu giler weh!

-Perlu ambil maklum semasa makan malam, minuman tidak disediakan. Kalau nak, kena beli. Harga faham faham jer lah. Tempat tinggi, harga pun tinggi! Tapi semasa makan lewat malam dan sarapan pagi, minuman teh dan kopi ada disediakan dalam menu buffet.

FASA 2:


Pendakian dari Panalaban menuju ke puncak Gunung Kinabalu (low's peak).

-Jarak pendakian yang ditempuh adalah sejauh 2.72km.


-Perubahan altitud yang ditempuh adalah daripada 3,273 meter dari aras laut (di Laban Rata) hingga 4,095.2 meter dari aras laut (ketika berada di puncak).

-Seawal jam 1.30 pagi dah kena siap-siap bangun ya. Pastikan semua barangan yang nak dibawa ke puncak adalah lengkap - baju sejuk, penutup kepala dan muka, sarung tangan kalis air, head lamp, kamera, snek dan air minuman.

-Antara jam 2-2.30 pagi kita dah boleh makan lewat malam. Aku nasihatkan jangan makan terlalu berat masa ni sebab jam 3 pagi kita dah nak mula mendaki lagi. Cukuplah ambil 2 keping roti, scrambelled egg dan minuman teh atau kopi.

-Pendakian ke puncak biasanya bermula pada jam 3 pagi. Jangan lupa siap-siap pakai head lamp dan pastikan name tag dipakai.

-Untuk jarak 1.2km pertama, kebanyakan pendakian melibatkan laluan bertangga menuju ke pondok check point iaitu Pondok Sayat-Sayat yang berada pada ketinggian 3,668 meter dari aras laut.

-Di Pondok Sayat-Sayat, kita perlu menunjukkan tag nama kita kepada petugas untuk tujuan rekod masuk menuju ke puncak. Pastikan korang melepasi check point di Sayat-Sayat ini pada atau sebelum jam 5 pagi. Sekiranya korang tiba lewat daripada jam 5 pagi, korang tidak dibenarkan melepasi check point ini dan seterusnya harapan korang untuk menawan puncak Kinabalu hancur berkecai.

-Setelah melepasi check point di Sayat-Sayat, laluan trek pendakian berubah di mana kita akan melalui landskap berbatu sehinggalah ke puncak. Di sepanjang trek ini, tali disediakan untuk kita berpaut dan memudahkan pendakian kita. Kalau nak ikutkan laluannya tidaklah berapa curam tapi kita harus berpaut menggunakan tali di beberapa lokasi pendakian ini.

-Sepanjang pendakian dari Sayat-Sayat menuju ke puncak sejauh 1.5km ini, kekuatan fizikal dan mental amatlah diperlukan. Pada ketika ini kita menggunakan banyak tenaga untuk berpaut pada tali dan menstabilkan kedudukan kaki kita di permukaan batu. Tidak cukup dengan itu, cabaran ditambah lagi dengan cuaca sejuk dan tiupan angin yang kencang.

-Sebaik-baiknya rancang pendakian kalian untuk tiba di puncak sekitar jam 6 pagi bagi menyaksikan matahari terbit.

-Ruang kawasan di bahagian puncak tertinggi iaitu di low's peak adalah terhad, jadi harus bergilir-gilir untuk mengambil foto dengan papan tanda puncak Gunung Kinabalu.




-Setelah selesai bergambar di puncak tertinggi Gunung Kinabalu, kalian boleh turun ke bahagian bawah untuk sesi bergambar di sudut-sudut lain pula. Pemandangan pagi di sini sangat menakjubkan! Subhanallah.

FASA 3:


Perjalanan turun dari puncak gunung menuju ke Panalaban.

-Setelah selesai menawan puncak tertinggi Gunung Kinabalu, adalah disarankan untuk membuat perjalanan turun ke Laban Rata antara jam 7-7.30 pagi.

-Semasa perjalanan turun ini lah baru kita nampak dengan jelas laluan pendakian yang kita telah lalui awal pagi tadi ketika hari masih gelap. Tak sangka kita lalui semua ini dengan jayanya! Tahniah!

-Bagi mengelakkan sebarang kemalangan dan kecederaan semasa perjalanan turun melalui laluan berbatu ini, kita disarankan untuk bergerak dalam formasi zig-zag. Sesekali bantuan tali masih diperlukan ketika perjalanan turun ini.

-Dalam perjalanan turun ini, sekali lagi kita akan melepasi check point di Sayat-Sayat. Sila tunjukkan tag nama kalian sekali lagi kepada petugas bagi tujuan rekod keluar. Pada ketika ini, kalian boleh menarik nafas lega dah sikit. Sijil bewarna sudah dalam genggaman hahaha!

-Sebaik tiba di Laban Rata, aku sarankan kalian terus ke kafe untuk bersarapan pagi. Masa ni boleh lah kalau kalian nak makan berat sikit. Ada nasi goreng, mee goreng, bubur, oat, roti, buah-buahan dan banyak lagi.

-Setelah selesai sarapan, balik ke bilik dan berkemas semua barang-barang untuk persiapan turun ke bawah. Kalau nak mandi pun boleh.

-Perlu diingatkan waktu check out dari tempat penginapan kita adalah jam 10.30 pagi. Sekiranya lewat, denda sebanyak RM100 akan dikenakan bagi setiap 1 jam! Jadi, sila rancang jadual masa kalian baik-baik ya.

FASA 4:


Perjalanan turun dari Panalaban menuju ke Pondok Timpohon.

-Selepas check out, kita akan terus membuat perjalanan turun menuju ke Pondok Timpohon. Perjalanan turun ini memakan masa yang lebih pendek, biasanya antara 3-5 jam sahaja.

-Semasa perjalanan turun ini, penggunaan tongkat sangat-sangatlah berguna sebagai "kaki" ketiga kita. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh kaki kita. Ada yang mengatakan perjalanan turun lebih menyeksakan berbanding perjalanan naik.

-Selepas mengharungi jarak sejauh 6km dari Laban Rata tadi, kita akhirnya tiba di Pondok Timpohon semula.

-Di Pondok Timpohon ini, sila laporkan kepada petugas di sini dan turunkan tandatangan kita pada borang yang sama kita tandatangan semasa di permulaan pendakian semalam.

Maka berakhirlah pendakian kita menawan puncak Gunung Kinabalu. Tahniah!

Jangan lupa ambil sijil penghargaan kita di Pejabat Sabah Park ya. Yang berjaya sampai ke puncak dapatlah sijil bewarna, yang gagal dapat sijil hitam putih sahaja.





TIPS BERGUNA (BERDASARKAN PENGALAMAN AKU)

-Disarankan untuk bermalam di kawasan berdekatan dengan Kinabalu Park pada hari sebelum pendakian. Jadi, nanti takde lah tergesa-gesa pada hari pendakian. Macam aku hari tu bermalam di Hostel Grace, Sutera Sanctuary Lodges yang terletak di dalam Kinabalu Park. Harga untuk menginap di dorm cuma RM45/katil. Cerek ada disediakan. Minuman 3 in 1 juga ada disediakan. Jadi senang nak minum kopi ke milo ke waktu breakfast.

-Kalau boleh pada pagi pendakian tu janganlah ambil sarapan pagi terlalu berat sangat. Pilihan terbaik ambillah 2-4 keping roti berperisa macam butterscotch tu, 1-2 biji telur rebus dan sebiji buah (epal/pear/oren/pisang). Minuman pula boleh ambil milo. Minum air kosong secukupnya semasa sarapan.

-Cukup sekadar bawa botol air mineral kecil (500ml) di sepanjang pendakian. Bawa botol air yang penuh dipermulaan pendakian. Sekiranya habis, boleh lah diisi di mana-mana pondok perhentian.

-Untuk bekalan snek semasa pendakian pula, korang boleh la bawak snek yang membekalkan tenaga pantas macam cloud 9, kismis, kurma, coklat bar atau pisang. Macam aku hari tu aku bawak cloud9 saja.

-Kalau boleh bawak sikit roti untuk alas perut jika korang tiba awal di Laban Rata kerana makan malam di kafe Laban Rata Resthouse hanya mula disediakan pada jam 4.30 petang hingga jam 7.30 malam sahaja. Sila rancang pendakian korang supaya tiba di Laban Rata sebelum jam 7. 30 malam. Kalau tak memang tak makan lah korang.

-Semasa bergerak, bergeraklah secara perlahan dengan menggunakan langkah kecil sahaja. Janganlah berjalan cepat. Biar gerakan perlahan tapi teruskan bergerak.

-Jangan berhenti terlalu lama sekiranya korang berhajat untuk berehat. Cukup sekadar 3-5 minit bagi setiap pemberhentian. 1 minit boleh lah digunakan untuk meregangkan kaki, 1 minit untuk menstabilkan pernafasan. 1-2 minit untuk makan snek dan minum.

-Jangan minum terlalu banyak air di setiap pemberhentian. Cukup sekadar 2-3 teguk sahaja sekali minum. Jangan pulak kau teguk habis sebotol terus!

-Di Laban Rata, kalau nak minum air secara percuma, boleh ambil air dari mesin water cooler di bangunan hijau bersebelahan dengan kafe. Kat situ ada 2 biji mesin water cooler. Percuma sahaja!

-Sekiranya kalian membawa tongkat semasa pendakian, aku nasihatkan jangan bawa tongkat tersebut semasa pendakian dari Laban Rata menuju ke puncak kerana di sepanjang laluan ini kita banyak menggunakan tangan untuk berpaut pada tali. Mana nak pegang tali, mana nak pegang tongkat lagi. Kan payah tu. Penggunaan tongkat sangat berguna bagi perjalanan turun dari Laban Rata ke Pondok Timpohon.

-Bawa bekalan suplemen dan ubat-ubatan yang sudah serasi dengan kalian. Macam aku hari tu aku bawa panadol active fast, pain killer, tablet vitamin C, ubat sapuan untuk muscle pain dan minyak angin cap kapak.

-Bagi persediaan fizikal pula, aku sarankan buatlah latihan turun naik tangga di mana-mana bangunan tinggi. Ini penting untuk melatih otot betis dan peha atas kalian bagi mengelakkan kekejangan otot semasa hari pendakian sebenar nanti.

***Rujuk gambar untuk kronologi pendakian Gunung Kinabalu dari awal sehingga akhir***




2 comments:

  1. wah bestnya baca pengalaman hiking gunung kinabalu...teringin jugak nak pergi lepas2 covid ni...

    ReplyDelete
  2. salam bang. pakai knee guard ke tu? jenama apa beli kat mana..thanks bro

    ReplyDelete