Saturday, January 25, 2014

PRINSIP-PRINSIP KOPERASI

 
DEFINISI PRINSIP KOPERASI

W.P. Watkins (1986), penulis buku ‘Co-operative Principles: Today & Tomorrow’, telah mendefinisikan prinsip sebagai suatu pemikiran (ide) yang diterima sebagai panduan terhadap sebarang dasar atau tatacara tindakan yang tidak mengalami perubahan. Ianya adalah sesuatu yang mantap, suatu pemikiran yang dianggap sahih pada setiap masa dan keadaan, suatu tanggapan yang diterima sebagai benar setelah ia banyak kali dilaksanakan dan disahkan kebenarannya oleh pengalaman.

Prinsip koperasi merupakan pemikiran atau garis panduan yang kekal, yang menentukan ciri-ciri penting sesebuah pertubuhan koperasi, sebagai satu bentuk organisasi yang berbeza daripada organisasi lain.

PERKEMBANGAN PRINSIP KOPERASI

Koperasi moden pertama dunia ialah Koperasi Rochdale (The Rochdale Pioneers’ Society) yang ditubuhkan pada 1844 oleh Pelopor Rochdale, di Manchester, England. Koperasi Rochdale berjaya membantu anggotanya disebabkan oleh prinsip berikut:-

          a)      Keanggotaan terbuka;
          b)      Kawalan demokrasi (satu anggota, satu undi);
          c)      Agihan lebihan mengikut langganan;
          d)      Bayaran kadar terhad atas modal;
          e)      Tiada diskriminasi politik dan agama;
          f)       Urusniaga tunai (urusniaga hutang tidak diberikan);
          g)      Promosi pendidikan.

Prinsip Koperasi Rochdale ini kemudiannya telah dijadikan PRINSIP KOPERASI secara rasminya oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance – ICA) pada tahun 1937, untuk digunapakai oleh koperasi-koperasi lain agar dapat berjaya seperti Koperasi Rochdale.

Pada tahun 1963, sebuah Suruhanjaya Mengkaji Prinsip-prinsip telah dibentuk bagi mengkaji semula prinsip-prinsip tersebut. Pada tahun 1966, prinsip-prinsip koperasi diperbaharui seperti berikut:-

          a)      Keanggotaan terbuka dan sukarela;
          b)      Kawalan demokrasi dan organisasi demokratik;
          c)      Pengeluaran faedah terhad atas modal kepada anggota;
          d)      Lebihan operasi diedarkan menerusi:-   
                   i.        perniagaan koperasi yang dimajukan;
                   ii.       perkhidmatan-perkhidmatan bersama yang dilaksanakan; dan
                   iii.      pemberian pulangan kepada anggota yang berlanggan dengan koperasi. 
          e)     Pendidikan kepada anggota, pegawai-pegawai, kakitangan dan orang ramai mengenai prinsip dan teknik koperasi;
          f)    Bekerjasama dengan semua koperasi di berbagai peringkat asas, menengah, kebangsaan dan antarabangsa.

Pada tahun 1995, ICA sekali lagi mengkaji dan membuat pindaan kepada prinsip koperasi, menggabungkannya dengan definisi dan nilai koperasi, menjadikannya ‘Kenyataan Jatidiri Koperasi’. Prinsip koperasi 1995 ini diguna pakai hingga ke hari ini.


PRINSIP KOPERASI - MAKSUD DAN MATLAMAT

ICA yang bersidang di Manchester, United Kingdom pada 24 September 1995, dihadiri oleh wakil-wakil koperasi seluruh dunia sempena sambutan 150 tahun badan tersebut, telah mengisytiharkan tujuh prinsip yang menjadi sebahagian identiti koperasi iaitu:-

          a)      Keanggotaan sukarela dan terbuka;
          b)      Kawalan demokrasi oleh anggota;
          c)      Penglibatan ekonomi oleh anggota;
          d)      Autonomi dan kebebasan;
          e)      Pendidikan, latihan dan maklumat;
          f)       Kerjasama antara koperasi;
          g)      Mengambil berat terhadap masyarakat. 


1. Keanggotaan Sukarela dan Terbuka

Koperasi adalah satu organisasi sukarela yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menganggotainya, yang boleh menggunakan perkhidmatannya dan sedia menerima tanggungjawab sebagai seorang anggota, tanpa diskriminasi jantina, lapisan masyarakat, bangsa, politik mahupun agama.


Koperasi tidak mengamalkan sebarang diskriminasi dengan membezakan individu-individu mengikut kelas, bangsa, agama, jantina, keupayaan mahupun budaya. Bagi memenuhi prinsip pertama ini, koperasi tidak boleh menghalang individu yang ingin menyertai koperasi atas sebarang diskriminasi yang disebutkan. Walaupun begitu, bagi memudahkan urusan koperasi, keterbukaan boleh dihadkan contohnya mengikut kedudukan geografi sesebuah koperasi itu ataupun mengikut keperluan anggotanya.

Pun begitu, tiada siapa seharusnya dipaksa menyertai koperasi. Koperasi sebagai satu organisasi sukarela memerlukan motivasi untuk menarik minat orang ramai untuk menyertainya. Setiap individu mempunyai motivasi dan keperluan yang berbeza namun lazimnya kehendak-kehendak ini melibatkan keselesaan hidup, kewangan, pekerjaan, kebajikan dan kebaikan menyeluruh. Oleh itu, seseorang individu akan memilih untuk menyertai koperasi apabila koperasi dapat menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan ini.

Koperasi yang dianggotai secara sukarela tentunya mempunyai anggota yang berkualiti, faham tentang koperasi dan matlamat penubuhan koperasi yang disertainya itu. Dasar keanggotaan terbuka pula akan menyebabkan lebih ramai orang dapat menyertai koperasi, menjadikan koperasi lebih besar. Koperasi besar mempunyai jumlah anggota yang ramai, tentunya dapat mengumpulkan modal yang lebih banyak, sekaligus menceburi perniagaan dalam skala yang besar.

2. Kawalan Demokrasi oleh Anggota

Koperasi adalah organisasi demokratik yang dikawal oleh anggotanya yang mengambil bahagian secara aktif di dalam menentukan dasar dan membuat keputusan.

Ini termasuklah perkara seperti pemilihan Anggota Lembaga (ALK), perihal kewangan dan isu dasar koperasi. Kesemuanya ini hendaklah dibincangkan dan diputuskan di dalam mesyuarat agung (MA) yang dihadiri oleh anggota koperasi. MA hendaklah dilaksanakan secara demokrasi, di mana keputusan yang dibuat di dalam MA adalah mengikut undi majoriti, contohnya bagi koperasi asas ditentukan oleh bilangan anggota (pemegang syer koperasi) yang mempunyai satu undi setiap seorang, tanpa mengira jumlah syer yang dipegang di dalam koperasi.



Koperasi yang dikawal sendiri oleh anggotanya melalui MA dapat memastikan pentadbiran dan pengurusan koperasi yang telus. Anggota lelaki dan wanita yang berkhidmat sebagai ALK yang dipilih bertanggungjawab kepada semua anggota yang lain. Oleh itu, ALK yang dipilih akan sentiasa berhemat dan bertekun menjalankan amanah yang diberikan oleh anggota.

Koperasi yang terkawal secara demokrasi menjadikan setiap anggotanya penting dan berdiri sama taraf antara satu sama lain. Sistem demokrasi di dalam MA koperasi tidak mengambil kira jumlah syer yang dipegang oleh seseorang anggota, tetapi memberi keutamaan kepada anggota itu sendiri sebagai individu dan pemilik koperasi. Hal ini amat penting di dalam koperasi yang bertujuan untuk memenuhi keperluan anggota (member-base society), bukannya memenuhi keperluan seseorang individu yang kaya raya.

3. Penglibatan Ekonomi oleh Anggota

Modal koperasi disumbang oleh anggota secara saksama dan dikawal secara demokrasi. Sebahagian daripada modal itu hendaklah menjadi harta bersama koperasi. Anggota akan menerima pulangan yang terhad di atas modal yang disumbangkan. Keuntungan koperasi akan digunakan untuk memajukan koperasi, mewujudkan rizab yang sebahagiannya tidak boleh dibahagikan, memberi manfaat kepada anggota mengikut jumlah langganan mereka dengan koperasi dan membantu aktiviti lain yang dipersetujui oleh anggota.


Kedudukan kewangan koperasi akan lebih kukuh sekiranya modal koperasi diperolehi secara dalaman, iaitu daripada anggotanya sendiri berbanding modal yang diperolehi dari luar seperti pinjaman, yang mempunyai kos tambahan yang tinggi (interest).

Modal koperasi juga boleh diperolehi melalui keuntungan perniagaan koperasi yang tidak diagihkan kepada anggota. Oleh itu, prinsip ini menghadkan agihan kepada anggota atas sumbangan modal (dividen), agar lebih banyak dana boleh disalurkan untuk memajukan lagi perniagaan koperasi.

Lebih banyak modal koperasi, lebih banyak perkhidmatan dan perniagaan yang boleh disediakan oleh koperasi untuk anggotanya. Lebih banyak anggota berlanggan dengan koperasi, lebih banyaklah pendapatan koperasi. Langganan anggota yang berterusan ini dapat menjadikan sumber kewangan koperasi stabil dan kukuh. Maka lebih banyaklah manfaat yang boleh dipulangkan kembali kepada anggota berdasarkan jumlah langganan (rebat). Rebat yang diberikan akan menarik minat dan kesetiaan anggota untuk terus membeli/melanggan di koperasi.

Koperasi bukan bertujuan untuk mencari keuntungan. Oleh itu, keuntungan yang diperolehi haruslah dipulangkan kepada anggota. Selain pulangan kepada anggota dalam bentuk dividen dan rebat, koperasi boleh menggunakan lebihan keuntungan koperasi ini untuk mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu lagi anggota dari segi ekonomi, sosial dan budaya.

4. Autonomi dan Kebebasan

Koperasi adalah organisasi yang berautonomi dan berdikari, dikuasai sepenuhnya oleh anggotanya. Sekiranya koperasi membuat sebarang perjanjian dengan organisasi lain, termasuk kerajaan, atau mendapatkan modal daripada sumber luar, koperasi hendaklah memelihara prinsip kawalan demokrasi oleh anggota sambil mengekalkan autonomi koperasi.


Umpama sebatang pokok, koperasi perlu membangun dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan terutamanya dari segi kewangan dan subsidi dari mana-mana pihak. Anggota koperasi bebas menentukan corak pentadbiran dan pengurusan koperasi mengikut acuan sendiri selagi tidak bertentangan dengan undang-undang koperasi dan ketetapan lain yang ditentukan oleh pihak berkuasa di kawasan koperasi beroperasi.

Koperasi yang berdikari, yang digerakkan oleh modalnya sendiri dan dijayakan oleh anggotanya sendiri akan dilihat oleh pihak luar sebagai suatu organisasi yang profesional dan disegani. Ini dengan sendirinya memberikan kuasa autonomi dan kebebasan kepada koperasi untuk terus berkembang maju, menentukan hala tujunya sendiri, tanpa disekat, diberi telunjuk atau terhutang budi kepada orang-orang yang mementingkan diri sendiri.

5. Pendidikan, Latihan dan Maklumat

Koperasi menyediakan pendidikan dan latihan untuk anggotanya, ALK, pengurusan dan kakitangannya agar mereka dapat menyumbang tenaga dengan berkesan kepada pembangunan koperasi. Peluang untuk mendapatkan pendidikan dan latihan koperasi hendaklah diberikan sama rata kepada semua warga koperasi. Pendidikan dan latihan koperasi juga hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Pendidikan dan latihan koperasi akan memastikan koperasi diuruskan secara profesional.


Anggota yang berpendidikan dan terlatih dapat melibatkan diri secara aktif dalam koperasi samada sebagai pemilik di dalam MA, sebagai ALK, Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD), ataupun pengurusan dan kakitangan. Anggota yang berpengetahuan tentang koperasi, akan turut serta dan menyokong aktiviti dan perniagaan koperasi, samada sebagai pelanggan, pembekal, penjual ataupun membantu memasarkan produk koperasi.

ALK dan pengurusan yang berpendidikan dan terlatih dapat mentadbir dan mengurus koperasi dengan cekap dan berkesan. Terdidik dengan nilai dan prinsip koperasi, golongan ini akan memimpin koperasi dan anggotanya dengan penuh sadik, amanah dan telus.

Selain itu, maklumat tentang koperasi dan manfaat berkoperasi hendaklah disebarkan kepada umum, terutamanya kepada golongan muda dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Dengan itu, lebih ramai akan mengetahui tentang koperasi dan mengurangkan perspektif negatif mereka terhadap koperasi, sekaligus meyakinkan mereka untuk lebih bekerjasama dengan koperasi atau menyertai koperasi.

Penyertaan golongan muda ke dalam koperasi dapat menjamin kesinambungan gerakan koperasi. Sokongan pemimpin masyarakat terhadap koperasi dapat membantu perkembangan positif koperasi ke arah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

6. Kerjasama Antara Koperasi

Koperasi dapat memberi khidmat yang lebih berkesan kepada anggotanya dan mengukuhkan lagi gerakan koperasi melalui organisasi-organisasi tempatan, nasional, serantau dan antarabangsa.

 
Pelbagai bentuk kerjasama boleh dilaksanakan oleh koperasi sesama koperasi samada secara formal melalui penubuhan atau menyertai gabungan, ataupun tidak formal seperti belian bersama-sama secara pukal, ‘joint-venture’, mewujudkan rantaian nilai dan sebagainya. Kerjasama koperasi boleh juga dilakukan dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial mahupun budaya.

Dari segi ekonomi, kerjasama antara koperasi dapat mewujudkan ‘economies-of-scale’, memberi kuasa kepada koperasi untuk menentukan harga sesuatu barangan dan  memberi keupayaan kepada koperasi-koperasi kecil melibatkan diri dalam perniagaan berskala besar, sekaligus menjadikan koperasi lebih berdaya saing.

7. Mengambil berat Terhadap Masyarakat

Koperasi menitikberatkan pembangunan masyarakat secara berterusan melalui polisi yang diterima oleh anggota mereka. Pembangunan koperasi hendaklah selari dengan pembangunan masyarakat. Tidak ada ertinya sekiranya koperasi maju tetapi masyarakat dipinggirkan. Masyarakat yang dimaksudkan termasuklah ahli keluarga dan jiran tetangga anggota sesebuah koperasi, masyarakat setempat yang bukan anggota koperasi, alam sekitar, haiwan-haiwan dan benda hidup yang lain.


Koperasi mendidik anggotanya menjadi warganegara bertanggungjawab dan prihatin terhadap orang lain dan persekitaran. Selain aktiviti perniagaan, koperasi juga melaksanakan aktiviti kebajikan untuk anggotanya dan masyakarat setempat termasuk memelihara alam sekitar. Sebahagian keuntungan koperasi boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti seperti menanam dan memelihara pokok di sekitar kawasan koperasi, mengadakan ceramah kesedaran masalah sosial seperti dadah, buli dan sebagainya, mewujudkan tabung kebajikan dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

Prinsip ini dapat membantu koperasi untuk terus hidup dan berkembang. Umpama suatu kitaran, masyarakat dan persekitaran yang telah menerima kesan positif koperasi akan memberi ruang dan menyokong perkembangan dan kemajuan koperasi. Koperasi seterusnya akan terus mengambil berat terhadap masyarakat.

"KOPERASI PEMANGKIN KESEJAHTERAAN UMMAH"

No comments:

Post a Comment