Monday, September 10, 2012

THE HISTORY OF PE'TANQUE (In Malay)

SEJARAH PERMAINAN PETANQUE
Oleh: George Aiman Milin 

Sejarah sukan petanque dikesan kewujudannya semenjak tahun 9000 S.M. apabila satu set bola batu di temui di Turki. Satu set bola juga dijumpai di makam orang-orang Mesir pada tahun 7000 S.M. Di zaman purba, sukan ini dimainkan oleh orang-orang Rom dan Greek. Ditanggapi bahawa orang-orang Rom merupakan orang pertama yang membawa sukan Petanque ke Marseilles, Perancis kira-kira 2600 tahun dahulu. Petanque ialah sejenis sukan yang dimainkan di tempat yang lapang dan dibangunkan sejak berkurun dahulu. Sejarah yang tepat mengenainya tidak tercatat tetapi terdapat bukti-bukti daripada cerita-cerita turun-temurun bahawa sukan ini pertama kali dimainkan di Greek kira-kira 2000 tahun yang lalu. Ianya bermula dengan mengutip ketul-ketul batu bulat dari gunung-ganang dan dasar laut untuk bermain. Cara permainan ialah siapa yang melontar dengan tepat dan paling jauh, dialah yang menang.

Selepas itu sukan ini berkembang ke Benua Eropah. Ketika negara-negara Rom menakluk dan menjajah bangsa Greek, bangsa Rom telah mengambil alih dan mempelajari cara-cara bermain sukan ini daripada orang Greek.Selepas itu, bangsa Rom telah menggunakan cara-cara bermain sukan ini untuk beradu tenaga/kebolehan fizikal di pergelangan tangan dan badan kaum lelaki ketika itu. Kemudian, ketika bangsa Rom menakluk dunia dan Negara Perancis, mereka telah menguasai dan memperkenalkan permainan ini di bahagian selatan Perancis. Permainan bola ini mendapat sambutan dan diubahsuai dengan menggunakan kayu keras yang diukir menjadi bulat. Kemudian, di sekelilingnya dipakukan dengan paku besi supaya bola lebih berat dan bersesuaian dengan tangan pemain.

Ketika zaman pertengahan, kira-kira S.M. 400-1000, sukan ini sangat popular sehingga ia dilarang dari dimainkan oleh orang kebanyakan. Pada kurun ke 17, para bangsawan Perancis telah menjadikan sukan ini kepunyaan mereka sahaja. Raja Louis XIV telah meletakkan peraturan permainan tersebut kepada 14 mata. Baginda telah mengisytiharkan dan memperkenalkan sukan ini di kalangan orang kenamaan dan hanya dibenarkan dimainkan di kawasan istana sahaja.

Ketika zaman pemerintahan Napoleon Bonaparte, beliau telah mengisytiharkan semua permainan bola sebagai sukan kebangsaan bagi negara Perancis. Semua rakyat jelata dibenarkan bermain sukan ini dengan bebas. Bermula dari situ, sukan ini semakin digemari ramai dan dipermodenkan dari masa ke semasa seperti bermain dengan menggunakan peluru meriam sebagai bola permainan. Selain itu, sukan ini juga diberi nama baru seperti “Bulbree-Rotong”, “Bulli-Jonese”, “Bulcher-Delong” dan “Bul-Prowangsaan”.
Di akhir tahun kesepuluh abad ke-19, negara Perancis telah menjadi negara yang pertama di dunia yang mengeluarkan syarat-syarat tertentu bagi sukan “Bul-Prowangsaan”. Syaratnya ialah pemain hanya dibenarkan berlari sebanyak tiga langkah sebelum melontar bola. Dengan syarat baru ini, “Bul-Prowangsaan” menjadi kesukaan ramai dan kepopularitiannya berkembang pesat dan pertandingan sukan ini diadakan di merata negara Perancis. Ianya berlanjutan sehingga awal tahun kesepuluh abad ke-20.

Sejarah moden sukan petanque bermula pada tahun 1910 di sebuah kampung kecil di La Ciotat, Perancis. Peristiwa yang telah membawa kepada pengubahsuaian sukan ini yang berlaku di kawasan Lasik-Ootar, di daerah Tamasyen yang terletak di bahagian selatan negara Perancis. Ubahsuai ini berpunca daripada seorang pemain handalan bernama Jules Le Noir yang telah terlibat dalam kemalangan yang teruk. Kedua-dua belah kakinya telah cacat. Ini menghalang beliau daripada bermain sukan ini seperti sebelumnya. Walau bagaimanapun, semangat dan minat beliau tidak luntur. Beliau didapati sentiasa duduk di atas kerusi roda melihat orang lain bermain, sedangkan beliau sendiri tidak mungkin boleh bermain lagi.


Suatu hari, ketika Jules Le Noir duduk di atas kerusi roda sambil melihat dengan asyiknya sahabat handai dan keluarga bermain sukan “Bul-Prowangsaan” dengan gembira, adik lelakinya memerhati dan mendapati abangnya begitu sedih kerana tidak berkeupayaan bermain sukan itu lagi. Beliau begitu simpati terhadap abangnya yang cacat, lalu menghulurkan bola kepada Jules Le Noir supaya beliau cuba melontar ketika berada di atas kerusi roda. Bola berkenaan dilontar pada jarak dekat kira-kira tiga hingga empat kaki. Jules Le Noir didapati berkebolehan melontar bola berkenaan dengan menggunakan tenaga dari pangkal lengan dan pergelangan tangan dengan tepat sekali. Ini menyebabkan adik lelaki Jules Le Noir berusaha memikirkan cara untuk mengubah suai sukan ini. Beliau melakar bulatan di atas tanah, pemainnya dibenarkan berdiri di dalam bulatan berkenaan. Kedua-dua paha mesti dirapatkan. Pemainnya tidak perlu lagi berlari seperti syarat-syarat terdahulu. Selepas itu, sahabat handai dan saudara-mara telah memberi kerjasama kepada Jules Le Noir. Akhirnya sukan “Bul-Prowangsaan” yang diubah suai ini membolehkan Jules Le Noir berpeluang bermain sekali lagi dan bergembira seperti dahulu.

Permainan “Bul-Prowangsaan” yang diubah suai ini adalah berasaskan penyertaan seramai kira-kira 50 orang peserta. Semua peserta berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan sukan ini selama kira-kira 30 tahun. Pengasas sukan ini berusaha menghubungi orang berpengaruh dalam bidang sukan, ahli-ahli politik, menteri-menteri, para pegawai dari semua peringkat. Akhirnya tertubuhlah “Pertubuhan Petanque dan Prowangsaan” pada tahun 1938. Pada ketika ini, para peserta bertambah kepada ratusan orang daripada semua peringkat, jantina dan umur yang melaporkan diri untuk menjadi peserta. Bola yang digunakan untuk bermain pun semakin canggih kerana terdapat ahli-ahli yang mengubah suai peralatan permainan, seperti bola besi campuran dan di bahagian dalamnya berongga. Ini menyebabkan permainan ini menjadi kesukaan ramai dan lebih popular daripada sebelumnya.
Ketika peperangan dunia kedua, pada tahun 1945, pemain “Bul-Prowangsaan” yang telah dimodenkan ini beransur-ansur menjadi popular dan berkembang dengan cepat ke seluruh negara-negara di bawah jajahan British. Cara-cara bermain bola ini telah dibahagi kepada tiga jenis iaitu:
1.      Lijonee
2.      Prowangsaan (Berlari tiga langkah sebelum melontar bola)
3.      Petanque (Popular ketika ini)
Kini, sukan petanque adalah suatu sukan yang digemari hampir di semua negara di Eropah, Amerika dan Asia. Kepopularannya sangat ketara di negara Perancis, Switzerland, Belgium, Jerman Barat, Venezuela, England, Holland, Sepanyol, Sweden, Kanada, Tunisia, Algeria, Maghribi, Madagascar dan lain-lain.
Di Asia, Thailand mendahului negara-negara lain. Negara Thai adalah adalah negara di Asia yang pertama dan yang ke-17 di dunia yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Petanque Antarabangsa yang kini dikenali sebagai The International Federation of Petanque et Jeu Provencal (FIPJP). Negara jiran Malaysia yang juga bermain sukan petanque ini adalah seperti Vietnam, Cambodia, Republik Laos, Myanmar, Jepun, Singapura, Brunai, Indonesia dan Hongkong.

Perkataan Petanque berasal daripada Bahasa Perancis, “Pejek-Tongkek” yang bermaksud berdiri dengan kedua-dua belah kaki rapat antara satu sama lain. Perkataan ini berlawanan dengan permainan “Bul-Prowangsaan” yang memerlukan larian tiga langkah sebelum melontar bola. Kemudian, orang-orang Perancis berpendapat perkataan “Pejek-Tongkek” adalah perkataan yang panjang dan agak susah disebut, oleh itu ianya ditukar kepada perkataan lain yang bersesuaian iaitu “Petanque” seperti mana disebut sekarang.
Sekian dan Terima kasih
Majulah Petanque Untuk Malaysia
http//georgeaiman.blogspot.com
 

Saturday, July 7, 2012

PERSOALAN: KALAU SAYA BELI EMAS FIZIKAL MANA NAK SIMPAN?

Cara Simpan Emas Dengan Selamat


Perkara pertama yang sahabat perlu tahu, Ar-Rahnu bukanlah tempat simpan emas. Ia tempat untuk dapatkan pinjaman bercagarkan emas. So, menyimpan emas di Ar-Rahnu adalah merugikan kalau tak tahu menggandakan keuntungan dengan duit pajak tu.

Keduanya, simpan emas ni senang jer, cuma bagi orang baru dia rasa takut sebab dia rasa nilainya tinggi. Padahal, simpan kereta dan barang berharga lain tu lagi berisiko besar berbanding simpan emas. Risiko hilang kereta lagi besar daripada hilang emas. Itu semua mindset jer. Kalau dah lama nanti, kita rasa selamber jer… (“,)

Sebagai panduan asas, ini 5 tips penting untuk pastikan emas kita disimpan dengan selamat:

Tip 1: Jangan bagi tahu sesiapa

Ini paling penting. Kalau beli emas, jangan bagi tahu sesiapa kecuali isteri ataupun suami jer. Tak perlu tunjuk pada kawan-kawan koleksi emas yang kita ada. Duduk diam-diam sudah… (“,)


Untuk makluman sahabat, saya tak pernah bagi tahu pada jiran-jiran yang saya adalah dealer emas dan saya memang tak cerita pada sesiapa di kawasan kediaman kecuali sahabat rapat yang follow blog saya. Itu jer. Bukan tak nak promosi, tapi sebab faktor keselamatan. Nanti orang lain fikir rumah saya penuh emas, padahal habuk pun tak ada...

Tip 2: Simpan di rumah, syaratnya...

Syiling 1 dinar saiznya lagi kecil dari duit 10 sen. So, nak simpan 1 dinar sebenarnya lagi senang dari simpan duit dan barang berharga lain. Tempat paling selamat simpan emas kat rumah ialah tempat yang orang biasanya tak terfikir. Mungkin dalam soket dinding, pam tandas, tin biskut, peti ais, dalam lampu, belakang jam, bawah almari, dalam pasir akuarium, dalam pasu, dsb. Asalkan jangan simpan dalam almari ataupun belakang oven dah lah sebab itu biasanya akan jadi sasaran perompak.

Tip 3: Simpan di pejabat, tapi...

Ramai orang tak perasan, pejabat mungkin boleh jadi tempat percuma dan agak selamat untuk simpan barang berharga. Tapi ia hanya sesuai kalau pejabat yang ada;
  1. Sistem kawalan keselamatan yang ketat. Nak masuk kena register di pos kawalan, bilik pun cuma “authorised personnel” jer yang boleh masuk, ada CCTV, dan laci workstation anda pun boleh dikunci.
  2. Kawan-kawan sepejabat yang boleh dipercayai dan amanah.

Cuma yang perlu ambik perhatian ialah cleaner yang keluar masuk bersihkan office. Itu jer.

Tip 4: Beli Safe Deposit Box dan simpan di rumah

Ini kosnya agak tinggi dan taklah selamat sangat especially kalau masa kita ada kat rumah. Kalau perompak masuk rumah, itulah yang pertama dia nak bukak.

Safe deposit box kat rumah ni lebih kepada simpan daripada anak-anak ataupun pembantu rumah jer. Bagi orang biasa macam saya, cara ni agak mahal dan kurang praktikal.

Tip 5: Safe Deposit Box di bank atau syarikat swasta


Bagi saya, simpan di Safe Deposit Box berbayar paling selamat dan paling nyenyak tidur malam. Kosnya pun murah jer. Paling murah sekitar RM100 untuk box paling kecik – boleh muat emas bernilai RM100,000.

Tempat saya simpan emas.
Saya simpan kesemua emas saya di sana. Kalau emas anda lebih RM10,000, mungkin boleh pertimbangkan simpan di Safe Deposit Box. Kalau bawah RM10,000, saya rasa simpan kat rumah pun ok sebab simpan kereta kat rumah tu lagi berisiko tinggi berbanding simpan emas…

Di Bank atau Syarikat Swasta?

Untuk orang kebanyakkan, saya syorkan sewa di bank sebab kosnya paling murah. Kekurangannya ialah cover insurannya cuma RM10,000 jer. Kalau nak cover lebih, kena runding dengan bank untuk naikkan cover insuran. Keduanya, waktu dia tertakluk waktu bank (pejabat) jer.

Jika anda adalah dealer emas yang banyak urusan keluar masuk emas, anda lebih baik simpan di syarikat swasta sebab (1) cover insurannya tinggi, (2) waktunya lebih fleksible – 9.00 pagi hingga 11.00 mlm setiap hari termasuk Ahad dan cuti umum. Tapi ia bergantung syarikat swasta yang anda pilih.

Wallahu a’lam.

Thursday, June 14, 2012

TEKNIK ASAS KEMAHIRAN PETANQUE

1. TEKNIK ASAS MEMEGANG BOLA


1. Menggunakan 4 jari rapat tanpa menggunakan ibu jari.



2. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi tepi



3. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi depan


 
4. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi belakang



2. TEKNIK ASAS POSISI KAKI

1. Kedudukan kaki separuh ke depan dan separuh ke belakang.



2. Kedudukan kaki sama / selari



3. Kedudukan kaki setengah di hadapan dan setengah di belakang dan sedikit terbuka di bahagian belakang



3. TEKNIK ASAS POSISI POINTING

1 (a). Paras kedua-dua lutut sama tinggi

1 (b). Paras lutut kanan lebih tinggi

2 (a). Hayunan bola dari paras bahu

2 (b). Hayunan bola dari aras bawah



TIP POINTING
Kedudukan badan/ kaki mestilah seimbang.
Tumpuan mata ke arah jatuhan bola (landing point).
Ketika bola dilepaskan jari rapat dan tangan lurus serta pergelangan tangan bengkok ke atas.


TEKNIK POINTING
1. Lontaran Rendah (Rolling)
2. Lontaran Sederhana (Half Lob)
3. Lontaran Tinggi (Full Lob / High Lob)
· Kaedah yang sama untuk pointing berdiri
· Pastikan lontaran anda menepati kawasan jatuhan bola (landing point) dan menyeimbangkan kekuatan lontaran dan ketinggian lontaran bola.


4. TEKNIK ASAS POSISI SHOOTING



· Pastikan posisi kaki, lutut, badan, jari dan tangan dalam keadaan betul dan selesa.

· Tumpukan perhatian kepada target (bola atau jack)




· Hayunkan tangan ke belakang dengan pergerakan seluruh badan dengan lembut.

· Bongkokkan sedikit badan untuk menambah kekuatan kepada teknik “Back swing”.


Ketika melepaskan bola, pastikan:

· Tangan lurus

· Pergelangan tangan bengkok ke atas

· Kelima-lima jari rapat

· Lutut dan pinggang terkunci

· Setkan minda – bukan “Shoot” tapi “put”.


TEKNIK SHOOTING
1. Shooting Golek (Rooling Shooting)
2. Shooting Jatuh Sebelum
3. Shooting Tepat
4. Shooting Tepat Gantian (Carreau)

 "PETANQUE UNTUK SEMUA"

By
George Aiman Milin

Tuesday, June 5, 2012

Hutang Oh Hutang



Tajuk  :           Hutang Oh Hutang
Oleh   :           George Aiman Milin

Dengan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Kursus B4P Angkasa telah menggubal mudul yang diberi tajuk “Pengurusan Kewangan Keluarga”. Modul ini mula disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Angkasa dalam ceramah mereka untuk warga koperasi seluruh Malaysia sejak setahun lalu (2009). Modul ini berbeza dan istimewa kerana ia tidak membicarakan soal koperasi semata-mata tetapi lebih fokus kepada permasalahan warga koperasi. Waima permasalahan ini juga merupakan masalah umat sejagat iaitu masalah “hutang”. Melalui Data Statistik Kebangkrapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvansi Malaysia dari tahun 2002 hingga Februari 2007, seramai 153,676 orang telah diisytiharkan bangkrap. Pastinya data ini lebih besar jumlahnya jika dikeluarkan pula statistik mereka yang mempunyai masalah hutang yang kronik.

Ironinya, penyakit hutang ini dihidapi sebahagian besar warga koperasi. Kemungkinan penyakit hutang ini menular dengan cepat kerana penubuhan koperasi kredit yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dirancakkan lagi apabila ada koperasi kredit yang mewar-warkan selogan yang berbunyi “Orang mesti berhutang, Yang Tidak Berhutang itu Binatang”. Walaupun selogan tersebut ada kebenarannya, namun sebagai warga koperasi yang bijak, kita perlu menilai keperluan untuk kita berhutang. Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir dalam bukunya “Cukup Wang Hati Tenang” membahagikan hutang kepada dua iaitu Hutang Berkat dan Hutang Mudarat. Hutang Mudarat menimbulkan masalah pada masa depan sebaliknya Hutang Berkat boleh memudahkan masa depan. Hutang adalah satu fenomena yang sukar dihindari oleh sesetengah individu, kerana mereka beranggapan hanya dengan berhutang sahaja mereka akan dapat memenuhi keperluan hidup. Ada juga yang berhutang untuk menjaga nama dan status sosial, tuntutan hidup yang canggih dan ingin menyaingi hidup orang lain. Perubahan gaya dan kos kehidupan yang semakin tinggi juga menguatkan alasan untuk berhutang.

Agama Islam membenarkan malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Walau bagaimanapun Islam tidak menggalakkannya, terutamanya apabila hutang tersebut membebankan untuk dilunaskan. Jika terpaksa berhutang, pemiutang hendaklah berazam dan berniat untuk membayar hutangnya.

Firman Allah s.w.t:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”  (Al-Baqarah: 282)

Ayat di atas merupakan sebahagian dari ayat yang terpanjang dalam Al-Quran. Ia menerangkan kepada kita cara-cara berjual-beli dan berhutang. Ia menunjukkankan betapa pentingnya konsep jual beli dan hutang piutang dalam kehidupan manusia. Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Jahsy, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;

“Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk Syurga selagi hutangnya belum dibayar.” (HR.An-Nasa’i)

Malangnya segelintir masyarakat sekarang mengabaikan kewajipan membayar hutang. Ini mungkin disebabkan kejahilan mereka mengenai hukum-hakam hutang-piutang menurut pandangan Islam. Sama ada meminjam kerana benar-benar memerlukan atau sebaliknya, semua itu adalah hutang yang akan dihitung di akhirat kelak jika kita gagal membayar balik.

Dewasa ini, ramai membunuh, terbunuh dan dibunuh angkara meminjam wang dari saluran tidak berlesen, 'along'. Tidak kurang juga yang mendapat surat amaran dan saman dari institusi perbankan kerana gagal membayar balik wang pinjaman. Malah, ada sesetengah yang hutangnya (sama ada pinjaman pendidikan, perniagaan atau persendirian) menjadi 'warisan' yang terpaksa ditanggung oleh anak dan ahli waris. Perkara yang juga sering berlaku, ramai akan mengalami kegawatan kewangan setiap kali musim perayaan dan sesi persekolahan bermula. Semuanya gara-gara tidak bijak menguruskan kewangan atau tidak ada bajet belanjawan dalam kehidupan harian diri dan keluarga. Malah, budaya memiliki sesuatu melebihi keperluan asas dan amalan berbelanja secara boros dan mengikut trend masyarakat mendorong institusi kewangan mereka cipta pelbagai kredit dan bentuk pinjaman yang mengaburi mata pengguna. Ini membuatkan ramai yang terus dibebani hutang, malah berlipat ganda kerana terpengaruh dengan pelbagai tawaran istimewa sistem kredit bank.

Anggota keluarga sepatutnya saling berbincang dan mempunyai persefahaman yang rapat dalam mencorakkan kewangan keluarga. Setiap keluarga perlu ada dan menyediakan bajet bukan sahaja tahunan, malah harian, mingguan dan bulanan. Jika kita bijak mengurus dan mengguna masa, bahagialah hidup keluarga, begitu juga dalam menguruskan kewangan. Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan empat perkara utama iaitu; perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.

Kebanyakkan individu yang mempunyai masalah hutang menunjukkan petanda-petanda seperti berikut;

·                     Pertengkaran suami isteri kerana wang

·                     Menghitung hari gaji

·                     Nisbah hutang dengan pendapatan yang tinggi

·                     Bergantung hidup pada kad kredit

·                     Bayar nilai minimum pinjaman kad kredit

·                     Guna simpanan untuk bayar bil semasa

·                     Tangguh/elak bayar bil

·                     Terima notis tunggakan bil

·                     Ambil pinjaman baru untuk tampung hutang lama

·                     Tangguh bayaran balik pinjaman

·                     Tiada simpanan tunai untuk kecemasan

·                     Bergantung pada pendapatan tambahan

·                     Tidak tahu ke mana wang dibelanjakan

·                     Tidak tahu berapa hutang

·                     Menulis cek menggunakan kemudahan overdraf

·                     Tidak lena tidur fikirkan masalah hutang

Semua petunjuk yang disenaraikan bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga kita dan ia bukan bermakna keluarga mempunyai pendapatan rendah tetapi ini menunjukkan kewangan keluarga tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan. Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ialah, Hadapi hutang anda dan jangan sekali-kali elakkan diri dengan membiarkan hutang berlalu tanpa dikawal. Hadapi hutang anda dan cuba cari penyelesaian dengan mula mengawal perbelanjaan.

 Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ini ialah “Pengurusan Belanjawan”. Pengurusan belanjawan bermaksud menggunakan wang dengan berkesan agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan cara menggunakan wang seminimum yang boleh untuk mencapai semaksimum matlamat yang boleh. Oleh kerana keperluan dan kehendak itu banyak, sedangkan wang terhad, keutamaan perlu ditentukan. Sebelum membelanjakan wang, tanya diri sendiri apakah sesuatu benda atau khidmat yang dibeli itu penting? Apakah ia tidak boleh ditangguhkan? Antara kesilapan biasa dalam mengurus kewangan ialah sikap gemar berhutang berbanding membeli sesuatu benda atau perkhidmatan secara tunai. Kaedah pembelian secara kredit (kad kredit) yang kini menjadi cara hidup ramai menyebabkan banyak keluarga mengorbankan peruntukan kewangan masa depan dan seterusnya gagal membuat simpanan untuk matlamat kewangan yang lebih penting.

Lima perkara asas dalam proses pengurusan belanjawan ialah; Kira nilai bersih anda, Tentukan matlamat kewangan anda, Jejaki sumber wang dan ke mana perginya wang anda, Nilai cara anda berbelanja dan Catat rancangan perbelanjaan anda. Mulakan dengan merujuk rekod kewangan seperti penyata bank, slip gaji, cukai pendapatan dan penyata kad kredit tahun lalu yang memberikan gambaran realistik mengenai berapa banyak pendapatan diperoleh dan di mana wang dibelanjakan. Catat semua perbelanjaan setiap hari selama sekurang-kurangnya sebulan. Berpandukan rekod ini, keluarga boleh merancang perbelanjaan dengan lebih realistik. Jika terlebih belanja, berusaha untuk berjimat cermat. Walaupun pendapatan melebihi perbelanjaan, perancangan masih diperlukan untuk meningkatkan lagi kuasa berbelanja. Berjimat cermat adalah langkah pertama ke arah mengumpul kekayaan. Semua rancangan simpanan bermula dengan mengurangkan perbelanjaan bulanan. Penyata pendapatan adalah ringkasan pendapatan dan perbelanjaan keluarga yang membolehkan keluarga menilai pendapatan dan perbelanjaan lepas. Pakar kewangan ada berkata, “Bukan gaji atau pendapatan yang membuatkan anda kaya, tetapi tebiat anda berbelanja”.

PRINSIP ASAS YANG PATUT DIFAHAMI
Pendapatan – Perbelanjaan = Simpanan
Salah
Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan
Betul

Perkara lain yang boleh dilakukan ialah meningkatkan pendapatan melalui kerja sampingan, berjimat cermat, dapatkan nasihat pakar kewangan seperti perancang kewangan bertauliah atau mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Sebaliknya jangan sekali-kali berurusan dengan ceti haram atau Ah Long yang menekan mangsa dengan kadar faedah yang tinggi dan membebankan.



Sekiranya kita sudah terjebak dalam beban hutang, berusahalah untuk melangsaikannya. Salah satu kaedah atau formula yang popular telah diperkenalkan oleh Mr.Dave Ramsey (www.daveramsey.com) iaitu Kaedah yang dinamakan “Debt Snowball” atau “Snowball Effect”. Kaedah ini dilakukan dengan cara menyenaraikan kesemua hutang mengikut baki yang terkecil hingga ke terbesar, jika hutang hampir sama jumlahnya, pilih hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi bagi senarai yang teratas. Buat pembayaran minimum semua hutang dan cari lebihan wang untuk menokok pembayaran hutang yang terkecil (lebihan boleh diperolehi daripada penjimatan perbelanjaan). Seterusnya bayar minimum lebihan wang mengikut turutan dari atas ke bawah, sehingga selesai semua hutang yang tersenarai. Kaedah ini lebih jelas dengan melihat contoh berikut:

Andaikan Anda menyusun senarai hutang-piutang anda seperti berikut:

Hutang
Bayaran Ansuran (RM)
Baki Hutang  (RM)
A – Kad Kredit
200
1,000
B – Kad Kredit
250
3,000
C – Koperasi
300
10,000
D – Kereta
600
40,000
E – Rumah
1000
100,000

Anda membayar hutang A sampai langsai dan seterusnya menggunakan RM200 itu untuk ditambah kepada pembayaran ansuran hutang B. Ini menjadikan pembayaran ansuran hutang B meningkat kepada RM450. Hutang B akan habis dibayar dengan cepat dalam pempoh 6 bulan sahaja berbanding 12 bulan jika hanya membayar RM250 sebulan. Apabila hutang B pula langsai, anda akan menggunakan ansuran hutang A, B dan C bagi menjelaskan hutang C, iaitu;

RM200 + RM250 + RM300 = RM750

Ini sudah pasti mempercepatkan tempoh penyelesaian hutang C, sebab dari ansuran sebanyak RM300 sahaja sebulan, anda telah meningkatkan bayaran ansuran sebanyak RM450 kepada RM750. Setelah langsai hutang dalam tempoh 13 bulan, ansuran 750 dicampurdengan ansuran RM600 bagi penyelesaian hutang D. Akhirnya, setelah langsai hutang D, RM1350 di campur pula dengan RM1000 untuk ansuran hutang E. Proses penyelesaian hutang kaedah inilah dikenali sebagai “Kesan Bola Salju” iaitu makin ditolak makin besar jadinya. Apabila semua hutang telah berjaya dilangsaikan, bertaubatlah daripada meneruskan tabiat berbelanja berlebihan dan berusahalah untuk mencapai matlamat kewangan anda yang lain.

Jika anda masih belum terlibat dangan hutang, hindarilah darinya. Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih  bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai?  Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan. Bagaimanapun ramai  antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang.  Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Bumiputera di Malaysia ini, jika boleh  mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu membayar.  Ini merupakan satu sikap yang salah.  Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan.  Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.   Kuatkan azam untuk membebaskan diri dari belenggu hutang dan bacalah doa-doa berikut. InsyaAllah.

اَللَّهُمَّ اكْفني بِحَلالِكَ عَنْ حَرامِكَ، وَأغْنِني بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك

“Ya Allah, cukupkanlah untuk kami rezeki-Mu yang halal dan jauhkankanlah kami dari rezeki yang engkau haramkan, Ya Allah limpahkanlah kepada kami kurnia-Mu sehingga kami tidak meminta kepada selain Engkau.” (hadits hasan) (HR. At-Tirmidziy 5/560, lihat Shahih At-Tirmidziy 3/180)

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keresahan dan kesedihan, kelemahan dan sikap malas, kekikiran dan sikap penakut serta dililit hutang dan dikalahkan lawan." (HR. Bukhari 7/158)



RUJUKAN 
1.         Abd. Aziz, Ibrahim (2005). “Lebuh Raya Baru Kebebasan Kewangan: Jutawan Daripada Beban Hutang”, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
2.         Adil, Akhyar (2009). “Hutang, Seronok Yang Membawa Bencana - Pengurusan Hutang Piutang Dalam Islam”, Pustaka Azhar
3.         Khairul Gahazali, Dr (2009). “Konsep Berhutang Dalam Islam”. Progressive Publishing House Sdn.Bhd.
4.         Khairulnahar, Jamaluddin (2009). “Bajet Wang – 7 Cara untuk mengatasi masalah kekurangan wang”, True wealth Sdn Bhd.
5.         Hajah Rohani, Datuk Hj Mohd Shahir (2005). “Cukup Wang Hati Tenang”, Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.
6.         Unit Kursus, B4P (2009). “Kursus Pengurusan Kewangan Keluarga”, ANGKASA
7.         Zenhabits, “Fiscal Fitness: Eliminate Debt eith 10 Successful Diet Principles”. Dicapai pada 18 Oktober 2010, Dari http://www.zenhabits.net/fiscal-fitness-eleminate-debt-with-10-successful-diet-principles/