PELABURAN EMAS: YANG HALAL,
YANG HARAM, YANG TIPU,
PILIHAN DI TANGAN ANDA.
“Orang tamak
selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.”
Ada beberapa cara terlibat dalam pelaburan
emas hari ini. Tapi sila berhati-hati, ada cara
yang halal, ada cara yang tak patuh
Shariah dan ada cara yang menipu
atau skim cepat lingkup. Sila baca artikel berikut dan seterusnya buat
penilaian sendiri yang mana satu jenis pelaburan emas yang anda sedang dan akan
ceburi. Seterusnya bertindaklah dengan bijak.
1. Emas Fizikal
Beli 25 gram emas fizikal dalam bentuk bar,
syiling dan barang kemas. Selagi mana beli secara tunai, tiada isu Shariah.
Cara buat untung adalah beli harga rendah, jual harga tinggi.
- Cara
Membeli Emas Perak Patuh Syariah
Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap
dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi
sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya
pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak
bermakna Islam tidak ada panduan untuk
berurusniaga dalam talian.
Memandangkan kebanyakan kita membeli emas
dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang
kertas terlebih dahulu.
Hukum Matawang
Kertas
Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari
sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian
ulama berkata hanya emas dan perak
sahaja yang menjadi matawang.
Manakala sebahagian ulama yang lain berkata
apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai
medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.
Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran
matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk
mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang
standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.
Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang
berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas
mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau
matawang bersandarkan emas dan perak.
Halal Digunakan
Untuk Tujuan Tertentu
Justeru matawang kertas adalah halal
digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum
riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.
Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh
al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu
berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for
Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus,
terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan
ekonomi Islam.
Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima
pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang
mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.
Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga
menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut
fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.
Fatwa yang
Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia
Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima
pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic
Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.
Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan
urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi
fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting
dalam perniagaan.
Justeru pembelian atau pertukaran matawang
kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar
tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya
seperti berikut:
- RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti
berlaku secara tunai.
- RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti
berlaku secara tunai.
Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat
urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7
hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada
mekanisma urusniaga yang betul.
Kita juga jangan
membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup
duit dahulu baru beli.
Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’
pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan
upah membuat barang kemas dibuat.
Bagaimana
Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?
#1 – Emas dan Perak Mesti Ada
Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka
penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi
dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak
ada atas dasar tempahan.
Penjual juga tidak boleh menjual emas yang
mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian
(ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti
biasa.
Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak
(wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi
jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk
mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci
dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.
#2 – Bayar Secara Tunai
Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit
fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat
dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.
Kemudian kita dapat mengeluarkan cek,
telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking
transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah
mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.
Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah
berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan
penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai
pertukaran matawang.
#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai
Penyerahan emas secara tunai juga tidak
bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan
resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status
resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.
Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan
berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya
resit atau sijil emas yang belum ada lagi.
Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan,
maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli
dengan cara yang dipersetujui.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci
dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).
Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam
urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik
adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya ini menubuhkan
Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam
bidang kewangan Islam.
Ini bagi membolehkan operasi jual beli
syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat
mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri
emas dan perak.
Ini adalah amat penting bagi memastikan umat
Islam terselamat daripada aktiviti riba.
Ingat…
Kenapa memilih menjadi kaya
dengan jalan riba?
2. Akaun Pelaburan Emas
Beli 25 gram emas dari bank, emas fizikal tak
perlu ambil. Bank simpan atau bank cuma benchmark harga emas semasa. Yang
confirm transaksinya halal cuma KFH dan Al-Rajhi Bank, selebihnya tidak.
·
Akaun Pelaburan Emas
1. Walaupun tajuk post ini adalah, Akaun Pelaburan Emas, tetapi tuan
puan yang mengikuti blog saya ini perlu maklum fungsi emas yang sebenar adalah
bukan untuk pelaburan. Saya ulang, emas sifat asalnya bukan untuk pelaburan.
Dalam konteks keadaan sekarang, saya lebih suka kalau ia difahami sebagai
menyimpan harta dalam bentuk emas.
2. Akaun pelaburan emas merupakan pilihan lain bagi mereka yang ingin
menyimpan harta dalam bentuk emas. Pilihan lain yang dimaksudkan adalah beli
jongkong emas, syiling secara fizikal, simpan dan jual balik kepada pembeli
lain.
3. Untuk peringkat awal, mungkin tuan puan tidak perlu pening bagaimana
untuk menyimpan emas fizikal tersebut. Tapi kalau nilai emas itu dah mencecah
belasan ribu, puluhan ribu malah ratusan ribu, sudah tentu kita semua risau nak
simpan emas-emas tersebut.
4. Maka, akaun pelaburan emas mampu mengatasi hal tersebut, malah ready
buyer iaitu bank, sentiasa ada selagi mana bank itu wujud.
5. Di Malaysia, sehingga artikel ini ditulis ada 4 akaun sebegini
ditawarkan iaitu Public Bank Gold Investment Account, Maybank Gold Savings
Passbook Account, CIMB Gold Saving Passbook Account dan KFH Gold Account-i.
6. Akaun Public Bank Gold Investment Account jelas tidak mematuhi
Shariah kerana physical gold withdrawal tidak dibenarkan, begitu juga dengan CIMB
Gold Saving Passbook Account. Maybank Gold Savings Passbook Account juga tidak
mematuhi Shariah kerana akaun emas ini walaupun boleh dibuka di mana-mana
cawangan Maybank, tetapi untuk membuat physical gold withdrawal hanya boleh
boleh dibuat di cawangan tertentu sahaja. (Maklumat yang dipaparkan di web
sehingga artikel ini ditulis pada 17 Mei 2010). Hal ini bertentangan dengan
prinsip jual beli emas yang disebut dalam hadis Nabi saw yang telah disebut dalam
artikel
yang lepas. Intipati hadis tersebut boleh dilihat menerusi jadual
berikut:
7. Ingat, dalam Islam jual beli emas mesti dibuat secara tunai (spot)
dan tidak boleh secara kredit / hutang / tertangguh. Jika perbuatan kita
membeli emas sebegitu maka kita telah mengamalkan riba al-fadl, satu lagi jenis
riba selain riba pinjaman.
8. Manakala, KFH
Gold Account-i pula adalah akaun yang patuh Shariah kerana kita semua boleh
membuat physical gold withdrawal sejurus selepas membuka akaun tersebut. Nak
mintak mereka simpan pun boleh, nak kita terus pegang emas fizikal pun boleh.
Walaupun semua cawangan KFH menawarkan akaun ini, tetapi kita hanya boleh
berjual beli emas di tempat akaun kita dibuka sahaja untuk memastikan emas-emas
itu memang wujud selaras dengan prinsip Islam dalam jual beli emas yang telah
ditunjukkan dalam hadis berkaitan riba al-fadl itu tadi.
9. Alhamdulillah, KFH kini telah memberikan pilihan yang sangat baik
untuk umat Islam khususnya dalam hal ini. Semoga bank-bank Islam lain dapat
menawarkan akaun yang sama untuk memberikan pilihan yang lebih baik kepada kita
semua. Untuk makluman, emas yang ditawarkan oleh KFH adalah emas 995.
10. Justeru, kini kita semua mempunyai lebih pilihan untuk menyimpan
harta dalam bentuk emas. Kalau rasa tidak mahu simpan semuanya dalam bentuk
fizikal, sudah ada akaun bebas riba yang memberikan pilihan yang lain.
3. Emas + Ar-Rahnu
Kalau emas dah beli secara tunai dan kemudian
digadaikan, ok. Patuh Shariah. Kalau buat kombo sekaligus, maka ada isu Shariah
yang pelu diperhalusi.
· Hukum Pelaburan Emas ar-Rahnu
“Boleh tak melabur emas dengan ar-Rahnu?”
Melabur emas dengan bergadai?
Saya bertanya dalam hati.
Daripada emel-emel yang saya terima, prosesnya adalah seperti berikut:
1. Penjual menjual emas 20g dengan harga RM 3000.
2. Pembeli hanya perlu membayar 30% bersamaan dengan RM 900.
3. Pergi ke kedai ar-Rahnu dan emas tersebut dipajakkan 70% dari harga
semasa. Selepas selesai proses ar-Rahnu, pembeli menerima RM 2,100.
4. Pembeli membayar baki hutang kepada penjual iaitu RM 2,100 yang
diterima dari ar-Rahnu. Emas kedai yang simpan.
5. Penjual senyum untung jual emas. Pembeli ada hutang RM 2,100 dan juga
perlu membayar upah simpan. Emas dalam kedai ar-Rahnu.
Persoalan Hukum
Jual beli di atas adalah tidak patuh Syariah. Haram kerana proses jual
beli di atas adalah jual beli secara hutang.
Jual beli emas secara berhutang adalah riba.
Apa yang Boleh?
1. Beli emas secara tunai, RM 3,000 untuk 20g.
2. Selesai jual beli barulah emas 20g itu tadi digadaikan di kedai
ar-Rahnu.
3. Dapat RM 2,100 boleh lah digunakan untuk apa-apa tujuan yang baik.
4. Bayar upah simpan dan tebus balik emas dengan membayar hutang RM
2,100.
5. Emas dapat semula. Hutang habis.
Bijak ke Tidak?
1. Persoalan hukum sudah terjawab.
2. Perhatikan kesan yang pembeli perlu tanggung:
i. Hutang sebanyak RM 2,100.
ii. Kos upah simpan
iii. Emas disimpan oleh kedai ar-Rahnu dan mereka akan lelong emas
tersebut bila kita gagal bayar hutang dan kos simpan apabila sampai tempohnya.
3. Adakah “melabur” untuk mendapatkan “hutang” adalah langkah yang
bijak?
4. Harga emas tidak sentiasa naik.
4. Saham syarikat berhad
yang berkaitan emas di Bursa Malaysia
Setahu saya hanya Poh Kong Holdings Berhad
(5080) yang sahamnya dijual beli di Bursa Malaysia. Wah Chan dan Habib Jewels
masih Sdn Bhd. Syarikat Poh Kong merupakan penjual emas dan barang kemas paling
besar di Malaysia dan mempunyai lebih 100 cawangan seluruh negara. Beli saham
Poh Kong Holdings Berhad dan kita berpeluang mendapat capital gain dari harga
saham dan juga dividen tahunan. Saya ulang, dividen tahunan.
5. Skim Cepat Lingkup (SCAM)
Caranya, beli emas dapat dividen, duit dan
pulangan x% setiap bulan. Ini skim cepat lingkup. Emas fizikal tak beri
dividen. Akaun pelaburan emas pun tak beri sebarang dividen. Kalau nak dapat
dividen pun kena beli saham macam syarikat Poh Kong yang tersenarai dengan
Bursa Malaysia untuk tujuan tersebut, tapi itu bukan beli emas tapi beli saham.
Kalau syarikat berkaitan emas yang paling
besar pun cuma berani dan mampu beri dividen tahunan sahaja, kenapa boleh ada
syarikat biasa-biasa yang nak janjikan pulangan dividen setiap bulan? Ia tidak
masuk akal. Syarikat sebegitu adalah musang yang sedang membela ayam.
Apa yang sebenarnya syarikat sebegini jual?
Emas ke saham?
Jika emas, mana emasnya? Jika emas tiada,
emas tak boleh kita ambil maka itu sudah jadi transaksi / pelaburan haram di sisi Islam.
Kalau saham pula, adakah ia tersenarai di
Bursa Malaysia atau mana-mana bursa saham lain ?
Apakah operasi sebenar syarikat tersebut?
Terlibat dalam jual beli emas macam Poh Kong, Habib dan Wah Chan atau cuma
sedang menipu orang ramai, penjawat awam dan makcik-makcik di kampung?
Modus operandi skim cepat lingkup bermula
dengan model “pelaburan” semudah operasi skim Pak Man Telo dan Labu Peram.
Kemudian disusuli skim forex, futures market, CPO, ternak lembu, rumpai laut,
jala ikan, MLM dan kini pelaburan emas.
Tak percaya?
“Takkan dia tipu pula, sebab saya masih dapat
duit tiap-tiap bulan!” ujar seorang pegawai kerajaan.
Ok. Tiada masalah.
Pergi lah habiskan semua duit simpanan, duit
simpanan nak pergi haji, pecahkan tabung anak, gadai tanah, buat pinjaman bank,
minta duit & paksa emak ayah, adik beradik, kawan-kawan semua masuk dan
jumpa peneroka Felda dan orang kampung untuk terlibat dalam skim yang sama.
Pergi buat apa yang patut untuk terlibat
dalam skim macam ni. Pergi buat untuk jadi kaya dengan jalan menipu. Teruskan
mengikis duit orang lain.
Saya dah tegur dan ingatkan skim cepat
lingkup sebegini melalui siri seminar, ceramah dan bengkel dan hari ini melalui
blog. Saya cuma nak selamatkan diri saya, keluarga dan kalian yang mahu percaya
sahaja.
KESIMPULAN
Setelah membuat penilaian ke atas jenis-jenis
pelaburan emas yang ditawar dalam pasaran sekarang, anda tentu boleh menentukan
jenis pelaburan emas apa yang akan anda ceburi. Jika anda cerdik dan beriman
(islam), anda sepatutnya menceburi pelaburan emas yang patuh shariah. Jika anda
cerdik tapi bukan islam, anda boleh menceburi apa saja jenis pelaburan emas
KECUALI Skim Cepat Lingkup (SCAM). Kerana Skim Cepat Lingkup hanya untuk
orang-orang yang tidak cerdik, berfikiran jumud, pemalas dan penipu.