Wednesday, April 18, 2012

"RAHSIA SENYUM: PANDUAN BUAT WARGA KOPERASI"

Oleh;
George Aiman Milin
Pegawai Pelajaran Angkasa Sarawak
30 Ogos 2010


1.         PENDAHULUAN 

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, senyum atau senyuman bermakna gerak bibir yang ternaik pada hujungnya disertai sinaran mata dan biasanya membayangkan rasa suka, geli hati, setuju dan sebagainya. Terdapat beberapa jenis senyum yang juga membawa pengertian yang pelbagai. Antaranya adalah seperti; Senyum kambing, Senyum kanyur, Senyum kuching, Senyum manis, Senyum mesra, Senyum raja, Senyum serong-serong bahasa, Senyum simpul, Senyum sinis, Senyum sumbing dan Senyum tawar. Dalam ilmu fisiologi pula, senyum adalah ekspresi wajah yang terjadi akibat bergeraknya atau timbulnya suatu gerakan di bibir atau kedua hujung bibir dan sekitar mata. Kebanyakan orang senyum untuk menampilkan kebahagiaan dan rasa senang. Apabila seseorang tersenyum, kebiasaannya raut wajahnya akan menjadi lebih cantik dan menawan. Setiap manusia wajib senyum ketika berada di rumah, di pejabat, dalam kenderaan, dalam dewan, waima di dunia ini sekalipun perlu senyum. Senyum adalah bahasa dunia. Ia menunjukkan keceriaan. Setiap kali berhubung dengan orang lain, sewajarnya kita senyum. Senyum adalah jalan pintas bagi menyatakan anda menyukai seseorang.  

2.         SENYUM DAN SIGNIFIKANNYA KEPADA GERAKAN KOPERASI 

            Mengikut Kenyataan Jati Diri Koperasi, Manchester 1995, koperasi didefinisikan sebagai “sebuah pertubuhan  manusia yang berautonomi di mana anggotanya bersatu secara sukarela demi mencapai kepentingan bersama dan aspirasi bersama di bidang ekonomi, sosial dan budaya melalui satu badan yang dimiliki bersama dan terkawal secara demokrasi”. Ini bermakna koperasi merupakan pertubuhan yang ditubuhkan oleh manusia, dianggotai oleh manusia, ditadbir dan diurus oleh manusia serta dimiliki oleh manusia. Oleh kerana koperasi merupakan pertubuhan manusia yang juga berurusan dengan manusia, maka mereka yang terlibat dalam tadbir urus koperasi perlu tahu dan memahami hubungan interpersonal atau komunikasi berkesan sesama manusia.

            Menurut Maimunah Osman dalam bukunya Komunikasi Berkesan – Hubungan Interpersonal, 2000, Mimik muka dan air muka penting dalam komunikasi. Ia menggambarkan perasaan anda. Dalam perhubungan interpersonal, senyuman adalah memainkan peranan penting. Manusia seharusnya pandai menggunakan sanyuman untuk menghampiri atau dihampiri orang atau untuk berhubung pada peringkat emosi dan sebagainya. Manusia terbahagi kepada 3 golongan iaitu; golongan yang selalu senyum, golongan yang seimbang antara tersenyum dan serius dan golongan yang sentiasa kelihatan serius. Bagi golongan pertama iaitu golongan yang selalu tersenyum, adalah biasanya terdiri dari orang yang memang dikurniakan dengan wajah atau air muka manis yang sentiasa kelihatan tersenyum walaupun mereka dalam keadaan biasa. Mereka ini berkemahiran mengendalikan emosi mereka walaupun dalam keadaan tertekan. Sementara golongan ketiga pula iaitu golongan yang sentiasa serius, kemungkinan terdiri dari orang yang dianugerahkan airmuka yang serius, sentiasa berfikiran serius ataupun kurang mahir mengendalikan emosi mereka. Walau dalam golongan manapun anda tergolong, adalah tidak dapat dinafikan bahawa mudah tersenyum atau kelihatan selalu tersenyum adalah penting dalam interaksi. Ini kerana anda akan dilihat sebagai berfikiran terbuka dan mesra yang mana boleh menggalakkan perhubungan interpersonal atau interaksi sesama manusia.

Dalam konteks koperasi yang merupakan pertubuhan berasaskan manusia, senyum merupakan perencah kepada pengamalan Nilai-nilai dan Prinsip-prinsip koperasi oleh manusia di dalamnya. Tanpa senyuman di bibir anggota-anggotanya, Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan Kakitangannya, maka hambarlah hubungan antara keempat-empat komponen tadbir urus baik koperasi ini. Oleh itu adalah baik jika bidalan melayu yang berbunyi “Di mana ada gula di situ ada semut” kita olah semula kepada “Di mana ada Insan di situ ada Senyuman”.

Mudah memberi senyuman kepada seseorang juga akan meningkatkan rasa prihatin kita kepada persekitaran. Contohnya apabila melihat seseorang melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat seperti memimpin orang buta melintas jalan, memimpin orang-orang tua menuruni tangga, menolak kerusi roda orang kurang upaya menaiki tangga, menderma kepada anak-anak yatim, menjalankan aktiviti kitar semula dan sebagainya, maka kita akan menghadiahkan senyuman manis kepada orang tersebut, senyuman itu tentunya menggambarkan satu pujian, dan ia tidak akan berhenti di situ kerana senyum adalah jangkitan. Akhirnya tanpa kita sedari, dengan senyum kita telah melaksanakan Prinsip Koperasi yang ketujuh iaitu Prihatin Kepada Masyarakat dan alam sekitar.

Koperasi juga merupakan sebuah organisasi yang berorientasikan perniagaan. Perniagaan yang dijalankan oleh koperasi sama ada menjual barangan atau perkhidmatan. Apapun jenis perniagaannya, warga koperasi perlu peka kepada kehendak dan keperluan pelanggan. Keperluan pelanggan yang dimaksudkan di sini adalah dari segi perkhidmatan pelanggan. Daripada kajian yang pernah dibuat, antara faktor penyebab mengapa pelanggan tidak datang semula ke permis sesebuah perniagaan ialah kerana mereka; telah meninggal dunia (1%), telah berpindah (3%), tidak tinggal tetap (4%), beurusan dengan syarikat lain atas pujukan kawan (5%), boleh membeli barang lebih murah di tempat lain (9%), terlalu cerewet (10%), pergi ke tempat lain kerana merasakan keperluan mereka tidak dipedulikan (68%). Ini bermakna penyebab utama pelanggan tidak datang semula ke permis kita ialah apabila mereka merasakan keperluan mereka tidak dipedulikan. Walhal pelanggan sebanyak 68% tadi akan sentiasa setia kepada kita jika mereka dilayan dengan sepatutnya. Langkah pertama untuk memanuhi keperluan pelanggan tadi tentunya dengan memberikan senyuman manis kepadanya ketika dia baru memasuki permis koperasi kita.

3.         SENYUM DAN KEISTEMAWAANNYA 

Sifat mudah tersenyum dan bermanis muka lebih wajar diamalkan oleh seorang pemimpin, pensyarah atau pendakwah dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka selalu berdamping dan bergaul dengan masyarakat. Secara tidak langsung ianya memberikan daya terikan kepada orang ramai dalam menerima mesej yang disampaikan. Seandainya wajah yang masam dan kusam yang disajikan, ibarat menghidangkan makanan yang lazat tetapi dihidangkan dengan kasar, tentunya deria rasa orang yang menikmatinya akan menjadi tawar dan hambar. Sebaliknya mereka yang bijak, dengan senyuman sahaja sudah cukup menambat hati orang untuk menerimanya. Dengan senyuman sahaja sudah cukup untuk berhubung perasaan sekalipun mungkin antara keduanya tidak memahami antara satu sama lain kerana berlainan bahasa dan adat resam.

Senyum berkait rapat dengan falsafah yang dipegang oleh seseorang terhadap apa saja tindak tanduknya. Berlatih senyum merupakan terapi jitu untuk membuat wajah seseorang kelihatan lebih hangat dan menyenangkan. Senyum adalah jambatan persahabatan. Senyum adalah pelaburan yang pasti tidak akan merugikan. Di Moscow, Rusia ada sekolah yang mengajar bagaimana hendak senyum. Senyum harus ada ketulinannya. Senyum yang dibuat-buat adalah tidak menyenangkan dan sama sahaja dengan kening berkerut. Senyuman juga mempunyai 1001 keistimewaan dan hikmah yang besar kepada umat manusia, antaranya senyum itu adalah sedekah, senyum itu mempunyai kekuatan, senyum itu pembawa rezeki dan senyum juga mampu menjadi penawar pelbagai penyakit.           

3.1       SENYUM ITU SEDEKAH

Hadis dari Abu Dzar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud “Tidak ada lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari padanya.” Bertanya para sahabat, “Dari mana datangnya harta untuk kami bersedekah wahai Rasulullah?” Sabda Nabi, “Bahawa pintu-pintu kebajikan itu banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan mencegah mungkar, membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang minta ditunjuk, memberi minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak berdaya. Semua itu sedekah bagi diri kamu.”

Muhammad S.A.W.  boleh meluluhkan hati siapa saja dengan senyuman. Beliau mampu “menyihir” hati dengan senyuman. Beliau memekarkan harapan dengan senyuman. Beliau mampu menghilangkan sikap keras hati dengan senyuman. Dan beliau mensunnahkan dan memerintahkan umatnya agar menghiasi diri dengan akhlak mulia ini. Bahkan beliau menjadikan senyuman sebagai bahan untuk berlumba dalam mengerjakan kebaikan. Rasulullah S.A.W.  bersabda, dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi;

فقال: (وتبسمك في وجه أخيك صدقة) رواه الترمذي وصححه ابن حبان.

“Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.”

Ini disokong pula oleh Hadis riwayat Ibn Hiban dan Al Baihaqi, “Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah”.  Ini merupakan hadis-hadis yang dikira cukup baik yang menuntut setiap orang untuk berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia ke arah kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam. “Sedekah” perkataan yang selalu didengar dan kebiasaannya dikaitkan dengan wang ringgit dan hartabenda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang kuat memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannya juga amat terhad. Tidaklah dinafikan bahawa ianya mampu menjadi satu mekanisma untuk mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran mengenainya; iaitu daripada makna kebendaan semata-mata kepada makna yang bersifat kejiwaan, membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.

Setiap yang baik itu sedekah, maka tentunya setiap orang mampu bersedekah. Sesungguhnya sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, jika tidak sedekah atau derma itu menjadi riak, bohong, menunjuk-nunjuk dan lahir dari hati yang tidak ikhlas. Walhal sedekah yang lahir dari hati yang tulus dan jiwa yang baik itulah merupakan sumber kebaikan yang sebenar, kerana setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar dari hati yang kotor. Justeru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas. Itulah realitinya. Rasulullah S.A.W bukan sekadar memberitahu tetapi Baginda juga mahu agar kita sama-sama mengerti dan faham akan tujuan dan kehendak Islam, dengan kata lain, Rasulullah S.A.W mahu kita semua bergerak ke arah kebaikan dan juga diluaskan skop kebaikan sejagat. Kebaikan perlu ada pada setiap insan. Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasulullah S.A.W mahu kebaikan itu ada di dalam diri setiap individu, yang mana cahayanya akan melimpah ruah sehingga tidak ada had dan kesudahannya.

Senyum dan senyumlah, itulah sedekah yang paling murah dan mudah. Namun sesetengah orang amat berat dan payah sekali untuk berbuat demakian. Ada yang sukar memberi senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Mukanya masam dan kusam, menjengkil perasaan benci kepada sesama manusia. Isunya di sini bukanlah seteguk air, sesuap nasi, atau sebuku roti, tetapi pemberian yang didalangi oleh gerak dari dalam diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup. Rasulullah S.A.W bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan, tetapi lebih daripada itu, Baginda juga mengajar kita supaya membiasakan diri dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal, yang tidak akan melahirkan apa-apa kebaikan darinya. 

3.2       SENYUM ITU KEKUATAN 

Hamka menyebut; “Teranglah bahawa senyum doctor adalah malaikat rahmat yang turun ke dunia”. Mengapakah beliau berkata demikian? Bayangkanlah situasi ketika seorang doktor bedah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa seorang mangsa kemalangan jalan raya, keluar dari bilik pembedahan dengan wajah yang murung dan sedih, tanpa bertanya kepada doktor tersebutpun ahli keluarga si pesakit akan dapat mengagak bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada si malang tadi, mungkinkah gagal diselamatkan? Mungkinkah si malang telah pergi untuk tidak kembali lagi? Dan berbagai-bagai andaian buruk yang lain. Sebaliknya jika doktor itu keluar dari bilik pembedahan dengan senyuman, tentunya ahli keluarga pesakit tersebut akan merasa lega dengan andaian yang baik-baik dan tersenyum dengan sejuta harapan, bahawa si malang tadi telah selamat atau pembedahan tadi telah berjaya dan orang yang tersayang akan hidup seribu tahun lagi.

William Shakespeare menyatakan; “Apa yang anda kehendaki lebih cepat diperolehi dengan senyum daripada memotong dengan pedang”. Ini membawa makna bahawa hasrat kita lebih mudah untuk dipenuhi sekiranya kita memulakan urusan dengan senyuman berbanding dengan paksaan atau ugutan. Bayangkan sekiranya anda menghadiri satu temuduga untuk satu jawatan di sebuah syarikat, dalam sessi temuduga anda  memaksa atau mengugut penemuduga supaya mengambil anda untuk jawatan tersebut, adakah mereka akan mengambil anda untuk mengisi jawatan tersebut? Jawapannya tentulah tidak sama sekali. Senario ini mungkin berbeza jika anda menghadiri temuduga tersebut dengan persediaan yang sepatutnya dan yang paling penting ketika memasuki bilik temuduga, wajah anda dihiasi oleh senyum manis menawan dan siapapun yang memandang akan tertawan. Oleh itu pendapat William Shakespeare tentang senyum itu memang bertepatan sekali dengan maksudnya.

Senyum adalah perhiasan batin yang dapat membantu mengindahkan perhiasan lahir yang tidak sempurna. Ini bermakna, walaupun kita bukan pemilik wajah yang anggun, cantik dan menawan bagi wanita, atau wajah yang kacak, tampan dan bergaya bagi lelaki, namun jika senyuman manis sentiasa terukir di bibir, orang akan senang untuk menjalin persahabatan atau berurusan dengan kita. Sebaliknya walaupuan anda secantik potret Monalisa, atau setampan pelakon Bollywood, jika kita pemilik muka garang, serius dan masam, kita akan keseorangan dalam dunia yang kita cipta sendiri. Maka bersedialah untuk memegang gelaran Bujang Lapuk, Bujang Terlajak, Andalusia atau Andartu.

Menurut seorang pakar keperibadian dan kecantikan, Martha Tilaar, senyum tidak akan bererti jika tidak disertai dengan ketulusan hati dan diselubungi dengan kepura-puraan. Senyum juga boleh mengundang kontroversi jika tidak sesuai dengan situasinya kerana ia boleh dianggap sebagai sindiran. Senyum yang ikhlas mencerminkan hati yang bahagia dan dapat menambah semangat manusia di sekelilingnya. Ahli psikologi Tika Bisono pula mengatakan, senyum merupakan proses penting bagaimana seseorang itu mampu menerima kehidupannya. Bermula dengan senyuman, semua perkara akan terasa lebih ringan. Kerana senyum akan dapat mendorong seseorang untuk berfikiran positif dan seterusnya melahirkan sikap yang lebih telus dalam mengerjakan sesuatu. Kemampuan tersenyum itu juga berhubung dengan kadar kebolehan seseorang dalam menghadapi permasalahan kehidupan seharian. Ketidakmampuan seseorang untuk menerima keadaan dan sentiasa berfikir negatif merupakan faktor penyebab seseorang susah tersenyum.

Dale Carnegie dalam bukunya yang terkenal, “Bagaimana Anda Mendapatkan Teman dan Mempengaruhi Manusia” menceritakan, “Wajah merupakan cermin yang tepat bagi perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman alamiah, senyum tulus adalah sebaik-baik sarana memperoleh teman dan kerjasama dengan pihak lain. Senyum lebih berharga dibanding sebuah pemberian yang dihadiahkan seorang kekasih. Dan lebih menarik dari lipstik dan bedak yang menempel di wajah seorang wanita. Senyum bukti cinta tulus dan persahabatan yang murni.” Carnegie menambah, “Ingatlah, bahwa senyum tidak memerlukan belanja sedikitpun, bahkan membawa impak yang luar biasa. Tidak akan menjadi miskin orang yang memberinya, malahan akan menambah kaya bagi orang yang mendapatkannya. Senyum juga tidak memerlukan waktu yang panjang, namun kesannya kekal dalam ingatan sampai akhir hayat. Tidak ada seorang fakir yang tidak memilikinya, dan tidak ada seorang kaya pun yang tidak memerlukankannya.” 

3.3       SENYUM ITU REZEKI 

Seorang pelopor sufi, Abu Yazid Al Busthami, pada satu hari pernah didatangi oleh seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, “Ya Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sedang lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?”. Sang Guru menjawab sederhana, “Perbaikilah penampilan mu dan ubahlah raut wajah mu. Kamu tahu, Rasulullah S.A.W juga adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan baginda sentiasa ceria. Kerana menurut Rasulullah S.A.W, salah satu tanda siapa penghuni neraka ialah mereka yang bermuka masam yang membuat orang curiga kepadanya.” Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Mulai hari itu, wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar tanpa mengeluh. Alhamdulillah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Penampilannya selalu dijaga. Sikapnya ramah, raut wajahnya sentiasa ceria dan mengukir senyum bersahabat. Tidak hairanlah jika Imam Al Basri berpendapat bahawa awal keberhasilan (Keuntungan) sesuatu pekerjaan adalah daripada raut wajah yang ramah dan penuh senyuman.

Saat Sulaiman dalam bukunya, “Usahawan Cemerlang – Tip dan Panduan Keusahawanan” menyenaraikan salah satu tip usahawan cemerlang ialah “Peribadi Mulia.” Disebabkan peniaga ialah manusia yang sering berurusan dengan orang ramai. Maka, peniaga perlu memiliki peribadi yang baik dan disukai pelanggan dan pengguna. Untuk itu, peniaga perlu sentiasa senyum dan melayan kerenah pelanggan dengan baik. Selogan “Pelanggan sentiasa betul” perlu difahami peniaga. Senyuman akan banyak membantu peniaga untuk berjaya dan kekal dalam perniagaan.

Dr. Richard Wiseman dalam bukunya “The Luck Factor”, yang membuat kajian selama 10 tahun tentang nasib manusia, membuat kesimpulan bahawa manusia yang senyum dua kali ganda lebih kerap akan lebih bernasib baik berbanding dengan orang yang kurang tersenyum.  Majalah Marie Claire keluaran Jun 2004 dalam artikelnya      6 ways to make your own luck” menyenaraikan bahawa senyum adalah salah satu daripada 6 faktor yang paling penting dalam mengubah nasib manusia daripada nasib malang kepada nasib yang lebih baik.

Allah berfirman dalam Surah Al-Rad ayat 11 bermaksud “Sesungguhnya Aku tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali mereka merubah (terlebih dahulu) apa yang ada dalam diri mereka”. Lantaran itu senyumlah untuk merubah nasib anda. 

3.4       SENYUM ITU PENAWAR

            Senyum itu penawar. Tetapi malangnya tidak ramai orang yang boleh memanfaatkannya. Walhal senyum itu boleh menjadi ubat mujarab bagi diri sendiri dan semangat kepada orang lain. Daripada kajian pakar, adalah diperakui bahawa setiap kali kita tersenyum kita hanya memerlukan gerak kerja daripada 15 otot di bahagian muka, manakala ketika kita marah, kita akan mengedutkan 63 otot di bahagian muka. Perbuatan mengerut dahi sahaja memerlukan gerak kerja 40 otot. Oleh itu, adalah fenomena biasa jika anda melihat seseorang yang mempunyai raut wajah serius, bersifat pemarah dan panas baran merupakan pemilik kepada wajah yang jauh lebih tua daripada usia sebenar, berbanding mereka yang sentiasa ceria dan tersenyum gembira. Maka bidalan melayu yang berbunyi “Jangan marah nanti lekas tua” ada kebenarannya.

            Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Apabila darah yang ‘sudah sejuk’ ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan ‘gembira’.

Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stress’ iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan. Dalam kajian tersebut, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai sampel ujian. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Daripada keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon ‘endorphins’ dan hormon ‘neurotransmitters’ dan penurunan tahap hormon stress ‘cortisol’ dan ‘adrenaline’. Ketika kita senyum dan ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa ‘mengurut’ organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang mampu memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

            Terdapat kaedah khusus untuk melahirkan senyuman di bibir walaupun hati sedang dilanda gundah gulana. Kaedahnya adalah dengan latihan pernafasan, tarik nafas dan tahan nafas selama sepuluh saat dan hembuskan nafas. Lakukannya beberapa kali. Latihan pernafasan ini akan dapat membekalkan oksigen yang cukup dalam pembuluh darah dan seterusnya melancarkan aliran darah terus ke otak, ini akan dapat menyingkirkan tekanan yang sedang dihadapi. Seterusnya olahlah minda kita untuk lebih fleksibel. Setelah suasana kembali tenang, barulah gunakan semula minda untuk mencari penyelesaian masalah. Lantaran itu, senyumlah. 

4.         KESIMPULAN           

Ilmu komunikasi menyatakan bahawa tiga faktor yang mempangaruhi ingatan manusia kepada sesuatu perkara yang disampaikan oleh penyampai kepada penerima iaitu bergantung kepada; pertamanya Kata-kata (7%), kedua nada suara (38%) dan ketiga ialah bahasa badan atau Body language (55%). Mimik muka atau air muka seperti senyum adalah salah satu bahasa badan yang paling mudah dibuat oleh pelaku dan juga paling mudah difahami oleh penerima. Kebanyakan senyum adalah jangkitan. Bila kita senyum, orang akan senyum balik. Orang akan merasa dihargai bila kita tersenyum padanya. Sekaligus ia akan memberi tanggapan yang baik kepada diri kita. Lantas, kenapa kita tidak memulakannya. Mulakan dengan diri kita. Senyumlah kepada orang yang anda tidak kenali hari ini. InsyahAllah dia akan tersenyum balik. Alangkah mudahnya membina rangkaian persahabatan. Pujangga menyebut; “Senyum adalah satu lekukan yang boleh membuat banyak benda menjadi lurus.” Dengan senyum, kemanapun kita pergi maka bersinarlah di sana cahaya kegembiraan. Tidak ada urusan yang berat di dunia ini, semuanya akan dapat diatasi. Yakin dan percaya. Berdoa dan bertawakallah. InsyahAllah.



RUJUKAN 

1.         A.Aziz, Ungku (1999). “Kaedah Betul Mengamal Prinsip Koperasi oleh Koperasi”, PELANCAR, Disember 1999: 5-7.
2.         Ahmad Marzuki, Ismail (2003). “Jati Diri Koperasi dan ke Arah Memantapkannya”, WAWASAN KHAS – Hari Koperasi Negara 2003: 42-49.
3.         George Aiman, Milin (2000). “7 Prinsip Sejagat”, PELANCAR, Januari 2000: 29.
4.         KAMUS DEWAN, Edisi Ketiga (2002). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
5.         Maimunah, Osman (2000). “Komunikasi Berkesan – Hubungan Interpersonal”, INTAN.
6.         Mark Stibich, “Top 10 Reasons to Smile”. Dicapai pada 23 Ogos 2010, Dari http://longevity.about.com/od/lifelongbeauty/tp/smiling.htm
7.         Mark Stibich, “Top 10 Fun Ways to Live Longer”. Dicapai pada 23 Ogos 2010, Dari http://longevity.about.com/od/longeviti101/tp/fun_ways.htm
8.         Meyer, Michele (2004). “6 ways to make your own luck: believe it or not, luck is not a matter of chance. According the experts, there are specific things you can do to make fate smile on you. They're easy--and they work! (invest in yourself)”, MARIE CLAIRE, June 2004: 23
9.         Nur Hana, “Rahsia Senyum”. Dicapai pada 30 Ogos 2010, Dari http://nurnana.wordpress.com/2008/02/22/rahsia-senyum/
10.      Saat, Sulaiman (2008). “Usahawan Cemerlang, Tip dan Panduan Keusahawanan”, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
11.      Supardi Lee, “Keajaiban Senyum”. Dicapai pada 30 Ogos 2010, Dari http://www.pengembangandiri.com/articles/36/1/keajaiban-senyum/page1.html
12.      Ulis Tofa, “Rahsia Senyum Muhammad S.A.W”. Dicapai pada  30 Ogos 2010, Dari http://www.dakwatuna.com/2008/rahasia-senyum-muhammad/

Tuesday, April 17, 2012

TIPS BERGUNA UNTUK PEMAIN PETANQUE

Kaedah Duduk Sesuai untuk Pointing (Jarak 6m-8m)
Tip Pointing
  • Analisa permukaan gelanggang
  • Tentukan kawasan landing point
  • Tentukan kaedah lontaran roll, half lob, high lob
  • Tentukan kesesuaian kaedah berdiri @ duduk
  • Tentukan kaedah Lontaran lurus/outswing/inswing
  • Tentukan kekuatan & darjah hayunan backswing/follow through
  • Tentukan sama ada skill backspin diperlukan
  • Tentukan masa melepaskan bola daripada gengaman
  • Tentukan dalam minda tentang pergerakan yang akan dilakukan
  • Tentukan Keyakinan diri dan kekuatan mental
Kaedah berdiri sesuai untuk Shooting atau Pointing jarak jauh.
Tip Shooting
  • Analisa permukaan gelanggang
  • Tentukan jarak sasaran
  • Tentukan kaedah shooting
  • Tentukan kedudukan kaki
  • Tentukan kekuatan & darjah hayunan backswing/follow through
  • Tentukan masa melepaskan bola daripada gengaman
  • Tentukan dalam minda tentang pergerakan yang akan dilakukan
  • Tentukan Keyakinan diri dan kekuatan mental
BERMINAT UNTUK MENDALAMI ILMU TENTANG PERMAINAN INI?? TERUSKAN MEMBACA ARTIKEL SAYA DALAM BLOG INI ATAU HUBUNGI SAYA UNTUK TAKLIMAT DAN BENGKEL.
GEORGE AIMAN MILIN
019-8884070.