Wednesday, April 11, 2012

UNDANG-UNDANG RASMI PERMAINAN PETANQUE


Undang-undang Rasmi Permainan Petanque
Digunapakai oleh semua Persekutuan Petanque yang menjadi ahli kepada FIPJP
(Terjemahan Bahasa Melayu)

PERATURAN AM
ARTIKEL 1    -           Komposisi Pasukan
ARTIKEL 2a  -           Syarat-syarat Bola yang diluluskan
ARTIKEL 2b  -           Denda jika Bola tidak memanuhi Syarat
ARTIKEL 3    -           Jek yang diluluskan
ARTIKEL 4    -           Lesen

TATACARA PERMAINAN
 ARTIKEL 5    -           Peraturan Gelanggang
ARTIKEL 6    -           Memulakan Permainan - Peraturan Berkaitan Bulatan
ARTIKEL 7    -           Jarak Sah untuk Lontaran Jek
ARTIKEL 8    -           Lontaran Jek yang Sah
ARTIKEL 9    -           Jek Mati
ARTIKEL 10  -           Menyingkirkan Halangan – Denda
ARTIKEL 10a-           Menukar Jek atau Bola
ARTIKEL 11  -           Jek Terlindung atau Bergerak
ARTIKEL 12  -           Jek Bergerak ke Gelanggang lain
ARTIKEL 13  -           Tindakan-tindakan jika Jek Terbatal
ARTIKEL 14  -           Menempatkan semula Jek yang Tertampan
ARTIKEL 15  -           Lontaran Jek yang Terkeluar dari Gelanggang yang ditetapkan

PERGERAKAN BOLA
ARTIKEL 16  -           Lontaran Bola Pertama dan Bola Berikutnya
ARTIKEL 17  -           Tingkahlaku Pemain dan Penonton Semasa Permainan
ARTIKEL 18  -           Melontar Bola dan Bola Keluar Gelanggang
ARTIKEL 19  -           Bola Mati
ARTIKEL 20  -           Bola yang dihentikan
ARTIKEL 21  -           Had Masa untuk bermain
ARTIKEL 22  -           Bola Bergerak
ARTIKEL 23  -           Melontar Bola selain daripada bola sendiri
ARTIKEL 24  -           Melontar Bola yang Melanggar Peraturan

MATA DAN PENGUKURAN
ARTIKEL 25  -           Mengalih Bola untuk Sementara
ARTIKEL 26  -           Mengukur untuk Mata
ARTIKEL 27  -           Mengambil Bola Sebelum Pengesahan Mata dibuat
ARTIKEL 28  -           Menggerakkan Bola atau Jek
ARTIKEL 29  -           Bola yang Sama Jarak dengan Jek
ARTIKEL 30  -           Bahan Asing yang Melekat pada Bola dan Jek
ARTIKEL 31  -           Tuntutan-tuntutan

DISIPLIN
ARTIKEL 32  -           Denda untuk Pasukan atau Pemain yang Tidak Hadir
ARTIKEL 33  -           Kehadiran Pemain yang Lewat
ARTIKEL 34  -           Penggantian Pemain
ARTIKEL 35  -           Denda-denda Dalam Permainan
ARTIKEL 36  -           Cuaca Buruk
ARTIKEL 37  -           Fasa Baru Permainan
ARTIKEL 38  -           Perkongsian Hadiah
ARTIKEL 39  -           Berkelakuan Kurang Sopan
ARTIKEL 40  -           Tugas-tugas Pengadil
ARTIKEL 41  -           Keanggotaan dan Keputusan Lembaga Juri

KOD TATAADAB PEMAIN-PEMAIN

PERATURAN AM

Artikel 1 : Komposisi Pasukan

Permainan Petenque ini adalah untuk:
-           3 pemain melawan 3 pemain (Bertiga)
Sukan ini juga boleh dimainkan secara:
-           2 pemain melawan 2 pemain (Bergu)
-           1 pemain melawan 1 pemain (Perseorangan)
Untuk ‘bertiga’, tiap-tiap pemain akan menggunakan dua biji bola.
Untuk ‘bergu’ dan ‘perseorangan’, setiap pemain akan menggunakan tiga biji bola.
Tiada versi lain selain daripada tiga kategori di atas dibenarkan untuk membentuk satu pasukan.

Artikel 2a : Kreteria-kreteria Bola yang diluluskan

Permainan ini perlu menggunakan bola yang diluluskan oleh FIPJP dan memenuhi kreteria-kreteria berikut ;
(i)               Bola mestilah diperbuat daripada logam.
(ii)             Garis pusat bola mestilah antara 7.05cm (minimum) hingga 8.0cm (maksimum).
(iii)           Berat bola mestilah antara 650 gram (minimum) hingga 800 gram (maksimum). Tanda pengeluar dan berat hendaklah tertera di atas bola dan sentiasa dapat dilihat dengan jelas.
(iv)           Bola sama sekali tidak boleh dibuat sebarang bentuk pengubahsuaian ke atasnya selepas pengeluarannya disahkan oleh pengeluar yang diberi kelulusan. walau bagaimanapun nama pemain, logo, akronim atau ‘initial’ boleh diukir (engrave) di atasnya.

 Artikel 2b : Denda jika bola tidak memenuhi syarat

Pemain yang didapati bersalah kerana tidak mematuhi peraturan dipara (iv) akan dibatalkan daripada menyertai pertandingan dengan sertamerta, bersekali dengan rakan atau rakan-rakan pasukannya.

Jika didapati bola telah diubahsuai atau ditempa semula, permit / lesen pemain boleh digantung sehingga satu tempoh yang telah ditetapkan dalam Kod Disiplin, bersekali dengan denda yang akan dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Petanquenya.

Jika bola yang diubahsuai itu adalah bola pinjaman dan pemiliknya telah dikenalpasti, pemilik bola itu juga boleh dikenakan tindakan yang serupa.

Jika bola itu tidak diubahsuai, tetapi berubah dari bentuk asalnya kerana terlalu lama usianya, atau berubah bentuk asalnya akibat proses pengeluaran, tidak lulus pemeriksaan atau tidak mematuhi mana-mana syarat seperti di para (i), (ii) dan (iii) di atas, pemain boleh menukarkan bola tersebut. Pemain perlu menukarkan keseluruhan set bola.

Sebarang bantahan mengenai peraturan (i), (ii) dan (iii) di atas hanya boleh diterima sebelum permainan / perlawanan bermula. Oleh itu, setiap pemain perlu memastikan bola mereka dan bola pihak lawan mematuhi syarat-syarat berkenaan sebelum perlawanan bermula.

Bantahan berkaitan peraturan (iv) pula boleh dibuat bila-bila masa ketika perlawanan sehingga ‘END’ yang kedua. Namun pada atau selepas ‘END’ ketiga, jika didapati bantahan terhadap bola pihak lawan adalah tidak berasas, pemain berkenaan atau pasukannya akan dikenakan denda 3 mata dan mata tersebut akan ditambah kepada jumlah pungutan mata pihak lawan.

Pengadil atau juri boleh pada bila-bila masa ketika perlawanan memeriksa bola mana-mana pemain.

Artikel 3 : Jek yang diluluskan

Jek (COCHONNETS) adalah sejenis bola yang diperbuat daripada kayu atau bahan sintetik, mempunyai tanda pengeluar dan diperakui oleh F.I.P.J.P. bahawa bahan itu boleh dan selamat digunakan serta sesuai dan memenuhi segala spesifikasi.

Garis pusatnya mestilah antara 25mm (minimum) hingga 35mm (maksimum).

Jek boleh diwarnakan dengan apa-apa warna yang memudahkannya dilihat.

Artikel 4 : Lesen

Lesen hendaklah mematuhi Peraturan Pentadbiran FIPJP, khasnya hendaklah menunjukkan gambar ahli yang terbaru, dicop dan ditandatangani oleh ahli berkenaan.

Sebelum perlawanan dimulakan tiap-tiap pemain perlu menunjukkan permitnya. Pengadil dan pihak lawan juga boleh meminta pemain menunjukkan lesen masing-masing kecuali jika lesen-lesen tersebut disimpan oleh pihak penganjur.

TATACARA PERMAINAN

Artikel 5 : Peraturan gelanggang

Permainan Petanque boleh dimainkan di atas gelanggang pelbagai permukaan. Namun Jawatankuasa Penganjur pertandingan atau pengadil boleh menentukan gelanggang permainan. Dalam kes Kejohanan peringkat Kebangsaan dan antarabangsa, gelanggang permainan hendaklah mempunyai ukuran minima 4 meter lebar dan 15 meter panjang.

Untuk lain-lain kejohanan, Persatuan boleh mempelbagaikan ukuran seperti 12 meter panjang dan 3 meter leber.

Apabila satu gelanggang tetap ditemukan dengan satu gelanggang lain pada hujungnya, garisan hujung gelanggang adalah Garisan Bola Mati.

Jika gelanggang dikelilingi oleh satu sempadan kekal, sempadan itu mestilah mempunyai jarak minimum 30cm daripada garisan bola mati. Garisan bola mati akan mengelilingi bahagian luar gelanggang tetap dalam jarak maksimum 4 meter atau minimum 1 meter.

Kaedah ini juga digunapakai untuk kawasan di mana pertandingan peringkat akhir diadakan.

Permainan ini dimainkan sehingga 13 mata, Walau bagaimanapun dalam acara liga dan pusingan kelayakan, mata penamat boleh ditetapkan kepada 11 mata.

 Artikel 6 : Memulakan permainan dan Peraturan berkaitan bulatan membaling

 Pemain-pemain mesti melakukan undian untuk menentukan pasukan mana yang akan memilih gelanggang dan membaling Jek.

Sekiranya gelanggang telah ditentukan oleh pihak penganjur, Jek hendaklah dilontar digelanggang yang berkenaan. Pasukan tidak boleh bermain di gelanggang berlainan tanpa kebenaran Pengadil.

Mana-mana ahli pasukan yang memenangi undian akan memilih tapak mula dan melakar satu bulatan membaling yang saiznya cukup untuk seorang pemain berdiri dengan kedua-dua belah kaki di dalamnya. Walau bagaimanapun diameter bulatan tidak boleh kurang daripada 35 sentimeter dan tidak lebih 50 sentimeter.

Apabila gelung disediakan (prefabricated circle), ia hendaklah mempunyai diameter 50 sentimeter.

Bulatan membaling hendaklah dilakar sekurang-kurangnya 1 meter daripada apa-apa halangan (obstacles) dan 1 meter daripada kawasan larangan bermain (out-of bound area). Untuk pertandingan di gelanggang terbuka, bulatan mestilah sekurang-kurangnya 2 meter daripada bulatan lain yang sedang digunakan.

Pasukan yang membaling Jek mestilah memadam semua bulatan lama yang berdekatan dengan bulatan baru yang hendak digunakan.

Kawasan dalam bulatan boleh dibersihkan sepenuhnya daripada batu-batu dan sebagainya semasa End berjalan tetapi perlu dikembalikan kepada keadaan asalnya selepas End tamat atau seawal-awalnya, sebelum melontar Jek untuk End yang seterusnya.

Bulatan membaling tidak dikira sebagai kawasan larangan bermain (out of bound area).

Kedua-dua belah kaki perlu berada didalam bulatan tersebut tanpa menyentuh garisan dan tidak boleh dikeluarkan atau diangkat sehinggalah bola yang dilontar tadi mencecah gelanggang. Anggota badan lain juga tidak dibenarkan menyentuh permukaan gelanggang di luar bulatan tersebut. Pemain yang cacat anggota adalah dibenarkan memasukkan hanya sebelah kakinya sahaja ke dalam bulatan tersebut.

Pemain OKU yang menggunakan kerusi roda, mestilah memastikan salah satu rodanya (bahagian tangan yang membaling) berada di dalam bulatan .

Tidak semestinya pemain yang melempar Jek yang akan melemparkan bola pertama.

Artikel 7 : Jarak sah untuk lontaran Jek

Jek yang dilempar dikira sah jika;
       (i)                 Jarak antara kedudukan Jek dan garis hadapan bulatan:
·         4 meter hingga 8 meter bagi kanak-kanak (Minors)
·         5 meter hingga 9 meter bagi remaja (Cadets)
·         6 meter hingga 10 meter bagi dewasa (Senior & Juniors)

(ii)               Jarak bulatan adalah sekurang-kurangnya 1 meter daripada apa-apa halangan dan juga daripada had kawasan larangan (out-of-bound area).

(iii)         Jarak Jek juga hendaklah berada 1 meter daripada apa-apa halangan atau had kawasan larangan (out-of-bound area).

(iv)         Jek boleh dilihat oleh pemain yang berdiri dengan kedua-dua kakinya berada di dalam bulatan. Jika ada pertikaian, pengadil akan menentukan sama ada Jek boleh dilihat atau sebaliknya dan sebarang bantahan tidak akan dilayan selepas itu

Untuk ‘END’ yang seterusnya Jek akan dilempar daripada bulatan baru yang dibuat di tempat Jek berada diakhir ‘END’ tadi oleh pasukan yang memenangi ‘END’ tersebut, kecuali dalam keadaan berikut;
1.                  Bulatan terletak kurang 1 meter daripada halangan had kawasan larangan (out-of-bound area).
2.                  Jek tidak dapat dilempar ke jarak-jarak yang telah ditentukan dalam peraturan jarak.

Dalam kes pertama, pemain boleh membuat bulatan baru ditempat yang tiada apa-apa halangan dalam kawasan permainan.

Sementara dalam kes kedua, pemain boleh bergerak ke belakang tetapi mesti di garisan lurus dengan kedudukan Jek sehingga jarak maksima yang dibenarkan dapat diperolehi. Ini hanya boleh dilakukan jika jarak maksimum tidak dapat diperolehi di mana-mana bahagian dalam kawasan permainan.

Jika Jek yang dilempar tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan selepas tiga kali lontaran oleh seseorang pemain / pasukan, giliran lontaran akan diberikan kepada pihak lawan juga sebanyak tiga kali lontaran. Pihak lawan juga boleh mengalihkan bulatan ke belakang tetapi mesti mematuhi “Syarat-syarat yang telah ditetapkan di perenggan di atas”. Dalam keadaan ini, bulatan mungkin tidak boleh diubah-ubah lagi jika pasukan tersebut gagal menempatkan Jek tersebut dalam tiga kali lontaran.

Pasukan yang telah gagal membuat lontaran Jek selepas tiga kali percubaan masih mempunyai hak untuk melontar bola pertama.

Artikel 8 : Syarat lontaran Jek yang sah

Jika Jek yang dilontar ditahan oleh pengadil, pemain, penonton, binatang atau apa-apa objek bergerak, ianya adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai satu lontaran. Jadi pemain berkenaan masih mempunyai tiga kali lontaran lagi.

Selepas Jek dilontar dan bola pertama juga telah dilontar, pemain pasukan lawan masih boleh membuat bantahan tentang kedudukan Jek. Jika bantahan ini diterima, Jek dan bola pertama tadi perlu dilontar semula.

Jika pemain / pasukan lawan juga telah membuat balingan bola, Jek akan dikira sah dan tiada bantahan akan dibenarkan selepasnya.

Setiapkali Jek dilontar, kedua-dua pasukan hendaklah menerimanya sebagai sah dahulu atau pengadil membenarkannya barulah memulakan permainan.

Artikel 9 : Jek mati

Jek dikira tidak sah (mati) berdasarkan enam kes berikut;

(i)                 Selepas dilontar, kedudukan Jek berada diluar daripada kawasan seperti yang dinyatakan dalam Artikel 7.

(ii)               Semasa permainan, Jek telah bergerak keluar daripada had kawasan permainan dan masuk semula ke dalam kawasan permainan. Jek yang berada di atas garisan masih dikira sah. Lopak / kawasan berair di mana Jek boleh terapung dan bergerak dengan bebas adalah kawasan larangan dan dikira terkeluar daripada kawasan permainan.

(iii)             Kedudukan Jek telah tidak dapat dilihat atau terhalang walaupun masih dalam kawasan permainan. Jek yang terhalang / dilindungi oleh bola adalah dikira sah. Pengadil boleh mengalihkan bola / halangan tersebut sementara waktu untuk menentukan sama ada Jek tersebut dapat dilihat atau tidak.

(iv)             Jek telah digerakkan (displaced) kepada kedudukan lebih daripada 20 meter untuk ketegori dewasa, atau 15 meter untuk ketegori kanak-kanak daripada bulatan.

(v)               Apabila Jek yang beralih tempat tidak dapat dijumpai selepas mencarinya selama 5 minit.

(vi)             Apabila ada kawasan larangan (out of bound area) antara Jek dengan bulatan.


Artikel 10 : Denda jika mengalihkan halangan

Setelah Jek dilempar, pemain dilarang sama sekali daripada meratakan, mengalih atau memijak apa-apa halangan (batu, pasir, daun dan sebagainya) yang berada di kawasan permainan. Walau bagaimanapun, pemain boleh menutup lubang yang terjadi kesan lontaran bola yang terakhir sahaja.

Pemain yang gagal mematuhi peraturan ini boleh menyebabkannya dikenakan denda berikut;

(i)                 Amaran.

(ii)               Dibatalkan bola yang telah dilontar atau bola yang akan dilontar.

(iii)             Pemain bersalah akan digantung satu ‘END’.

(iv)             Pemain bersalah akan digantung satu perlawanan.

(v)               Dibatalkan penyertaan pasukan.

(vi)             Dibatalkan penyertaan kedua-dua pasukan jika berlaku pergaduhan.


Artikel 10a : Menukar Jek atau bola

Pemain sama sekali tidak dibenarkan menukar bola atau ‘Jack’ semasa permainan kecuali;

1.                 Bola atau Jek hilang dan tidak dijumpai setelah dicari selama 5 minit.

2.                Bola atau Jek pecah, dalam kes ini, bahagian terbesar daripada pecahan tersebut akan digunakan untuk menentukan kedudukan. Jika ‘END’ masih belum berakhir bahagian terbesar pecahan tadi akan digantikan dengan serta merta dengan bola yang mempunyai garis pusat yang sama dengan bola atau Jek yang pecah tadi. Untuk ‘END’ seterusnya, pemain boleh menggunakan set bola atau Jek yang baru.


Artikel 11 : Jek terlindung atau beralih

Semasa di dalam proses ‘END’ jika Jek telah terlindung secara tidak sengaja oleh daun atau kertas, halangan tersebut bolehlah dialihkan. Jika Jek bergerak akibat tiupan angin atau sebab tanah tidak rata, Jek tersebut mestilah ditempatkan dikedudukan asalnya yang telah ditandakan.

Peraturan yang sama akan diguna pakai jika Jek dialihkan secara tidak sengaja oleh pengadil, pemain, penonton, bola atau Jek dari gelanggang bersebelahan, binatang atau apa-apa objek bergerak yang lain.

Jika Jek beralih kerana bola yang sedang dimainkan, ianya dikira sah.

Untuk mengelakkan pertikaian, pemain-pemain adalah dinasihatkan menandakan kedudukan Jek dan bola. Tidak ada bantahan yang akan dilayan jika kedudukan Jek dan bola tersebut tidak ditanda.


Artikel 12 : Jek beralih ke gelanggang bersebelahan

Dalam proses ‘END’ jika Jek telah bergerak dan memasuki gelanggang bersebelahan yang mana perlawanan lain sedang berjalan, sama ada kedudukannya ditanda atau tidak, permainan masih boleh diteruskan sekiranya ianya tidak melanggar syarat-syarat seperti yang ditetapkan di dalam Artikel 9.

Jika perlu pemain yang menggunakan Jek tersebut hendaklah menunggu permainan di gelanggang bersebelahan menamatkan ‘END’ mereka sebelum boleh meneruskan ‘END’ nya.

Pemain perlu menunjukkan kesabaran dan semangat kesukanan mereka.

‘END’ seterusnya hendaklah dimulakan di gelanggang yang telah ditetapkan untuk mereka.


Artikel 13 : Tindakan diambil jika Jek mati

Jika Jek mati dalam proses ‘END’, satu daripada tiga perkara berikut boleh berlaku;

(i)                 Jika kedua-dua pasukan masih mempunyai bola untuk dimainkan, ‘END’ tersebut dikira tidak sah.

(ii)               Jika hanya satu pasukan sahaja masih lagi mempunyai bola untuk dimainkan, pasukan tersebut akan mendapat mata percuma sebanyak bilangan bola yang dimilikinya untuk dimainkan.

(iii)             Jika kedua-dua pasukan sudah tidak mempunyai bola lagi untuk dimainkan ‘END’ tersebut dikira tidak sah.


Artikel 14 : Meletakkan semula Jek yang diberhentikan

(a)                Jek yang diberhentikan oleh pengadil atau oleh penonton, kedudukannya hendaklah dikekalkan di tempat ia diberhentikan.

(b)               Jek yang berhenti akibat sekatan oleh pemain sendiri, pemain pasukan lawan mempunyai pilihan berikut;

(i)                 Biarkan Jek di tempat ia diberhentikan.

(ii)               Tempatkan di kedudukan asalnya.

(iii)             Tempatkan di mana-mana tempat di atas sepanjang arah perjalanan Jek daripada tempat asal ke tempat Jek diberhentikan pada jarak maksimum 20 meter (15 meter untuk kanak-kanak) dan masih boleh dilihat.

Perenggan (ii) dan (iii) hanya boleh digunakan jika kedudukan Jek ditanda sebelumnya. Jika tidak Jek mestilah dikekalkan di tempat ianya diberhentikan.

Jika selepas terkena balingan, Jek terkeluar daripada kawasan permainan (out-of bound area) dan kemudian melantun semula ke kawasan permainan, ianya dikira Jek mati dan tindakan yang perlu diambil diterangkan dalam Artikel 13.


Artikel 15 : Lontaran Jek yang terkeluar dari Gelanggang Permainan yang ditetapkan

Sekiranya dalam satu end, Jek terkeluar dari gelanggang yang telah di peruntukkan, end berikutnya akan dimulakan dari kedudukan Jek berkenaan sebelum ia terkeluar tertakluk kepada Artikel 7:

(a)                Bulatan lontaran boleh dibuat 1 meter daripada halangan atau had kawasan permainan (out-of bound area).

(b)               Jek boleh dilontarkan ke kawasan yang boleh mencapai jarak yang diperlukan.


BOLA

Artikel 16 : Melontar bola pertama dan seterusnya

Bola pertama bagi tiap-tiap satu ‘END’ akan dilontar oleh pemain bagi pasukan yang memenangi lambungan syiling atau pasukan yang memenangi ‘END’ sebelumnya.

Pemain dilarang menggunakan apa-apa objek yang boleh membantunya melemparkan bolanya atau membuat tanda atau garisan di atas gelanggang yang membantunya menempatkan bola yang dibalingnya. Setelah pemain melontarkan ke semua bolanya, dia tidak dibenarkan lagi memegang mana-mana bola.

Hanya satu biji bola sahaja yang boleh dibaling dalam satu-satu masa.

Apabila bola telah dibaling, ianya tidak boleh dibaling semula. Walau bagaimanapun, ianya boleh dibaling semula jika bola tersebut dihentikan secara tidak sengaja oleh bola atau Jek dari gelanggang bersebelahan, binatang atau apa-apa objek bergerak yang lain. Perkara ini diterangkan dalam Artikel 8.

Bola dan juga Jek tidak bolah dilicinkan atau diminyakkan.

Jika bola pertama telah dilontar keluar daripada kawasan permainan, pemain pasukan lawan akan diberi giliran melontar bolanya. Bola akan dilontar secara bergilir-gilir.

Jika semua bola telah dibaling dan didapati tiada bola yang berada dalam had kawasan permainan, peraturan berkaitan Artikel 29 akan digunapakai.


Artikel 17 : Tingkah laku Pemain dan Penonton semasa permainan berlangsung

Semasa pemain hendak membuat lontaran, pemain dan penonton perlu senyap.

Pasukan lawan tidak boleh berjalan atau membuat sesuatu yang boleh menggangu pemain. Hanya ahli pasukannya sahaja yang boleh berdiri di antara kedudukan Jek dan bulatan untuk memberitahu (indicate) arah yang perlu dituju (aiming point).

Pasukan lawan mestilah sentiasa berada di sebelah luar kedudukan Jek atau di belakang pemain dengan jarak yang melebihi 2 meter.

Pemain yang gagal mematuhi peraturan tersebut setelah diberi amaran oleh pengadil boleh digantung daripada pertandingan.


Artikel 18 : Bola yang dilontar keluar gelanggang

Tiada siapa yang dibenarkan melontar bola untuk percubaan semasa pertandingan. Pemain yang gagal mematuhi peraturan ini akan dikenakan denda seperti yang diterangkan dalam Artikel 10.

Semasa permainan berlangsung, bola yang bergerak keluar dari gelanggang tapi masih belum melepasi kawasan larangan (out-of bound area) adalah masih sah (kecuali seperti yang diterangkan dalam Artikel 19).


Artikel 19 : Bola mati

Mana-mana bola yang dilontar melepasi kawasan larangan (out-of bound area) atau garisan bola mati (dead ball line) dikira batal (Bola mati).

Jika bola tersebut bergolek dan memasuki semula kawasan permainan, sama ada disebabkan oleh gelanggang yang tidak rata, digerakkan oleh objek bergerak dan sebagainya, bola tersebut hendaklah dikeluarkan dengan serta merta daripada kawasan permainan dan apa-apa benda yang telah berubah akibat pergerakan bola tersebut perlu diletakkan di tempat asalnya.

Bola yang telah mati hendaklah dengan serta merta dikeluarkan daripada kawasan permainan, bola tersebut dikira sah sekiranya bola berikutnya telah dilontar oleh pihak lawan.


Artikel 20 : Bola yang diberhentikan

Mana-mana bola yang berhenti akibat disekat oleh penonton atau pengadil hendaklah dibiarkan berada di tempat ianya berhenti.

Mana-mana bola yang berhenti akibat sekatan pemain pasukannya adalah dikira bola mati.

Mana-mana bola dibaling (pointed) yang diberhentikan oleh pihak lawan boleh memilih sama ada bola tersebut dimainkan semula atau dibiarkan di mana ia berhenti.

Jika bola dibaling (shot) diberhentikan oleh pemain pasukannya, pihak lawan mempunyai peluang untuk:

(a)                Membiarkan bola tersebut berada di tempat ianya diberhentikan.

(b)               Meletakkannya di mana-mana tempat di sepanjang garisan pergerakan daripada kedudukan asal bola hingga ke tempat ia diberhentikan, tetapi dengan syarat kedudukan asal bola berkenaan telah ditandakan.

Pemain yang dengan sengaja menghalang atau menyekat bola yang sedang bergerak akan menyebabkan penyertaannya dan pasukannya dibatalkan serta merta.


Artikel 21 : Tempoh masa melontar bola

Bila Jek telah dilontar, pemain mempunyai satu minit untuk membaling bolanya. Masa dikira sebaik sahaja bola sebelumnya atau Jek berhenti. Jika mata (point) terpaksa diukur, masa satu minit dikira bermula sebaik sahaja pengukuran tamat.

Peraturan yang sama juga adalah dipakai bagi balingan Jek selepas tiap-tiap ‘END’.

Pemain yang tidak mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda seperti di bawah Artikel 10.


Artikel 22 : Bola beralih tempat

Jika bola telah berhenti, tetapi bergerak semula akibat tiupan angin atau akibat tanah tidak rata, bola tersebut bolehlah ditempatkan di kedudukan asal tempat ia mula-mula berhenti tadi. Peraturan yang sama perlu diikuti bagi bola yang berubah kedudukannya secara tidak sengaja akibat perbuatan pemain, penonton, binatang atau apa-apa objek bergerak.

Untuk mengelakkan apa-apa pertelingkahan, pemain hendaklah menandakan kedudukan asal bola dan Jek. Bantahan tidak akan dilayan jika bola dan Jek tersebut tidak ditandakan kedudukan asalnya. Pengadil hanya akan membuat keputusan berpandukan kedudukan bola dan Jek di atas gelanggang.

Walau bagaimanapun, jika bola beralih akibat bola lain dalam permainan, ianya dikira sah.


Artikel 23 : Melontar bola bukan milik sendiri

Pemain yang melontar bola selain daripada bola kepunyaannya akan diberi amaran. Walau bagaimanapun, bola tersebut dikira sah tetapi perlu digantikan serta merta dengan bolanya yang sebenar selepas diukur.

Jika kesalahan yang sama berulang dalam satu-satu permainan, bola pemain tersebut akan dikira batal. Sementara apa-apa yang berubah kedudukannya akibat balingan bola yang dibatalkan tersebut perlu ditempatkan kedudukan asalnya.

Sebelum melontar, pemain perlu membuang apa-apa kotoran / tanah yang melekat pada bola. Kegagalan berbuat demakian boleh menyebabkan pemain dikenakan denda seperti di bawah Artikel 10.

Pemain tidak boleh memungut bola yang dimainkan sebelum permainan (END) tamat.


Artikel 24 : Membaling bola yang tidak mengikut peraturan

Mana-mana bola yang dibaling dengan tidak mengikuti syarat-syarat sebagaimana yang telah dinyatakan sebelumnya akan dibatalkan. Peraturan yang sama diguna pakai untuk balingan Jek.

Walau bagaimanapun, pasukan lawan berhak membuat pilihan dan atas kelebihan (advantage) pasukannya, mengira bola tersebut sebagai sah. Dalam kes ini, bola yang dibaling tersebut perlu dibiarkan pada kedudukan barunya. Begitu juga dengan segala apa-apa perubahan akibat balingan tersebut.


MATA DAN PENGUKURAN


Artikel 25 : Mengalihkan bola untuk sementara

Untuk maksud pengukuran mata, bola atau apa-apa halangan yang berada di antara kedudukan Jek dan bola, bolehlah dialihkan sementara waktu setelah kedudukannya ditandakan. Selepas pengukuran, bola dan apa-apa halangan hendaklah diletakkan kembali di tempat asalnya. Jika halangan tersebut tidak boleh dialihkan, pengukuran perlu dibuat secara ‘calipers’.


Artikel 26 : Mengukur untuk Kiraan mata

Pengukuran adalah menjadi tanggungjawab pemain terakhir atau salah seorang pemain dalam pasukannya. Pemain pihak lawan boleh mengukur semula kedudukan tersebut setelah pengukuran dibuat. Pendapat dan keputusan pengadil mengenai jarak pengukuran baru tersebut adalah muktamad. Pengukuran mestilah dibuat dengan menggunakan peralatan yang sesuai, yang mana kedua-dua pasukan memilikinya. Mengukur menggunkan tapak kaki adalah dilarang sama sekali. Pemain yang tidak mengendahkan peraturan ini setelah diberi amaran oleh pengadil, boleh dikenakan salah satu denda seperti yang dinyatakan dalam Artikel 10.


Artikel 27 : Bola dialih sebelum kiraan mata diperolehi

Setelah tamat satu-satu ‘END’, mana-mana bola yang telah diubah / dialih kedudukannya sebelum pengiraan dibuat dan kedudukan bola tersebut tidak ditanda, markahnya akan dikira batal. Bantahan terhadap kesalahan ini tidak akan dilayan.


Artikel 28 : Menggerakkan Bola atau Jack

Pemain / pasukan akan kehilangan mata jika pemain menggerakkan atau mengubah kedudukan bola atau Jek semasa pengukuran sedang dijalankan.

Jika semasa pengukuran, Pengadil mengubah atau menggerakkan Jack atau Bola……..


Artikel 29 : Bola yang sama jarak dengan Jek

Jika dua bola yang terdekat dengan Jek milik pemain / pasukan yang berbeza mempunyai jarak yang sama, 3 keadaan berikut boleh di aplikasikan;

(a)                Jika kedua-dua pemain / pasukan sudah tiada bola untuk dimainkan, maka ‘END’ tersebut diisytiharkan sebagai tidak sah dan pasukan yang memenangi ‘END’ sebelumnya akan melontarkan Jek.

(b)               Jika hanya tinggal satu pasukan / pemain sahaja yang ada bola untuk dimainkan, pasukan tersebut hendaklah membaling bolanya. Jumlah markah akan dikira melalui berapa banyak bola yang ada berhampiran dengan Jek.

(c)                Jika kedua-dua pemain / pasukan masih ada bola untuk dimainkan, permainan akan disambung oleh pemain / pasukan yang terakhir membaling bola sebelumnya, diikuti oleh pemain / pasukan lawan secara berselang seli sehinggalah markah akhir dimenangi olah salah satu pasukan / pemain. Bila hanya satu pasukan sahaja yang ada bola untuk dimainkan, syarat / peraturan dipara di atas adalah digunapakai.

Jika dalam proses menamatkan ‘END’, tiada bola berada di kawasan ‘pitch’ yang dibenarkan, ‘END’ tersebut dikira batal.


Artikel 30 : Benda asing yang melekat pada bola dan Jek

Apa-apa benda asing yang melekat kepada mana-mana bola dan Jek hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum pengukuran dibuat.


Artikel 31 : Tuntutan-tuntutan

Hanya bantahan atau protes yang dibuat melalui pengadil (Umpire) akan diterima. Bantahan yang dikemukakan selepas keputusan penuh perlawanan diperolehi tidak akan dilayan.

Tiap-tiap pasukan adalah bertanggungjawab untuk meneliti dan mempastikan syarat-syarat asas pasukan lawan dipenuhi (permit, kategori, ‘pitch’, bola dan sebagainya).


DISIPLIN


Artikel 32 : Denda kegagalan berada di kawasan permainan

Semua pemain / pasukan dikehendaki hadir semasa pengundian dan semasa pengumuman keputusan pengundian dibuat. Mana-mana pemain / pasukan yang gagal hadir dikawasan permainan dalam masa 15 minit selepas pengumuman pertandingan akan didenda potongan satu mata dan mata tersebut akan diberikan kepada pihak lawan.

Selepas 15 minit pertama dan pemain berkenaan masih lagi gagal hadir di tempat pertandingan, denda satu mata lagi dikenakan untuk tiap-tiap 5 minit berikutnya.

Denda seumpamanya juga akan digunapakai di sepanjang masa pertandingan, selepas tiap-tiap pengundian seterusnya dan permulaan semula pertandingan selepas masa rehat yang diberikan.

Pasukan yang gagal hadir di kawasan permainan selepas satu jam daripada pengumuman pertandingan dibuat akan dikira kalah.

Pasukan yang tidak cukup bilangan pemain boleh membuat pilihan untuk memulakan permainan tanpa menunggu pemain berkenaan tetapi mereka tidak boleh menggunakan bola pemain yang tidak hadir itu.


Artikel 33 : Kehadiran pemain yang lewat

Pemain yang tiba selepas satu-satu ‘END’ dimulakan, tidak akan dibenarkan mengambil bahagian dalam ‘END’ tersebut. Dia hanya akan dibenarkan mengambil bahagian di dalam ‘END’ yang seterusnya.

Pemain yang tiba lewat satu jam atau lebih selepas permulaan perlawanan akan dikira batal dan tidak boleh mengambil bahagian lagi dalam perlawanan tersebut.

Jika ahli pasukannya berjaya memenangi perlawanan tersebut, dia boleh dibenarkan mengambil bahagian di dalam perlawanan seterusnya dengan syarat beliau adalah ahli pasukan asal yang didaftarkan.

Jika pertandingan dibuat secara liga, dia boleh mengambil bahagian dalam perlawanan kedua tanpa mengambil kira keputusan perlawanan pertama.

‘END’ dikira bermula sebaik sahaja Jek telah dilontar dan telah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam peraturan-peraturan ini.


Artikel 34 : Penggantian pemain

Penggantian atau penukaran pemain dalam ketegori berdua (double) dan satu atau dua pemain dalam ketegori bertiga (triples) hanya dibenarkan jika ada pengumuman secara rasmi sebelum pertandingan (pengumuman dibuat secara lisan, menggunakan wisel, pistol dan sebagainya), dan pemain pengganti tadi mestilah tidak pernah sebelumnya berdaftar dengan pasukan lain dalam pertandingan tersebut.


Artikel 35 : Denda-denda dalam permainan


Artikel 36 : Cuaca buruk

Jika hujan, mana-mana ‘END’ yang telah dimulakan mestilah dihabiskan, kecuali diputuskan oleh pengadil atas nasihat  para juri untuk menangguhkan ‘END’ tersebut atau membatalkannya atas sebab-sebab yang tidak dijangkakan (force majeure).

Jika selepas pengumuman peringkat seterusnya pertandingan (pusingan kedua, ketiga dan sebagainya), dan pertandingan tidak dapat diteruskan, pengadil atas nasihat penganjur pertandingan boleh membuat keputusan yang diperlukan untuk melicinkan proses pertandingan seterusnya.

Pemain tidak dibenarkan untuk meninggalkan pertandingan atau kawasan permainan tanpa kebenaran pengadil. Jika dilakukan, pemain berkenaan akan dikenakan tindakan di bawah Artikel 32 dan 33.


Artikel 37 : Fasa baru permainan


Artikel 38 : Berkongsi hadiah

Apa-apa pakatan sama ada untuk berkongsi hadiah atau untuk menentukan keputusan pertandingan adalah dilarang sama sekali.

Mana-mana pasukan yang tidak menunjukkan semangat kesukanan atau tidak menghormati penonton, pegawai pertandingan dan pengadil akan dikeluarkan daripada pertandingan atau boleh didenda seperti dinyatakan dalam Artikel 37.


Artikel 39 : Berkelakuan tidak sopan

Pemain yang didapati bersalah kerana berkelakuan tidak sopan atau lebih buruk lagi menunjukkan tingkah-laku ganas kepada pegawai pertandingan, pengadil, pemain pihak lawan atau penonton, boleh dikenakan satu atau lebih denda berikut bergantung kepada seriusnya kesalahan yang telah dilakukannya;

(1)               Dibatalkan daripada pertandingan.

(2)               Ditarik permitnya.

(3)               Diambil balik hadiah kemenangannya.

Denda ke atas mana-mana pemain dalam pasukan boleh juga dikenakan kepada pasukannya.

Denda (1) dan (2) boleh dikuatkuasakan oleh pengadil sahaja. Sementara denda (3) akan diputuskan oleh Jawatankuasa Penganjur yang akan membuat keputusan bertulis dalam masa 48 jam dari masa kejadian berlaku, kepada badan induk yang akan menentukan keputusannya.

Dalam kebanyakan kes, Pengerusi Jawatankuasa kepada badan induk itu akan membuat keputusan akhir.


Artikel 40 : Tugas seorang Pengadil

Pengadil yang telah dilantik untuk mengadili satu-satu pertandingan hendaklah mengadili pertandingan tersebut berpandukan peraturan-peraturan pertandingan. Pengadil adalah mempunyai kuasa untuk menggantung / menghalang mana-mana pemain / pasukan daripada meneruskan permainan jika tidak mahu mengikuti / mematuhi keputusannya.

Penonton berlesen / permit yang boleh menyebabkan berlakunya insiden buruk akibat salah lakunya akan dilaporkan oleh pengadil kepada badan induk Petanque. Mereka kemudiannya boleh disaman untuk hadir di Mesyuarat Disiplin yang akan memutuskan denda yang akan dikenakan kepadanya.


Artikel 41 : Komposisi dan keputusan Juri

Mana-mana kes yang tidak dinyatakan di dalam peraturan ini boleh dikemukakan kepada pengadil dan pengadil akan merujuk kes tersebut kepada Jemaah Juri.  Juri pertandingan hendaklah terdiri daripada 3 orang hingga 5 orang. Keputusan Juri untuk kes-kes sedemakian adalah muktamad. Dalam kes Juri yang tidak dapat membuat kata sepakat, keputusan Ketua Juri adalah muktamad.

Pemain-pemain perlu berpakaian yang sesuai. Pakaian yang menjolok mata dan tidak memakai kasut adalah ditegah sama sekali. Mana-mana pemain yang gagal mematuhi peraturan ini boleh ditahan daripada terus bermain setelah diberi amaran oleh pengadil.

Note:

Peraturan terbaru ini diluluskan oleh kongres antarabangsa “The Federation Internationale de Petanque et Jeu Provebcal” di Grenoble pada 3rd Oktober 2002.

Oleh:
George Aiman Milin
Pemain, Jurulatih, Teknikal Sejak 1998.

3 comments:

  1. NOR AZMAN BIN TAMITFebruary 1, 2014 at 8:38 PM

    terima kasih ;)

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  3. terima kasih dan jasa mu dikenang.

    ReplyDelete