Pages

Thursday, June 14, 2012

TEKNIK ASAS KEMAHIRAN PETANQUE

1. TEKNIK ASAS MEMEGANG BOLA


1. Menggunakan 4 jari rapat tanpa menggunakan ibu jari.



2. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi tepi



3. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi depan


 
4. Menggunakan kelima-lima jari dengan sokongan ibu jari pada sisi belakang



2. TEKNIK ASAS POSISI KAKI

1. Kedudukan kaki separuh ke depan dan separuh ke belakang.



2. Kedudukan kaki sama / selari



3. Kedudukan kaki setengah di hadapan dan setengah di belakang dan sedikit terbuka di bahagian belakang



3. TEKNIK ASAS POSISI POINTING

1 (a). Paras kedua-dua lutut sama tinggi

1 (b). Paras lutut kanan lebih tinggi

2 (a). Hayunan bola dari paras bahu

2 (b). Hayunan bola dari aras bawah



TIP POINTING
Kedudukan badan/ kaki mestilah seimbang.
Tumpuan mata ke arah jatuhan bola (landing point).
Ketika bola dilepaskan jari rapat dan tangan lurus serta pergelangan tangan bengkok ke atas.


TEKNIK POINTING
1. Lontaran Rendah (Rolling)
2. Lontaran Sederhana (Half Lob)
3. Lontaran Tinggi (Full Lob / High Lob)
· Kaedah yang sama untuk pointing berdiri
· Pastikan lontaran anda menepati kawasan jatuhan bola (landing point) dan menyeimbangkan kekuatan lontaran dan ketinggian lontaran bola.


4. TEKNIK ASAS POSISI SHOOTING



· Pastikan posisi kaki, lutut, badan, jari dan tangan dalam keadaan betul dan selesa.

· Tumpukan perhatian kepada target (bola atau jack)




· Hayunkan tangan ke belakang dengan pergerakan seluruh badan dengan lembut.

· Bongkokkan sedikit badan untuk menambah kekuatan kepada teknik “Back swing”.


Ketika melepaskan bola, pastikan:

· Tangan lurus

· Pergelangan tangan bengkok ke atas

· Kelima-lima jari rapat

· Lutut dan pinggang terkunci

· Setkan minda – bukan “Shoot” tapi “put”.


TEKNIK SHOOTING
1. Shooting Golek (Rooling Shooting)
2. Shooting Jatuh Sebelum
3. Shooting Tepat
4. Shooting Tepat Gantian (Carreau)

 "PETANQUE UNTUK SEMUA"

By
George Aiman Milin

Tuesday, June 5, 2012

Hutang Oh Hutang



Tajuk  :           Hutang Oh Hutang
Oleh   :           George Aiman Milin

Dengan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Kursus B4P Angkasa telah menggubal mudul yang diberi tajuk “Pengurusan Kewangan Keluarga”. Modul ini mula disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Angkasa dalam ceramah mereka untuk warga koperasi seluruh Malaysia sejak setahun lalu (2009). Modul ini berbeza dan istimewa kerana ia tidak membicarakan soal koperasi semata-mata tetapi lebih fokus kepada permasalahan warga koperasi. Waima permasalahan ini juga merupakan masalah umat sejagat iaitu masalah “hutang”. Melalui Data Statistik Kebangkrapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvansi Malaysia dari tahun 2002 hingga Februari 2007, seramai 153,676 orang telah diisytiharkan bangkrap. Pastinya data ini lebih besar jumlahnya jika dikeluarkan pula statistik mereka yang mempunyai masalah hutang yang kronik.

Ironinya, penyakit hutang ini dihidapi sebahagian besar warga koperasi. Kemungkinan penyakit hutang ini menular dengan cepat kerana penubuhan koperasi kredit yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dirancakkan lagi apabila ada koperasi kredit yang mewar-warkan selogan yang berbunyi “Orang mesti berhutang, Yang Tidak Berhutang itu Binatang”. Walaupun selogan tersebut ada kebenarannya, namun sebagai warga koperasi yang bijak, kita perlu menilai keperluan untuk kita berhutang. Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir dalam bukunya “Cukup Wang Hati Tenang” membahagikan hutang kepada dua iaitu Hutang Berkat dan Hutang Mudarat. Hutang Mudarat menimbulkan masalah pada masa depan sebaliknya Hutang Berkat boleh memudahkan masa depan. Hutang adalah satu fenomena yang sukar dihindari oleh sesetengah individu, kerana mereka beranggapan hanya dengan berhutang sahaja mereka akan dapat memenuhi keperluan hidup. Ada juga yang berhutang untuk menjaga nama dan status sosial, tuntutan hidup yang canggih dan ingin menyaingi hidup orang lain. Perubahan gaya dan kos kehidupan yang semakin tinggi juga menguatkan alasan untuk berhutang.

Agama Islam membenarkan malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Walau bagaimanapun Islam tidak menggalakkannya, terutamanya apabila hutang tersebut membebankan untuk dilunaskan. Jika terpaksa berhutang, pemiutang hendaklah berazam dan berniat untuk membayar hutangnya.

Firman Allah s.w.t:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”  (Al-Baqarah: 282)

Ayat di atas merupakan sebahagian dari ayat yang terpanjang dalam Al-Quran. Ia menerangkan kepada kita cara-cara berjual-beli dan berhutang. Ia menunjukkankan betapa pentingnya konsep jual beli dan hutang piutang dalam kehidupan manusia. Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Jahsy, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;

“Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk Syurga selagi hutangnya belum dibayar.” (HR.An-Nasa’i)

Malangnya segelintir masyarakat sekarang mengabaikan kewajipan membayar hutang. Ini mungkin disebabkan kejahilan mereka mengenai hukum-hakam hutang-piutang menurut pandangan Islam. Sama ada meminjam kerana benar-benar memerlukan atau sebaliknya, semua itu adalah hutang yang akan dihitung di akhirat kelak jika kita gagal membayar balik.

Dewasa ini, ramai membunuh, terbunuh dan dibunuh angkara meminjam wang dari saluran tidak berlesen, 'along'. Tidak kurang juga yang mendapat surat amaran dan saman dari institusi perbankan kerana gagal membayar balik wang pinjaman. Malah, ada sesetengah yang hutangnya (sama ada pinjaman pendidikan, perniagaan atau persendirian) menjadi 'warisan' yang terpaksa ditanggung oleh anak dan ahli waris. Perkara yang juga sering berlaku, ramai akan mengalami kegawatan kewangan setiap kali musim perayaan dan sesi persekolahan bermula. Semuanya gara-gara tidak bijak menguruskan kewangan atau tidak ada bajet belanjawan dalam kehidupan harian diri dan keluarga. Malah, budaya memiliki sesuatu melebihi keperluan asas dan amalan berbelanja secara boros dan mengikut trend masyarakat mendorong institusi kewangan mereka cipta pelbagai kredit dan bentuk pinjaman yang mengaburi mata pengguna. Ini membuatkan ramai yang terus dibebani hutang, malah berlipat ganda kerana terpengaruh dengan pelbagai tawaran istimewa sistem kredit bank.

Anggota keluarga sepatutnya saling berbincang dan mempunyai persefahaman yang rapat dalam mencorakkan kewangan keluarga. Setiap keluarga perlu ada dan menyediakan bajet bukan sahaja tahunan, malah harian, mingguan dan bulanan. Jika kita bijak mengurus dan mengguna masa, bahagialah hidup keluarga, begitu juga dalam menguruskan kewangan. Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan empat perkara utama iaitu; perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.

Kebanyakkan individu yang mempunyai masalah hutang menunjukkan petanda-petanda seperti berikut;

·                     Pertengkaran suami isteri kerana wang

·                     Menghitung hari gaji

·                     Nisbah hutang dengan pendapatan yang tinggi

·                     Bergantung hidup pada kad kredit

·                     Bayar nilai minimum pinjaman kad kredit

·                     Guna simpanan untuk bayar bil semasa

·                     Tangguh/elak bayar bil

·                     Terima notis tunggakan bil

·                     Ambil pinjaman baru untuk tampung hutang lama

·                     Tangguh bayaran balik pinjaman

·                     Tiada simpanan tunai untuk kecemasan

·                     Bergantung pada pendapatan tambahan

·                     Tidak tahu ke mana wang dibelanjakan

·                     Tidak tahu berapa hutang

·                     Menulis cek menggunakan kemudahan overdraf

·                     Tidak lena tidur fikirkan masalah hutang

Semua petunjuk yang disenaraikan bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga kita dan ia bukan bermakna keluarga mempunyai pendapatan rendah tetapi ini menunjukkan kewangan keluarga tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan. Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ialah, Hadapi hutang anda dan jangan sekali-kali elakkan diri dengan membiarkan hutang berlalu tanpa dikawal. Hadapi hutang anda dan cuba cari penyelesaian dengan mula mengawal perbelanjaan.

 Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ini ialah “Pengurusan Belanjawan”. Pengurusan belanjawan bermaksud menggunakan wang dengan berkesan agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan cara menggunakan wang seminimum yang boleh untuk mencapai semaksimum matlamat yang boleh. Oleh kerana keperluan dan kehendak itu banyak, sedangkan wang terhad, keutamaan perlu ditentukan. Sebelum membelanjakan wang, tanya diri sendiri apakah sesuatu benda atau khidmat yang dibeli itu penting? Apakah ia tidak boleh ditangguhkan? Antara kesilapan biasa dalam mengurus kewangan ialah sikap gemar berhutang berbanding membeli sesuatu benda atau perkhidmatan secara tunai. Kaedah pembelian secara kredit (kad kredit) yang kini menjadi cara hidup ramai menyebabkan banyak keluarga mengorbankan peruntukan kewangan masa depan dan seterusnya gagal membuat simpanan untuk matlamat kewangan yang lebih penting.

Lima perkara asas dalam proses pengurusan belanjawan ialah; Kira nilai bersih anda, Tentukan matlamat kewangan anda, Jejaki sumber wang dan ke mana perginya wang anda, Nilai cara anda berbelanja dan Catat rancangan perbelanjaan anda. Mulakan dengan merujuk rekod kewangan seperti penyata bank, slip gaji, cukai pendapatan dan penyata kad kredit tahun lalu yang memberikan gambaran realistik mengenai berapa banyak pendapatan diperoleh dan di mana wang dibelanjakan. Catat semua perbelanjaan setiap hari selama sekurang-kurangnya sebulan. Berpandukan rekod ini, keluarga boleh merancang perbelanjaan dengan lebih realistik. Jika terlebih belanja, berusaha untuk berjimat cermat. Walaupun pendapatan melebihi perbelanjaan, perancangan masih diperlukan untuk meningkatkan lagi kuasa berbelanja. Berjimat cermat adalah langkah pertama ke arah mengumpul kekayaan. Semua rancangan simpanan bermula dengan mengurangkan perbelanjaan bulanan. Penyata pendapatan adalah ringkasan pendapatan dan perbelanjaan keluarga yang membolehkan keluarga menilai pendapatan dan perbelanjaan lepas. Pakar kewangan ada berkata, “Bukan gaji atau pendapatan yang membuatkan anda kaya, tetapi tebiat anda berbelanja”.

PRINSIP ASAS YANG PATUT DIFAHAMI
Pendapatan – Perbelanjaan = Simpanan
Salah
Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan
Betul

Perkara lain yang boleh dilakukan ialah meningkatkan pendapatan melalui kerja sampingan, berjimat cermat, dapatkan nasihat pakar kewangan seperti perancang kewangan bertauliah atau mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Sebaliknya jangan sekali-kali berurusan dengan ceti haram atau Ah Long yang menekan mangsa dengan kadar faedah yang tinggi dan membebankan.



Sekiranya kita sudah terjebak dalam beban hutang, berusahalah untuk melangsaikannya. Salah satu kaedah atau formula yang popular telah diperkenalkan oleh Mr.Dave Ramsey (www.daveramsey.com) iaitu Kaedah yang dinamakan “Debt Snowball” atau “Snowball Effect”. Kaedah ini dilakukan dengan cara menyenaraikan kesemua hutang mengikut baki yang terkecil hingga ke terbesar, jika hutang hampir sama jumlahnya, pilih hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi bagi senarai yang teratas. Buat pembayaran minimum semua hutang dan cari lebihan wang untuk menokok pembayaran hutang yang terkecil (lebihan boleh diperolehi daripada penjimatan perbelanjaan). Seterusnya bayar minimum lebihan wang mengikut turutan dari atas ke bawah, sehingga selesai semua hutang yang tersenarai. Kaedah ini lebih jelas dengan melihat contoh berikut:

Andaikan Anda menyusun senarai hutang-piutang anda seperti berikut:

Hutang
Bayaran Ansuran (RM)
Baki Hutang  (RM)
A – Kad Kredit
200
1,000
B – Kad Kredit
250
3,000
C – Koperasi
300
10,000
D – Kereta
600
40,000
E – Rumah
1000
100,000

Anda membayar hutang A sampai langsai dan seterusnya menggunakan RM200 itu untuk ditambah kepada pembayaran ansuran hutang B. Ini menjadikan pembayaran ansuran hutang B meningkat kepada RM450. Hutang B akan habis dibayar dengan cepat dalam pempoh 6 bulan sahaja berbanding 12 bulan jika hanya membayar RM250 sebulan. Apabila hutang B pula langsai, anda akan menggunakan ansuran hutang A, B dan C bagi menjelaskan hutang C, iaitu;

RM200 + RM250 + RM300 = RM750

Ini sudah pasti mempercepatkan tempoh penyelesaian hutang C, sebab dari ansuran sebanyak RM300 sahaja sebulan, anda telah meningkatkan bayaran ansuran sebanyak RM450 kepada RM750. Setelah langsai hutang dalam tempoh 13 bulan, ansuran 750 dicampurdengan ansuran RM600 bagi penyelesaian hutang D. Akhirnya, setelah langsai hutang D, RM1350 di campur pula dengan RM1000 untuk ansuran hutang E. Proses penyelesaian hutang kaedah inilah dikenali sebagai “Kesan Bola Salju” iaitu makin ditolak makin besar jadinya. Apabila semua hutang telah berjaya dilangsaikan, bertaubatlah daripada meneruskan tabiat berbelanja berlebihan dan berusahalah untuk mencapai matlamat kewangan anda yang lain.

Jika anda masih belum terlibat dangan hutang, hindarilah darinya. Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih  bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai?  Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan. Bagaimanapun ramai  antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang.  Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Bumiputera di Malaysia ini, jika boleh  mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu membayar.  Ini merupakan satu sikap yang salah.  Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan.  Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.   Kuatkan azam untuk membebaskan diri dari belenggu hutang dan bacalah doa-doa berikut. InsyaAllah.

اَللَّهُمَّ اكْفني بِحَلالِكَ عَنْ حَرامِكَ، وَأغْنِني بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك

“Ya Allah, cukupkanlah untuk kami rezeki-Mu yang halal dan jauhkankanlah kami dari rezeki yang engkau haramkan, Ya Allah limpahkanlah kepada kami kurnia-Mu sehingga kami tidak meminta kepada selain Engkau.” (hadits hasan) (HR. At-Tirmidziy 5/560, lihat Shahih At-Tirmidziy 3/180)

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keresahan dan kesedihan, kelemahan dan sikap malas, kekikiran dan sikap penakut serta dililit hutang dan dikalahkan lawan." (HR. Bukhari 7/158)



RUJUKAN 
1.         Abd. Aziz, Ibrahim (2005). “Lebuh Raya Baru Kebebasan Kewangan: Jutawan Daripada Beban Hutang”, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
2.         Adil, Akhyar (2009). “Hutang, Seronok Yang Membawa Bencana - Pengurusan Hutang Piutang Dalam Islam”, Pustaka Azhar
3.         Khairul Gahazali, Dr (2009). “Konsep Berhutang Dalam Islam”. Progressive Publishing House Sdn.Bhd.
4.         Khairulnahar, Jamaluddin (2009). “Bajet Wang – 7 Cara untuk mengatasi masalah kekurangan wang”, True wealth Sdn Bhd.
5.         Hajah Rohani, Datuk Hj Mohd Shahir (2005). “Cukup Wang Hati Tenang”, Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.
6.         Unit Kursus, B4P (2009). “Kursus Pengurusan Kewangan Keluarga”, ANGKASA
7.         Zenhabits, “Fiscal Fitness: Eliminate Debt eith 10 Successful Diet Principles”. Dicapai pada 18 Oktober 2010, Dari http://www.zenhabits.net/fiscal-fitness-eleminate-debt-with-10-successful-diet-principles/

Sunday, June 3, 2012

YANG HALAL, YANG HARAM & YANG TIPU

PELABURAN EMAS: YANG HALAL, YANG HARAM, YANG TIPU,
PILIHAN DI TANGAN ANDA.

“Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.”
 
Ada beberapa cara terlibat dalam pelaburan emas hari ini. Tapi sila berhati-hati, ada cara yang halal, ada cara yang tak patuh Shariah dan ada cara yang menipu atau skim cepat lingkup. Sila baca artikel berikut dan seterusnya buat penilaian sendiri yang mana satu jenis pelaburan emas yang anda sedang dan akan ceburi. Seterusnya bertindaklah dengan bijak.
1. Emas Fizikal
Beli 25 gram emas fizikal dalam bentuk bar, syiling dan barang kemas. Selagi mana beli secara tunai, tiada isu Shariah. Cara buat untung adalah beli harga rendah, jual harga tinggi.
  • Cara Membeli Emas Perak Patuh Syariah
Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak bermakna Islam tidak ada panduan untuk berurusniaga dalam talian.

Memandangkan kebanyakan kita membeli emas dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang kertas terlebih dahulu.
Hukum Matawang Kertas
Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian ulama berkata hanya emas dan perak sahaja yang menjadi matawang.
Manakala sebahagian ulama yang lain berkata apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.
 
 
Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.
Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau matawang bersandarkan emas dan perak.
Halal Digunakan Untuk Tujuan Tertentu
Justeru matawang kertas adalah halal digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.
Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus, terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi Islam.
Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.
Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.
Fatwa yang Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia
Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.
Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting dalam perniagaan.


Justeru pembelian atau pertukaran matawang kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya seperti berikut:
    1. RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti berlaku secara tunai.
    2. RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti berlaku secara tunai.
Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7 hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada mekanisma urusniaga yang betul.
Kita juga jangan membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup duit dahulu baru beli.
Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’ pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan upah membuat barang kemas dibuat.
Bagaimana Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?
#1 – Emas dan Perak Mesti Ada

Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.
Penjual juga tidak boleh menjual emas yang mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian (ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti biasa.
Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak (wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.
#2 – Bayar Secara Tunai
Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.
Kemudian kita dapat mengeluarkan cek, telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.
Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai pertukaran matawang.
#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai


Penyerahan emas secara tunai juga tidak bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.
Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya resit atau sijil emas yang belum ada lagi.
Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan, maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli dengan cara yang dipersetujui.
Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).
Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya ini menubuhkan Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam bidang kewangan Islam.
Ini bagi membolehkan operasi jual beli syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri emas dan perak.
Ini adalah amat penting bagi memastikan umat Islam terselamat daripada aktiviti riba.
Ingat… Kenapa memilih menjadi kaya dengan jalan riba? 
 
2. Akaun Pelaburan Emas
Beli 25 gram emas dari bank, emas fizikal tak perlu ambil. Bank simpan atau bank cuma benchmark harga emas semasa. Yang confirm transaksinya halal cuma KFH dan Al-Rajhi Bank, selebihnya tidak.
·           Akaun Pelaburan Emas

1. Walaupun tajuk post ini adalah, Akaun Pelaburan Emas, tetapi tuan puan yang mengikuti blog saya ini perlu maklum fungsi emas yang sebenar adalah bukan untuk pelaburan. Saya ulang, emas sifat asalnya bukan untuk pelaburan. Dalam konteks keadaan sekarang, saya lebih suka kalau ia difahami sebagai menyimpan harta dalam bentuk emas.
 
2. Akaun pelaburan emas merupakan pilihan lain bagi mereka yang ingin menyimpan harta dalam bentuk emas. Pilihan lain yang dimaksudkan adalah beli jongkong emas, syiling secara fizikal, simpan dan jual balik kepada pembeli lain.
 
3. Untuk peringkat awal, mungkin tuan puan tidak perlu pening bagaimana untuk menyimpan emas fizikal tersebut. Tapi kalau nilai emas itu dah mencecah belasan ribu, puluhan ribu malah ratusan ribu, sudah tentu kita semua risau nak simpan emas-emas tersebut.
 
4. Maka, akaun pelaburan emas mampu mengatasi hal tersebut, malah ready buyer iaitu bank, sentiasa ada selagi mana bank itu wujud.
 
5. Di Malaysia, sehingga artikel ini ditulis ada 4 akaun sebegini ditawarkan iaitu Public Bank Gold Investment Account, Maybank Gold Savings Passbook Account, CIMB Gold Saving Passbook Account dan KFH Gold Account-i.
 
6. Akaun Public Bank Gold Investment Account jelas tidak mematuhi Shariah kerana physical gold withdrawal tidak dibenarkan, begitu juga dengan CIMB Gold Saving Passbook Account. Maybank Gold Savings Passbook Account juga tidak mematuhi Shariah kerana akaun emas ini walaupun boleh dibuka di mana-mana cawangan Maybank, tetapi untuk membuat physical gold withdrawal hanya boleh boleh dibuat di cawangan tertentu sahaja. (Maklumat yang dipaparkan di web sehingga artikel ini ditulis pada 17 Mei 2010). Hal ini bertentangan dengan prinsip jual beli emas yang disebut dalam hadis Nabi saw yang telah disebut dalam artikel yang lepas. Intipati hadis tersebut boleh dilihat menerusi jadual berikut:
 
 
7. Ingat, dalam Islam jual beli emas mesti dibuat secara tunai (spot) dan tidak boleh secara kredit / hutang / tertangguh. Jika perbuatan kita membeli emas sebegitu maka kita telah mengamalkan riba al-fadl, satu lagi jenis riba selain riba pinjaman.
 
8. Manakala, KFH Gold Account-i pula adalah akaun yang patuh Shariah kerana kita semua boleh membuat physical gold withdrawal sejurus selepas membuka akaun tersebut. Nak mintak mereka simpan pun boleh, nak kita terus pegang emas fizikal pun boleh. Walaupun semua cawangan KFH menawarkan akaun ini, tetapi kita hanya boleh berjual beli emas di tempat akaun kita dibuka sahaja untuk memastikan emas-emas itu memang wujud selaras dengan prinsip Islam dalam jual beli emas yang telah ditunjukkan dalam hadis berkaitan riba al-fadl itu tadi.
 


9. Alhamdulillah, KFH kini telah memberikan pilihan yang sangat baik untuk umat Islam khususnya dalam hal ini. Semoga bank-bank Islam lain dapat menawarkan akaun yang sama untuk memberikan pilihan yang lebih baik kepada kita semua. Untuk makluman, emas yang ditawarkan oleh KFH adalah emas 995.
 
10. Justeru, kini kita semua mempunyai lebih pilihan untuk menyimpan harta dalam bentuk emas. Kalau rasa tidak mahu simpan semuanya dalam bentuk fizikal, sudah ada akaun bebas riba yang memberikan pilihan yang lain.


3. Emas + Ar-Rahnu
Kalau emas dah beli secara tunai dan kemudian digadaikan, ok. Patuh Shariah. Kalau buat kombo sekaligus, maka ada isu Shariah yang pelu diperhalusi.
·      Hukum Pelaburan Emas ar-Rahnu 
“Boleh tak melabur emas dengan ar-Rahnu?”

Melabur emas dengan bergadai?

Saya bertanya dalam hati.

Daripada emel-emel yang saya terima, prosesnya adalah seperti berikut:

1. Penjual menjual emas 20g dengan harga RM 3000.

2. Pembeli hanya perlu membayar 30% bersamaan dengan RM 900.

3. Pergi ke kedai ar-Rahnu dan emas tersebut dipajakkan 70% dari harga semasa. Selepas selesai proses ar-Rahnu, pembeli menerima RM 2,100.

4. Pembeli membayar baki hutang kepada penjual iaitu RM 2,100 yang diterima dari ar-Rahnu. Emas kedai yang simpan.

5. Penjual senyum untung jual emas. Pembeli ada hutang RM 2,100 dan juga perlu membayar upah simpan. Emas dalam kedai ar-Rahnu.
Persoalan Hukum
Jual beli di atas adalah tidak patuh Syariah. Haram kerana proses jual beli di atas adalah jual beli secara hutang.

Jual beli emas secara berhutang adalah riba.
Apa yang Boleh?
1. Beli emas secara tunai, RM 3,000 untuk 20g.

2. Selesai jual beli barulah emas 20g itu tadi digadaikan di kedai ar-Rahnu.

3. Dapat RM 2,100 boleh lah digunakan untuk apa-apa tujuan yang baik.

4. Bayar upah simpan dan tebus balik emas dengan membayar hutang RM 2,100.

5. Emas dapat semula. Hutang habis.
Bijak ke Tidak?
1. Persoalan hukum sudah terjawab.

2. Perhatikan kesan yang pembeli perlu tanggung:

i. Hutang sebanyak RM 2,100.

ii. Kos upah simpan

iii. Emas disimpan oleh kedai ar-Rahnu dan mereka akan lelong emas tersebut bila kita gagal bayar hutang dan kos simpan apabila sampai tempohnya.

3. Adakah “melabur” untuk mendapatkan “hutang” adalah langkah yang bijak?

4. Harga emas tidak sentiasa naik.  
 
4. Saham syarikat berhad yang berkaitan emas di Bursa Malaysia

Setahu saya hanya Poh Kong Holdings Berhad (5080) yang sahamnya dijual beli di Bursa Malaysia. Wah Chan dan Habib Jewels masih Sdn Bhd. Syarikat Poh Kong merupakan penjual emas dan barang kemas paling besar di Malaysia dan mempunyai lebih 100 cawangan seluruh negara. Beli saham Poh Kong Holdings Berhad dan kita berpeluang mendapat capital gain dari harga saham dan juga dividen tahunan. Saya ulang, dividen tahunan. 

5. Skim Cepat Lingkup (SCAM)

Caranya, beli emas dapat dividen, duit dan pulangan x% setiap bulan. Ini skim cepat lingkup. Emas fizikal tak beri dividen. Akaun pelaburan emas pun tak beri sebarang dividen. Kalau nak dapat dividen pun kena beli saham macam syarikat Poh Kong yang tersenarai dengan Bursa Malaysia untuk tujuan tersebut, tapi itu bukan beli emas tapi beli saham.
Kalau syarikat berkaitan emas yang paling besar pun cuma berani dan mampu beri dividen tahunan sahaja, kenapa boleh ada syarikat biasa-biasa yang nak janjikan pulangan dividen setiap bulan? Ia tidak masuk akal. Syarikat sebegitu adalah musang yang sedang membela ayam.
Apa yang sebenarnya syarikat sebegini jual? Emas ke saham?
Jika emas, mana emasnya? Jika emas tiada, emas tak boleh kita ambil maka itu sudah jadi transaksi / pelaburan haram di sisi Islam.
Kalau saham pula, adakah ia tersenarai di Bursa Malaysia atau mana-mana bursa saham lain ?
Apakah operasi sebenar syarikat tersebut? Terlibat dalam jual beli emas macam Poh Kong, Habib dan Wah Chan atau cuma sedang menipu orang ramai, penjawat awam dan makcik-makcik di kampung?
Modus operandi skim cepat lingkup bermula dengan model “pelaburan” semudah operasi skim Pak Man Telo dan Labu Peram. Kemudian disusuli skim forex, futures market, CPO, ternak lembu, rumpai laut, jala ikan, MLM dan kini pelaburan emas.
Tak percaya?
“Takkan dia tipu pula, sebab saya masih dapat duit tiap-tiap bulan!” ujar seorang pegawai kerajaan.
Ok. Tiada masalah.
Pergi lah habiskan semua duit simpanan, duit simpanan nak pergi haji, pecahkan tabung anak, gadai tanah, buat pinjaman bank, minta duit & paksa emak ayah, adik beradik, kawan-kawan semua masuk dan jumpa peneroka Felda dan orang kampung untuk terlibat dalam skim yang sama.
Pergi buat apa yang patut untuk terlibat dalam skim macam ni. Pergi buat untuk jadi kaya dengan jalan menipu. Teruskan mengikis duit orang lain.
Saya dah tegur dan ingatkan skim cepat lingkup sebegini melalui siri seminar, ceramah dan bengkel dan hari ini melalui blog. Saya cuma nak selamatkan diri saya, keluarga dan kalian yang mahu percaya sahaja.


KESIMPULAN 
Setelah membuat penilaian ke atas jenis-jenis pelaburan emas yang ditawar dalam pasaran sekarang, anda tentu boleh menentukan jenis pelaburan emas apa yang akan anda ceburi. Jika anda cerdik dan beriman (islam), anda sepatutnya menceburi pelaburan emas yang patuh shariah. Jika anda cerdik tapi bukan islam, anda boleh menceburi apa saja jenis pelaburan emas KECUALI  Skim Cepat Lingkup (SCAM). Kerana Skim Cepat Lingkup hanya untuk orang-orang yang tidak cerdik, berfikiran jumud, pemalas dan penipu.