Sunday, February 25, 2018

"ACUNDALI" DALAM PERMAINAN PETANQUE


APA ITU ACUNDALI?
Perkataan "ACUNDALI" dalam permainan PETANQ yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Ungku A.Aziz (Pak Ungku), berasal daripada gabungan dua perkataan Bahasa Melayu, iaitu ACU (aiming) dan KENDALI (handle). Ini membawa makna, dalam permainan Petanque (Petanq), perkara paling penting adalah perbuatan Acu/Aim dan Kendali/handle. Keberkesanan permainan Petanque ini bergantung sepenuhnya kepada kemahiran ACUNDALI ini.

ACU @ MENGACU (AIMING) 
Adalah perbuatan mengacukan bola petanque kepada sasaran, sama ada sasaran ialah landing spot atau landing point atau bola pihak lawan, bola sendiri atau jek. Mengacukan bola petanque ketika hendak membaling merupakan teknik paling asas yang tidak boleh ditinggalkan dalam mana-mana teknik balingan. Tidak ada seorangpun pemain petanque yang boleh membaling dengan baik tanpa mengacukan (Aiming) terlebih dahulu bolanya. 

KENDALI @ MENGENDALI (HANDLE/CONTROL)
Adalah perbuatan mengendalikan jumlah tenaga yang perlu dibekalkan kepada tangan ketika hendak membuat balingan. Sekiranya jumlah tenaga yang berlebihan dikeluarkan ketika membaling, maka balingan biasanya akan terlepas daripada sasaran, sebaliknya jika tenaga yang kurang diberikan ketika membaling, maka balingan biasanya tidak sampai kepada sasaran. Oleh itu, kebijaksanaan pemain dalam mengendalikan tenaga yang paling tepat digunakan ketika membaling adalah sangat penting. Disinilah kebijaksanaan pemain petanque terserlah.

Oleh itu, perkara paling penting dan paling asas yang perlu diajar oleh Jurulatih atau Guru dalam permaian ini ialah memastikan pemain atau anak didik mereka menguasai teknik paling asas ini, iaitu ACUNDALI. Dan pastinya teknik ini juga memerlukan latihan yang banyak untuk mahir sepenuhnya.

Sukan Petanque telah mula diperkenalkan di negara ini dalam tahun 1987 oleh YM Professor Di Raja Ungku Abdul Aziz selaku yang Dipertua ANGKASA ketika itu kepada Kementerian Belia dan Sukan. Pada pertengahan tahun1989, Pak Ungku telah memperkenalkan sukan ini kepada Koperasi-Koperasi di Malaysia. Selepas beberapa bulan diperkenalkan, sukan Petanque telah diangkat dan dirasmi sebagai salah satu acara sukan untuk negara oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (Menteri Belia Dan Sukan ketika itu dan Perdana Menteri ke-6 sekarang) pada 22 Mac 1990 bertempat di Padang Jalan Timur, Petaling Jaya.

Semenjak dibawa masuk ke Negara ini pihak ANGKASA secara berterusan telah memperkenalkan dan mempromosikan sukan petanque melalui Bengkel, demonstrasi, kursus dan pertandingan. Pertandingan-pertandingan telah dianjurkan mulai tahun 1990 antara koperasi-koperasi dewasa dan koperasi-koperasi sekolah diperingkat negeri dan kebangsaan sempena sambutan Hari Koperasi Antarabangsa. Kelihatan Dalam gambar Tun Dr Mahadir Mohammad (Perdana Menteri KE-4) diberi tunjuk ajar tentang ACUNDALI dalam permainan petanque.

Tun Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri ke-5) juga telah mencuba ACUNDALI dalam permaian Petanque, dengan tunjuk cara daripada Profesor Diraja Ungku A.Aziz sendiri.

Petanque merupakan sejenis sukan yang dimainkan di tempat yang lapang menggunakan boule yang diperbuat daripada logam dan dimainkan mengikut peraturan-peraturan tertentu. Boule akan dibaling mengikut teknik ACUNDALI untuk menghampiri jack yang berupa sebiji bola kayu, saiznya  lebih besar daripada guli  bagi membolehkan pemain mendapat  mata permainan. Objektif permainan petanque adalah untuk menguasai kedudukan dengan meletakkan boule milik pasukan sendiri terdekat dengan sasarannya iaitu jack. Pertandingan ini adalah rebutan antara dua pasukan bagi menguasai kedudukan tersebut. Mata penamat bagi permainan petanque ini adalah 13 mata.

Tan Sri Dato 'Seri Haji Mohamad Tajol Rosli bin Tan Sri Mohamed Ghazali (Menteri Besar ke-9 negeri Perak) juga telah mencuba ACUNDALI dalam permainan Petanque dengan tunjuk ajar daripada YM Pak Ungku sendiri.

Nota:
Artikel ini saya hasilkan berdasarkan kepada taklimat oleh Pak Ungku kepada kami (Pegawai Pelajaran ANGKASA) ketika mula-mula berkerja dengan ANGKASA pada tahun 1997. Walaupun sudah 21 tahun berlalu, tetapi konsep ACUNDALI yang diperkenalkan oleh Pak Ungku masih segar dalam ingatan saya. Terima kasih Pak Ungku.

George Aiman Milin.