Monday, September 10, 2012

THE HISTORY OF PE'TANQUE (In Malay)

SEJARAH PERMAINAN PETANQUE
Oleh: George Aiman Milin 

Sejarah sukan petanque dikesan kewujudannya semenjak tahun 9000 S.M. apabila satu set bola batu di temui di Turki. Satu set bola juga dijumpai di makam orang-orang Mesir pada tahun 7000 S.M. Di zaman purba, sukan ini dimainkan oleh orang-orang Rom dan Greek. Ditanggapi bahawa orang-orang Rom merupakan orang pertama yang membawa sukan Petanque ke Marseilles, Perancis kira-kira 2600 tahun dahulu. Petanque ialah sejenis sukan yang dimainkan di tempat yang lapang dan dibangunkan sejak berkurun dahulu. Sejarah yang tepat mengenainya tidak tercatat tetapi terdapat bukti-bukti daripada cerita-cerita turun-temurun bahawa sukan ini pertama kali dimainkan di Greek kira-kira 2000 tahun yang lalu. Ianya bermula dengan mengutip ketul-ketul batu bulat dari gunung-ganang dan dasar laut untuk bermain. Cara permainan ialah siapa yang melontar dengan tepat dan paling jauh, dialah yang menang.

Selepas itu sukan ini berkembang ke Benua Eropah. Ketika negara-negara Rom menakluk dan menjajah bangsa Greek, bangsa Rom telah mengambil alih dan mempelajari cara-cara bermain sukan ini daripada orang Greek.Selepas itu, bangsa Rom telah menggunakan cara-cara bermain sukan ini untuk beradu tenaga/kebolehan fizikal di pergelangan tangan dan badan kaum lelaki ketika itu. Kemudian, ketika bangsa Rom menakluk dunia dan Negara Perancis, mereka telah menguasai dan memperkenalkan permainan ini di bahagian selatan Perancis. Permainan bola ini mendapat sambutan dan diubahsuai dengan menggunakan kayu keras yang diukir menjadi bulat. Kemudian, di sekelilingnya dipakukan dengan paku besi supaya bola lebih berat dan bersesuaian dengan tangan pemain.

Ketika zaman pertengahan, kira-kira S.M. 400-1000, sukan ini sangat popular sehingga ia dilarang dari dimainkan oleh orang kebanyakan. Pada kurun ke 17, para bangsawan Perancis telah menjadikan sukan ini kepunyaan mereka sahaja. Raja Louis XIV telah meletakkan peraturan permainan tersebut kepada 14 mata. Baginda telah mengisytiharkan dan memperkenalkan sukan ini di kalangan orang kenamaan dan hanya dibenarkan dimainkan di kawasan istana sahaja.

Ketika zaman pemerintahan Napoleon Bonaparte, beliau telah mengisytiharkan semua permainan bola sebagai sukan kebangsaan bagi negara Perancis. Semua rakyat jelata dibenarkan bermain sukan ini dengan bebas. Bermula dari situ, sukan ini semakin digemari ramai dan dipermodenkan dari masa ke semasa seperti bermain dengan menggunakan peluru meriam sebagai bola permainan. Selain itu, sukan ini juga diberi nama baru seperti “Bulbree-Rotong”, “Bulli-Jonese”, “Bulcher-Delong” dan “Bul-Prowangsaan”.
Di akhir tahun kesepuluh abad ke-19, negara Perancis telah menjadi negara yang pertama di dunia yang mengeluarkan syarat-syarat tertentu bagi sukan “Bul-Prowangsaan”. Syaratnya ialah pemain hanya dibenarkan berlari sebanyak tiga langkah sebelum melontar bola. Dengan syarat baru ini, “Bul-Prowangsaan” menjadi kesukaan ramai dan kepopularitiannya berkembang pesat dan pertandingan sukan ini diadakan di merata negara Perancis. Ianya berlanjutan sehingga awal tahun kesepuluh abad ke-20.

Sejarah moden sukan petanque bermula pada tahun 1910 di sebuah kampung kecil di La Ciotat, Perancis. Peristiwa yang telah membawa kepada pengubahsuaian sukan ini yang berlaku di kawasan Lasik-Ootar, di daerah Tamasyen yang terletak di bahagian selatan negara Perancis. Ubahsuai ini berpunca daripada seorang pemain handalan bernama Jules Le Noir yang telah terlibat dalam kemalangan yang teruk. Kedua-dua belah kakinya telah cacat. Ini menghalang beliau daripada bermain sukan ini seperti sebelumnya. Walau bagaimanapun, semangat dan minat beliau tidak luntur. Beliau didapati sentiasa duduk di atas kerusi roda melihat orang lain bermain, sedangkan beliau sendiri tidak mungkin boleh bermain lagi.


Suatu hari, ketika Jules Le Noir duduk di atas kerusi roda sambil melihat dengan asyiknya sahabat handai dan keluarga bermain sukan “Bul-Prowangsaan” dengan gembira, adik lelakinya memerhati dan mendapati abangnya begitu sedih kerana tidak berkeupayaan bermain sukan itu lagi. Beliau begitu simpati terhadap abangnya yang cacat, lalu menghulurkan bola kepada Jules Le Noir supaya beliau cuba melontar ketika berada di atas kerusi roda. Bola berkenaan dilontar pada jarak dekat kira-kira tiga hingga empat kaki. Jules Le Noir didapati berkebolehan melontar bola berkenaan dengan menggunakan tenaga dari pangkal lengan dan pergelangan tangan dengan tepat sekali. Ini menyebabkan adik lelaki Jules Le Noir berusaha memikirkan cara untuk mengubah suai sukan ini. Beliau melakar bulatan di atas tanah, pemainnya dibenarkan berdiri di dalam bulatan berkenaan. Kedua-dua paha mesti dirapatkan. Pemainnya tidak perlu lagi berlari seperti syarat-syarat terdahulu. Selepas itu, sahabat handai dan saudara-mara telah memberi kerjasama kepada Jules Le Noir. Akhirnya sukan “Bul-Prowangsaan” yang diubah suai ini membolehkan Jules Le Noir berpeluang bermain sekali lagi dan bergembira seperti dahulu.

Permainan “Bul-Prowangsaan” yang diubah suai ini adalah berasaskan penyertaan seramai kira-kira 50 orang peserta. Semua peserta berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan sukan ini selama kira-kira 30 tahun. Pengasas sukan ini berusaha menghubungi orang berpengaruh dalam bidang sukan, ahli-ahli politik, menteri-menteri, para pegawai dari semua peringkat. Akhirnya tertubuhlah “Pertubuhan Petanque dan Prowangsaan” pada tahun 1938. Pada ketika ini, para peserta bertambah kepada ratusan orang daripada semua peringkat, jantina dan umur yang melaporkan diri untuk menjadi peserta. Bola yang digunakan untuk bermain pun semakin canggih kerana terdapat ahli-ahli yang mengubah suai peralatan permainan, seperti bola besi campuran dan di bahagian dalamnya berongga. Ini menyebabkan permainan ini menjadi kesukaan ramai dan lebih popular daripada sebelumnya.
Ketika peperangan dunia kedua, pada tahun 1945, pemain “Bul-Prowangsaan” yang telah dimodenkan ini beransur-ansur menjadi popular dan berkembang dengan cepat ke seluruh negara-negara di bawah jajahan British. Cara-cara bermain bola ini telah dibahagi kepada tiga jenis iaitu:
1.      Lijonee
2.      Prowangsaan (Berlari tiga langkah sebelum melontar bola)
3.      Petanque (Popular ketika ini)
Kini, sukan petanque adalah suatu sukan yang digemari hampir di semua negara di Eropah, Amerika dan Asia. Kepopularannya sangat ketara di negara Perancis, Switzerland, Belgium, Jerman Barat, Venezuela, England, Holland, Sepanyol, Sweden, Kanada, Tunisia, Algeria, Maghribi, Madagascar dan lain-lain.
Di Asia, Thailand mendahului negara-negara lain. Negara Thai adalah adalah negara di Asia yang pertama dan yang ke-17 di dunia yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Petanque Antarabangsa yang kini dikenali sebagai The International Federation of Petanque et Jeu Provencal (FIPJP). Negara jiran Malaysia yang juga bermain sukan petanque ini adalah seperti Vietnam, Cambodia, Republik Laos, Myanmar, Jepun, Singapura, Brunai, Indonesia dan Hongkong.

Perkataan Petanque berasal daripada Bahasa Perancis, “Pejek-Tongkek” yang bermaksud berdiri dengan kedua-dua belah kaki rapat antara satu sama lain. Perkataan ini berlawanan dengan permainan “Bul-Prowangsaan” yang memerlukan larian tiga langkah sebelum melontar bola. Kemudian, orang-orang Perancis berpendapat perkataan “Pejek-Tongkek” adalah perkataan yang panjang dan agak susah disebut, oleh itu ianya ditukar kepada perkataan lain yang bersesuaian iaitu “Petanque” seperti mana disebut sekarang.
Sekian dan Terima kasih
Majulah Petanque Untuk Malaysia
http//georgeaiman.blogspot.com