Tuesday, June 5, 2012

Hutang Oh Hutang


video

Tajuk  :           Hutang Oh Hutang
Oleh   :           George Aiman Milin

Dengan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Kursus B4P Angkasa telah menggubal mudul yang diberi tajuk “Pengurusan Kewangan Keluarga”. Modul ini mula disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Angkasa dalam ceramah mereka untuk warga koperasi seluruh Malaysia sejak setahun lalu (2009). Modul ini berbeza dan istimewa kerana ia tidak membicarakan soal koperasi semata-mata tetapi lebih fokus kepada permasalahan warga koperasi. Waima permasalahan ini juga merupakan masalah umat sejagat iaitu masalah “hutang”. Melalui Data Statistik Kebangkrapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvansi Malaysia dari tahun 2002 hingga Februari 2007, seramai 153,676 orang telah diisytiharkan bangkrap. Pastinya data ini lebih besar jumlahnya jika dikeluarkan pula statistik mereka yang mempunyai masalah hutang yang kronik.

Ironinya, penyakit hutang ini dihidapi sebahagian besar warga koperasi. Kemungkinan penyakit hutang ini menular dengan cepat kerana penubuhan koperasi kredit yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dirancakkan lagi apabila ada koperasi kredit yang mewar-warkan selogan yang berbunyi “Orang mesti berhutang, Yang Tidak Berhutang itu Binatang”. Walaupun selogan tersebut ada kebenarannya, namun sebagai warga koperasi yang bijak, kita perlu menilai keperluan untuk kita berhutang. Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir dalam bukunya “Cukup Wang Hati Tenang” membahagikan hutang kepada dua iaitu Hutang Berkat dan Hutang Mudarat. Hutang Mudarat menimbulkan masalah pada masa depan sebaliknya Hutang Berkat boleh memudahkan masa depan. Hutang adalah satu fenomena yang sukar dihindari oleh sesetengah individu, kerana mereka beranggapan hanya dengan berhutang sahaja mereka akan dapat memenuhi keperluan hidup. Ada juga yang berhutang untuk menjaga nama dan status sosial, tuntutan hidup yang canggih dan ingin menyaingi hidup orang lain. Perubahan gaya dan kos kehidupan yang semakin tinggi juga menguatkan alasan untuk berhutang.

Agama Islam membenarkan malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Walau bagaimanapun Islam tidak menggalakkannya, terutamanya apabila hutang tersebut membebankan untuk dilunaskan. Jika terpaksa berhutang, pemiutang hendaklah berazam dan berniat untuk membayar hutangnya.

Firman Allah s.w.t:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”  (Al-Baqarah: 282)

Ayat di atas merupakan sebahagian dari ayat yang terpanjang dalam Al-Quran. Ia menerangkan kepada kita cara-cara berjual-beli dan berhutang. Ia menunjukkankan betapa pentingnya konsep jual beli dan hutang piutang dalam kehidupan manusia. Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Jahsy, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;

“Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya, jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula, kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk Syurga selagi hutangnya belum dibayar.” (HR.An-Nasa’i)

Malangnya segelintir masyarakat sekarang mengabaikan kewajipan membayar hutang. Ini mungkin disebabkan kejahilan mereka mengenai hukum-hakam hutang-piutang menurut pandangan Islam. Sama ada meminjam kerana benar-benar memerlukan atau sebaliknya, semua itu adalah hutang yang akan dihitung di akhirat kelak jika kita gagal membayar balik.

Dewasa ini, ramai membunuh, terbunuh dan dibunuh angkara meminjam wang dari saluran tidak berlesen, 'along'. Tidak kurang juga yang mendapat surat amaran dan saman dari institusi perbankan kerana gagal membayar balik wang pinjaman. Malah, ada sesetengah yang hutangnya (sama ada pinjaman pendidikan, perniagaan atau persendirian) menjadi 'warisan' yang terpaksa ditanggung oleh anak dan ahli waris. Perkara yang juga sering berlaku, ramai akan mengalami kegawatan kewangan setiap kali musim perayaan dan sesi persekolahan bermula. Semuanya gara-gara tidak bijak menguruskan kewangan atau tidak ada bajet belanjawan dalam kehidupan harian diri dan keluarga. Malah, budaya memiliki sesuatu melebihi keperluan asas dan amalan berbelanja secara boros dan mengikut trend masyarakat mendorong institusi kewangan mereka cipta pelbagai kredit dan bentuk pinjaman yang mengaburi mata pengguna. Ini membuatkan ramai yang terus dibebani hutang, malah berlipat ganda kerana terpengaruh dengan pelbagai tawaran istimewa sistem kredit bank.

Anggota keluarga sepatutnya saling berbincang dan mempunyai persefahaman yang rapat dalam mencorakkan kewangan keluarga. Setiap keluarga perlu ada dan menyediakan bajet bukan sahaja tahunan, malah harian, mingguan dan bulanan. Jika kita bijak mengurus dan mengguna masa, bahagialah hidup keluarga, begitu juga dalam menguruskan kewangan. Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan empat perkara utama iaitu; perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.

Kebanyakkan individu yang mempunyai masalah hutang menunjukkan petanda-petanda seperti berikut;

·                     Pertengkaran suami isteri kerana wang

·                     Menghitung hari gaji

·                     Nisbah hutang dengan pendapatan yang tinggi

·                     Bergantung hidup pada kad kredit

·                     Bayar nilai minimum pinjaman kad kredit

·                     Guna simpanan untuk bayar bil semasa

·                     Tangguh/elak bayar bil

·                     Terima notis tunggakan bil

·                     Ambil pinjaman baru untuk tampung hutang lama

·                     Tangguh bayaran balik pinjaman

·                     Tiada simpanan tunai untuk kecemasan

·                     Bergantung pada pendapatan tambahan

·                     Tidak tahu ke mana wang dibelanjakan

·                     Tidak tahu berapa hutang

·                     Menulis cek menggunakan kemudahan overdraf

·                     Tidak lena tidur fikirkan masalah hutang

Semua petunjuk yang disenaraikan bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga kita dan ia bukan bermakna keluarga mempunyai pendapatan rendah tetapi ini menunjukkan kewangan keluarga tidak diuruskan dengan cekap dan berkesan. Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ialah, Hadapi hutang anda dan jangan sekali-kali elakkan diri dengan membiarkan hutang berlalu tanpa dikawal. Hadapi hutang anda dan cuba cari penyelesaian dengan mula mengawal perbelanjaan.

 Langkah pertama dalam pengurusan hutang berhemat ini ialah “Pengurusan Belanjawan”. Pengurusan belanjawan bermaksud menggunakan wang dengan berkesan agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan cara menggunakan wang seminimum yang boleh untuk mencapai semaksimum matlamat yang boleh. Oleh kerana keperluan dan kehendak itu banyak, sedangkan wang terhad, keutamaan perlu ditentukan. Sebelum membelanjakan wang, tanya diri sendiri apakah sesuatu benda atau khidmat yang dibeli itu penting? Apakah ia tidak boleh ditangguhkan? Antara kesilapan biasa dalam mengurus kewangan ialah sikap gemar berhutang berbanding membeli sesuatu benda atau perkhidmatan secara tunai. Kaedah pembelian secara kredit (kad kredit) yang kini menjadi cara hidup ramai menyebabkan banyak keluarga mengorbankan peruntukan kewangan masa depan dan seterusnya gagal membuat simpanan untuk matlamat kewangan yang lebih penting.

Lima perkara asas dalam proses pengurusan belanjawan ialah; Kira nilai bersih anda, Tentukan matlamat kewangan anda, Jejaki sumber wang dan ke mana perginya wang anda, Nilai cara anda berbelanja dan Catat rancangan perbelanjaan anda. Mulakan dengan merujuk rekod kewangan seperti penyata bank, slip gaji, cukai pendapatan dan penyata kad kredit tahun lalu yang memberikan gambaran realistik mengenai berapa banyak pendapatan diperoleh dan di mana wang dibelanjakan. Catat semua perbelanjaan setiap hari selama sekurang-kurangnya sebulan. Berpandukan rekod ini, keluarga boleh merancang perbelanjaan dengan lebih realistik. Jika terlebih belanja, berusaha untuk berjimat cermat. Walaupun pendapatan melebihi perbelanjaan, perancangan masih diperlukan untuk meningkatkan lagi kuasa berbelanja. Berjimat cermat adalah langkah pertama ke arah mengumpul kekayaan. Semua rancangan simpanan bermula dengan mengurangkan perbelanjaan bulanan. Penyata pendapatan adalah ringkasan pendapatan dan perbelanjaan keluarga yang membolehkan keluarga menilai pendapatan dan perbelanjaan lepas. Pakar kewangan ada berkata, “Bukan gaji atau pendapatan yang membuatkan anda kaya, tetapi tebiat anda berbelanja”.

PRINSIP ASAS YANG PATUT DIFAHAMI
Pendapatan – Perbelanjaan = Simpanan
Salah
Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan
Betul

Perkara lain yang boleh dilakukan ialah meningkatkan pendapatan melalui kerja sampingan, berjimat cermat, dapatkan nasihat pakar kewangan seperti perancang kewangan bertauliah atau mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Sebaliknya jangan sekali-kali berurusan dengan ceti haram atau Ah Long yang menekan mangsa dengan kadar faedah yang tinggi dan membebankan.



Sekiranya kita sudah terjebak dalam beban hutang, berusahalah untuk melangsaikannya. Salah satu kaedah atau formula yang popular telah diperkenalkan oleh Mr.Dave Ramsey (www.daveramsey.com) iaitu Kaedah yang dinamakan “Debt Snowball” atau “Snowball Effect”. Kaedah ini dilakukan dengan cara menyenaraikan kesemua hutang mengikut baki yang terkecil hingga ke terbesar, jika hutang hampir sama jumlahnya, pilih hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi bagi senarai yang teratas. Buat pembayaran minimum semua hutang dan cari lebihan wang untuk menokok pembayaran hutang yang terkecil (lebihan boleh diperolehi daripada penjimatan perbelanjaan). Seterusnya bayar minimum lebihan wang mengikut turutan dari atas ke bawah, sehingga selesai semua hutang yang tersenarai. Kaedah ini lebih jelas dengan melihat contoh berikut:

Andaikan Anda menyusun senarai hutang-piutang anda seperti berikut:

Hutang
Bayaran Ansuran (RM)
Baki Hutang  (RM)
A – Kad Kredit
200
1,000
B – Kad Kredit
250
3,000
C – Koperasi
300
10,000
D – Kereta
600
40,000
E – Rumah
1000
100,000

Anda membayar hutang A sampai langsai dan seterusnya menggunakan RM200 itu untuk ditambah kepada pembayaran ansuran hutang B. Ini menjadikan pembayaran ansuran hutang B meningkat kepada RM450. Hutang B akan habis dibayar dengan cepat dalam pempoh 6 bulan sahaja berbanding 12 bulan jika hanya membayar RM250 sebulan. Apabila hutang B pula langsai, anda akan menggunakan ansuran hutang A, B dan C bagi menjelaskan hutang C, iaitu;

RM200 + RM250 + RM300 = RM750

Ini sudah pasti mempercepatkan tempoh penyelesaian hutang C, sebab dari ansuran sebanyak RM300 sahaja sebulan, anda telah meningkatkan bayaran ansuran sebanyak RM450 kepada RM750. Setelah langsai hutang dalam tempoh 13 bulan, ansuran 750 dicampurdengan ansuran RM600 bagi penyelesaian hutang D. Akhirnya, setelah langsai hutang D, RM1350 di campur pula dengan RM1000 untuk ansuran hutang E. Proses penyelesaian hutang kaedah inilah dikenali sebagai “Kesan Bola Salju” iaitu makin ditolak makin besar jadinya. Apabila semua hutang telah berjaya dilangsaikan, bertaubatlah daripada meneruskan tabiat berbelanja berlebihan dan berusahalah untuk mencapai matlamat kewangan anda yang lain.

Jika anda masih belum terlibat dangan hutang, hindarilah darinya. Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih  bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai?  Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan. Bagaimanapun ramai  antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang.  Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Bumiputera di Malaysia ini, jika boleh  mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu membayar.  Ini merupakan satu sikap yang salah.  Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan.  Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.   Kuatkan azam untuk membebaskan diri dari belenggu hutang dan bacalah doa-doa berikut. InsyaAllah.

اَللَّهُمَّ اكْفني بِحَلالِكَ عَنْ حَرامِكَ، وَأغْنِني بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك

“Ya Allah, cukupkanlah untuk kami rezeki-Mu yang halal dan jauhkankanlah kami dari rezeki yang engkau haramkan, Ya Allah limpahkanlah kepada kami kurnia-Mu sehingga kami tidak meminta kepada selain Engkau.” (hadits hasan) (HR. At-Tirmidziy 5/560, lihat Shahih At-Tirmidziy 3/180)

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keresahan dan kesedihan, kelemahan dan sikap malas, kekikiran dan sikap penakut serta dililit hutang dan dikalahkan lawan." (HR. Bukhari 7/158)



RUJUKAN 
1.         Abd. Aziz, Ibrahim (2005). “Lebuh Raya Baru Kebebasan Kewangan: Jutawan Daripada Beban Hutang”, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
2.         Adil, Akhyar (2009). “Hutang, Seronok Yang Membawa Bencana - Pengurusan Hutang Piutang Dalam Islam”, Pustaka Azhar
3.         Khairul Gahazali, Dr (2009). “Konsep Berhutang Dalam Islam”. Progressive Publishing House Sdn.Bhd.
4.         Khairulnahar, Jamaluddin (2009). “Bajet Wang – 7 Cara untuk mengatasi masalah kekurangan wang”, True wealth Sdn Bhd.
5.         Hajah Rohani, Datuk Hj Mohd Shahir (2005). “Cukup Wang Hati Tenang”, Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.
6.         Unit Kursus, B4P (2009). “Kursus Pengurusan Kewangan Keluarga”, ANGKASA
7.         Zenhabits, “Fiscal Fitness: Eliminate Debt eith 10 Successful Diet Principles”. Dicapai pada 18 Oktober 2010, Dari http://www.zenhabits.net/fiscal-fitness-eleminate-debt-with-10-successful-diet-principles/

2 comments:

  1. Saya pernah guna kaedah snowball ini. Memang boleh selesaikan hutang dengan cepat. Cuma cabarannya ialah perlu bersabar sepanjang tempoh itu. Kenaikan gaji. Bonus. Tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain membayar hutang. Apabila hutang pertama selesai kita akan tergoda untuk menggunakan duit yang kini tak perlu digunakan untuk bayar ansuran hutang pertama itu. Godaan itu perlu dilawan dan ansuran itu kena digunakan pula untuk menambah bayaran ansuran hutang kedua.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tahniah Tuan..
      Testimoni terbaik untuk snow ball effect.

      Delete