Wednesday, May 23, 2012

ATTENTION!!!! How to choose your bowls (In Malay)

PANDUAN MEMILIH BOLA PETANQUE
Oleh: George Aiman Milin


Tiga (3) perkara penting yang perlu diambilkira dan dipertimbangkan ketika memilih dan membeli bola petanque untuk kegunaan sendiri (peribadi) ialah seperti; 1. Adakah bola tersebut mematuhi Peraturan pertandingan; 2. Adakah bola tersebut sesuai untuk kita; 3. Berapa bajet kita untuk memiliki satu-satu jenis bola petanque.

Gambarajah 1: Bola Untuk Pertandingan

1.              ADAKAH BOLA TERSEBUT MEMATUHI PERATURAN PERTANDINGAN

Ini merupakan perkara yang sangat penting dalam memilih/membeli bola petanque. Ini kerana bola petanque yang dijual dalam pasaran ada 2 jenis dan pelbagai jenama. Jenis pertama ialah Bola Latihan (Training Ball) dan jenis kedua ialah Bola Pertandingan (Competition Ball). Bola Latihan (training ball) boleh dikenali dengan ciri-ciri seperti; harga yang lebih murah dan bola besi yang kosong/plain (tiada engrave jenama, kod, berat, saiz pada bola) dan ada juga bola latihan dibuat daripada bukan logam (getah sentetik, kayu, dsb). Sementara Bola Pertandingan (Competition Ball) mestilah bola diperbuat dari logam, harganya lebih mahal dan ada tertera / engrave jenama pengeluar, berat bola dan kod atau saiz pada bola. Nama atau singkatan nama pemilik boleh juga diengrave pada bola tetapi ianya tidak wajib.

Gambarajah 2: Syarat Bola Pertandingan

Hanya bola pertandingan (Competition Ball) sahaja dibenarkan untuk sebarang pertandingan rasmi. Dan bola tersebut mestilah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dalam Artikel 2a. Sekiranya melanggar peraturan dalam Artikel 2a, pemain boleh dikenakan denda seperti dalam Artikel 2b. Oleh itu, pesanan saya kepada pemain petanque, janganlah memilih bola berdasarkan harganya yang murah (Training Ball) kerana ianya tidak diterima dalam kejohanan rasmi.

Artikel 2a : Kreteria-kreteria Bola yang diluluskan
Permainan ini perlu menggunakan bola yang diluluskan oleh FIPJP dan memenuhi kreteria-kreteria berikut ;

(i)       Bola mestilah diperbuat daripada logam.

(ii)     Garis pusat bola mestilah antara 7.05cm (minimum) hingga 8.0cm (maksimum).
(iii)   Berat bola mestilah antara 650 gram (minimum) hingga 800 gram (maksimum). Tanda pengeluar dan berat hendaklah tertera di atas bola dan sentiasa dapat dilihat dengan jelas.
(iv)   Bola sama sekali tidak boleh dibuat sebarang bentuk pengubahsuaian ke atasnya selepas pengeluarannya disahkan oleh pengeluar yang diberi kelulusan. Walau bagaimanapun nama pemain, logo, akronim atau ‘initial’ boleh diukir (engrave) di atasnya.
 Artikel 2b : Denda jika bola tidak memenuhi syarat
·       Pemain yang didapati bersalah kerana tidak mematuhi peraturan dipara (iv) akan dibatalkan daripada menyertai pertandingan dengan sertamerta, bersekali dengan rakan atau rakan-rakan pasukannya.
·       Jika didapati bola telah diubahsuai atau ditempa semula, permit / essen pemain boleh digantung sehingga satu tempoh yang telah ditetapkan dalam Kod Disiplin, bersekali dengan denda yang akan dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Petanquenya.
·       Jika bola yang diubahsuai itu adalah bola pinjaman dan pemiliknya telah dikenalpasti, pemilik bola itu juga boleh dikenakan tindakan yang serupa.
·       Jika bola itu tidak diubahsuai, tetapi berubah dari bentuk asalnya kerana terlalu lama usianya, atau berubah bentuk asalnya akibat proses pengeluaran, tidak lulus pemeriksaan atau tidak mematuhi mana-mana syarat seperti di para (i), (ii) dan (iii) di atas, pemain boleh menukarkan bola tersebut. Pemain perlu menukarkan keseluruhan set bola.
·       Sebarang bantahan mengenai peraturan (i), (ii) dan (iii) di atas hanya boleh diterima sebelum permainan / perlawanan bermula. Oleh itu, setiap pemain perlu memastikan bola mereka dan bola pihak lawan mematuhi syarat-syarat berkenaan sebelum perlawanan bermula.
·       Bantahan berkaitan peraturan (iv) pula boleh dibuat bila-bila masa ketika perlawanan sehingga ‘END’ yang kedua. Namun pada atau selepas ‘END’ ketiga, jika didapati bantahan terhadap bola pihak lawan adalah tidak berasas, pemain berkenaan atau pasukannya akan dikenakan denda 3 mata dan mata tersebut akan ditambah kepada jumlah pungutan mata pihak lawan.
·       Pengadil atau juri boleh pada bila-bila masa ketika perlawanan memeriksa bola mana-mana pemain.

 
2.        ADAKAH BOLA TERSEBUT SESUAI UNTUK ANDA
Perkara seterusnya yang perlu diambil perhatian adalah kesesuaian bola tersebut dengan pemiliknya. Ada beberapa aspik yang harus dipertimbangkan dalam memilih bola yang sesuai untuk anda; 1. Saiz bola yang sesuai (Kecil, Sederhana, Besar); 2. Anda jenis pemain apa (Pointer, Medium, Shooter); 3. Bola dibuat dari logam/metal apa (keras, sederhana, lembut).
(i)                 Saiz bola yang sesuai (Kecil, Sederhana, Besar)
Asas dalam pemilihan bola yang sesuai ialah adakah anda mempunyai genggaman (grip) yang mantap kepada bola anda. Untuk itu anda perlu mengukur saiz tapak tangan anda. Pemain wanita biasanya menggunakan bola yang lebih kecil (71, 72, 73) kerana tapak tangan mereka lebih kecil. Sementara pemain lelaki menggunakan bola yang lebih besar.  Ada beberapa alat pengukur untuk memastikan saiz bola yang sesuai dengan tapak tangan anda. Antaranya adalah seperti alat pengukur di bawah. Letakkan ibu jari di sebelah kiri dan jari tengah (jari hantu) di sebelah kanan (Seperti Gambarajah).

Gambarajah 3: Pengukur Saiz Tangan untuk Bola
Selain itu anda juga boleh memilih bola berdasarkan jadual 1 seperti di bawah; Saiz tangan adalah ukuran bukaan tapak tangan dari hujung ibu jari sehingga hujung jari telunjuk.
SAIZ TANGAN
16cm
17cm
18cm
19cm
20cm
21cm
22cm
23cm
24cm
25cm
SAIZ BOLA
71
72
73
74
75
76
77
78
79
80
Jadual 1: Ukuran Saiz Tangan dan Saiz Bola 

Saiz yang tepat akan memastikan cengkaman dan genggaman anda pada bola adalah selesa, ini akan membuatkan anda mudah untuk mengendalikan bola anda ketika membuat lontaran. Keselesaan ini juga akan membuat anda mudah menyelaraskan kekuatan lontaran (tenaga yang digunakan) dengan jarak lontaran dan target. Konsep ini disebut oleh Professor Diraja Ungku A.Aziz sebagai “Acundali”.


Gambarajah 4: Panduan Asas memilih Bola

(ii)               Anda jenis pemain apa (Pointer, All Rounder, Shooter)
Kesesuaian bola juga bergantung kepada anda jenis pemain apa. Jika anda adalah pemain Pointer (Peranan mendekatkan bola dengan jeck), anda memerlukan bola yang lebih kecil (71-73 mm) tetapi lebih berat (710-800g). Tujuan penggunaan bola kecil dan berat ialah supaya dapat menyukarkan pihak lawan memukul (shooting) bola anda, sekiranya shooting lawan tidak tepat, maka bola yang berat tidak akan beralih jauh. Dari segi Pattern pula, pemain “Pointer” biasanya akan menggunakan bola yang bercorak banyak seperti corak no.2, no.3 dan no.6 (Lihat Gambarajah 5). Tujuannya ialah untuk menambah grip/genggaman ketika hendak membaling bola agar mudah untuk membuat teknik inswing dan outswing.
Gambarajah 5: Pelbagai Corak Bola
 Sementara jika anda pemain All Rounder atau Medium atau Anchor, anda memerlukan bola yang sederhana iaitu saiz 73-75 mm dan berat 690-720g. All Rounder Player adalah pemain yang berperanan mendapatkan mata samaada dengan mendekatkan bola dengan jeck atau dengan memukul (shooting) bola lawan atau jeck. Untuk permainan bertiga (triple), biasanya pemain All Rounder adalah pemain ketiga. Pettern atau corak yang sesuai untuk pemain All Rounder ialah corak sederhana banyak seperti corak no.1 dan no.4 (Lihat Gambarajah 5). Namun ianya bergantung kepada keselesaan pemain tersebut. Kebanyakan pemain All Rounder juga suka manggunakan bola tanpa corak iaitu No.0 sahaja.
Pemain Shooter atau Gunner atau Killer adalah pemain yang berperanan memukul (shooting) bola lawan. Pemain Shooter biasanya menggunakan bola yang lebih besar (75-78 mm) dan lebih ringan (670-710g). Tujuan penggunaan bola yang lebih besar adalah untuk meningkatkan kebarangkalian untuk shooting yang mengena. Bola yang lebih ringan digunakan oleh pemain shooter kerana pemain jenis ini perlu menggunakan tenaga yang lebih banyak kerana perlu membuat hayunan yang lebih bertenaga, penggunaan bola yang berat akan menyebabkan pemain akan cepat kepenatan (kehilangan tenaga) yang seterusnya akan menjejaskan pristasi permainannya. Bola tanpa corak (botak) iaitu bola No.0 adalah bola yang popular untuk pemain Shooter. Bola tanpa corak digunakan oleh pemain Shooter kerana pemain Shooter tidak memerlukan teknik inswing dan outswing. Pemain Shooter cuma memerlukan balingan lurus (Rolling, Half Lop dan Full Lop) yang tepat sahaja.
Sebelum ini (Topik Ukuran Saiz Bola) saya menasihatkan anda memilih ukuran bola yang sesuai dengan saiz tangan anda. Walau bagaimanapun, dalam bab ini pula saya mencadangkan supaya, jika anda pemain “Pointer” anda patut menggunakan bola yang lebih kecil, semantara jika anda pemain “Shooter” anda patut menggunakan bola yang lebih besar. Persoalannya sekecil dan sebesar mana bola yang sesuai untuk pointer dan shooter ini? Gambarajah di bawah menerangkan saiz yang sesuai untuk pemain “Pointer” dan pemain “Shooter”.
Gambarajah 6: Ukuran bola Pointer
Bagi pemain “Pointer”, apabila anda menggenggam bola anda menggunakan kedua-dua tapak tangan anda seperti rajah di atas, jari tengah (jari hantu) anda akan bertemu satu sama lain.

Gambarajah 7: Ukuran bola Shooter
Bagi pemain “Shooter”, apabila anda menggenggam bola anda menggunakan kedua-dua tapak tangan anda seperti rajah di atas, jari tengah (jari hantu) anda akan terpisah satu sama lain dengan jarak tidak melebihi 1cm. 

(iii)             Bola dibuat dari logam/metal apa (keras, sederhana, lembut).
Jenis logam yang digunakan untuk membuat bola yang anda hendak gunakan juga perlu anda ketahui, kerana jenis logam ini juga mempengaruhi harga bola, pristasi ketika dalam gelanggang dan jangka hayat bola anda. Kebanyakan bola pertandingan yang dijual dalam pasaran diperbuat daripada logam khas iaitu; keluli, keluli karbon, keluli tahan karat, kromium, nikel, tembaga, titanium dan gangsa.
Gambarajah 8: Bola Keras (Hard Boules)
Bola yang diperbuat daripada keluli dan keluli karbon (Carbon Steel) adalah bola yang keras (hard boules). Bola keras sesuai digunakan oleh pemain “Pointer”. Bola keras sesuai dalam mana-mana permukaan gelanggan, tahan lama dan sukar calar. Walau bagaimanpun, bola jenis ini tidak boleh dibiarkan terdedah dengan udara dan kelembapan kerana ia akan berkarat. Pemiliknya perlu memastikan bola jenis ini sentiasa kering selepas digunakan dan sebaiknya menyapu sedikit minyak ketika hendak menyimpannya. Contoh bola jenis ini yang ada dalam pasaran ialah seperti bola Lafranc SM dan Obut Match (Gambarajah 8).
Gambarajah 9: Sederhana Keras (Semi Soft Boules)
Sementara bola yang diperbuat daripada keluli tahan karat (Stanless Still) pula adalah bola yang sederhana keras (Semi Soft). Bola sederhana keras ini sesuai digunakan oleh pemain All Rounder atau Medium. Kebaikan bola ini ialah, ianya tidak perlu penjagaan yang rapi kerana ianya adalah tidak berkarat walaupun terdedah dengan air dan udara. Bola jenis ini paling selesa digunakan dalam permainan dan paling popular dalam kalangan pemain petanque. Walau bagaimanapun bola ini lebih mahal harganya dan kadang-kala lebih cepat pecah jika dihentak atau dibaling dengan bola keras yang lain. Contoh bola jenis ini ialah seperti bola Lafranc SS dan Obut Match 115 IT (Gambarajah 9).
Gambarajah 10: Bola Lembut (Soft Boules)
Seterusnya ada juga bola yang diperbuat daripada logam istimewa seperti kromium, nikel, tembaga dan gangsa. Bola jenis ini biasanya ditawarkan dengan harga yang sangat mahal, dan sifat bola adalah bola lembut (Soft boules). Kerana sifatnya yang lembut, bola ini tidak sesuai digunakan dalam gelanggang yang berbatu kasar kerana ia akan rosak dan calar balar. Walau bagaimanpun, keistimewaan bola jenis ini ialah ia paling selesa digunakan, menyerap hentakan bola keras dan gelanggang keras. Oleh itu pemain yang menggunakan bola jenis ini sentiasa dapat mengawal lontaran bolanya dengan sempurna dan pemainnya sering memenangi kejohanan. Pengeluar bola jenis ini kadang-kala memberikan promosi “Monay Back Guarantee” jika pemain yang menggunakan bola jenis ini kalah dalam pertandingan. Contoh bola jenis ini yang ada dalam pasaran adalah seperti Bola Nexius dan Obut ATX (Gambarajah 10).

3.        BERAPA BAJET KITA UNTUK MEMILIKI BOLA PETANQUE
Perkara seterusnya yang perlu dipertimbangkan dalam membeli bola petanque ialah bajet kita. Soal bajet dalam membeli bola petanque, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Pastinya bola yang lebih mahal mempunyai kualiti yang lebih baik dan seterusnya memberikan kesan psikologi positif kepada pemiliknya (pemain) seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Antara jenama-jenama popular bola petanque yang ada dalam pasaran sekarang ialah bola keluaran FBT Thailand seperti Lafranc dan Plustong dan bola keluaran syarikat dari luar Negara seperti Perancis dan Itali seperti; Obut, JB, MS, La Boule Blaue, La Boule Noire dan Unibloc. Apa yang penting ialah syarikat pengeluar dan jenama-jenama ini mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Petanque Antarabangsa (F.I.P.J.P).
Gambarajah 11: Logo Syarikat dan Jenama Pengeluar

Bagi mereka yang mempunyai bajet yang kecil untuk membeli bola petanque, anda bolehlah membeli bola Lafranc sahaja yang juga merupakan bola pertandingan walaupun harganya hanya RM230 satu set (3 biji Bola) yang biasanya disertakan sekali dengan beg, jeck dan pita pengukur mini. Bagi mereka yang mempunyai bajet yang besar dan minat yang tinggi kepada sukan ini pula boleh membeli bola yang lebih mahal seperti bola jenama Obut yang mempunyai 10 jenis bola, daripada jenis Obut Match sehinggalah kepada Obut ATX.
Gambarajah 12: Senarai Harga Bola Petanque yang popular dalam pasaran

Kesimpulannya, apabila anda berhajat untuk membeli bola petanque untuk kegunaan peribadi, bola yang hendak anda beli haruslah mematuhi Peraturan, Sesuai untuk anda dan anda bersedia untuk membeli bola yang lebih mahal. Walau bagaimanapun adalah menjadi satu kerugian sekiranya anda membeli bola petanque tetapi tidak menggunakan bola tersebut. Bola petanque yang anda miliki untuk anda gunakan dalam latihan dan pertandingan hendaklah sebati dengan anda. Ini bermakna anda memahami bola anda, tahu apakah keistemawaannya, mahir mengendalikan bola apabila anda hendak membuat balingan. Menurut Professor Diraja Ungku Abdul Aziz, konsep ini dikenali sebagai “Acundali”. Konsep ini merupakan kemahiran pemain dalam menyelaras dan mengendalikan tenaga ketika membuat balingan bola dengan jarak balingan hendak dibuat dan teknik balingan yang hendak digunakan. Apa yang penting anda haruslah tidak jauh daripada bola anda, atau bola petanque anda sentiasa di tangan anda apabila ada kesempatan. Bak kata orang sekarang, main bola, rehat bola, makan bola, minum bola tidur bola. BOLA PETANQUE.
***SEMOGA ARTIKEL INI BERMANFAAT KEPADA SEMUA PEMINAT PETANQUE***

“PETANQUE SUKAN UNTUK SEMUA”
Artikel Asal Oleh
George Aiman Milin
019-8884070


12 comments:

  1. Artikel ini saya tulis berdasarkan pengalaman sebagai pemain petanque sejak tahun 1997 hingga sekarang, dan sebagai jurulatih, arbitre, teknikal petanque sejak tahun 1998 dan sebagai tokey peralatan permainan petanque sejak tahun 2008.

    ReplyDelete
  2. En George Aiman Milin. Tkasih di atas perkongsian. Dapat juga menambah ilmu pengetahuan.
    Sharing is caring.

    ReplyDelete
    Replies
    1. No prblm...
      betul... Sharing is caring :)

      Delete
  3. En George, saya sedang mencari bola yang sesuai untuk anak saya berumur 13 tahun. Ada cadangan dari En? Dan menurut pandangan En., apakah potensi sukan petanque di negara kita? Adakah anak saya boleh pergi jauh? Bagaimana hendah sertai pertandingan petanque. Anak saya pernah mewakili daerah saja tetapi saya lihat dia berminat dalam sukan ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam...Permainan petanque tidak mengira umur. Saiz bola berdasarkan saiz tangan. Potensi petanque sangat cerah, kerana ada kejohanan d peringkat negeri kebangsaan sukan sea sukan asia dan peringkat dunia. Perkara paling penting ialah MINAT.

      Delete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. salam,, en George, Saya ingin mencari bola corak "0" tetapi berasa kesat atau tidak licin ketika dipegang. Adakah bola LaFranc SS lebih kesat berbanding bola LaFranc SM yang licin? Atau mungkin en George ada cadangan lain untuk saya. Saiz yang sesuai ialah 72mm 690gram. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bola yang tidak licin biasanya bola jenis soft boules atau semi soft. bola keras seperti lafranc sm memang dipegang licin. tapi boleh gunakan lafranc sm yang bercorak 6.

      Delete
  6. saya main sebagai medium .. sya patut pilih yg mne? umur sya baru 14 tahun .. saya selesa menggunkn bola no 4 .. tp menurut en. saya sesuai pakai bola mcm mne ?

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum sy ingin mendapatkan sedikit pendapat...
    saya sekarang sedang menggunakan bola saiz 71 berat 700
    SM
    saiz tapak tangan dlm 17-18 cm
    sy rasa bola yg saya guna nh berat and kecil sangt
    saya main all rounder. .
    harap anda dapat jawap solan saya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya cadangkan bola
      Berat 670-690g
      Saiz 72-73cm
      Botak.

      Delete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete